Ahmad Lutfi Othman Sat | Mar 07, 09 | 11:44:08 am MYT | |
Keputusan pilihan raya umum 8 Mac 2008 memang satu kejutan, malah dianggap tsunami politik yang langsung tidak dijangka. Pakatan Rakyat (yang dibentuk kemudian) pun terkejut, apatah lagi BN, yang kehilangan empat negeri selain Kelantan dan dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen. Jika dirujuk siri pilihan raya kecil sebelumnya, ternyata ia menyebelahi BN. Misalnya pada November 2005 di Pengkalan Pasir, PAS dikecewakan dengan kemenangan psikologi BN sehingga majoriti di Dun tinggal satu kerusi! Di Batu Talam, Pahang, pada Januari 2007, PAS yang bertanding pada 2004 memulaukan pilihan raya kecil itu. Tiga bulan selepas itu, DAP kalah dengan majoriti lebih besar di Machap, Melaka. Tidak lama kemudian, Ijok yang ramai pengundi India, menyediakan gelanggang mengukur pengaruh. Abdul Khalid Ibrahim tewas kepada K Parthiban, dengan majoriti 1,850 undi. Siapa sangka setahun selepas itu, Khalid yang diperolokkan oleh RTM dan TV3 kerana tersasul meminta pengundi menyokong BN, bukan sahaja menebus kekalahannya di Ijok, malah dilantik Menteri Besar Selangor apabila Pakatan menang selesa mengecewakan Dr Mohd Khir Toyo. Mengisi kempen selama 13 hari, kami di Harakah turut memeriahkan pesta demokrasi itu. Kami juga mengusahakan siri makalah khas, Kempen, yang diedarkan percuma dan mendapat sambutan luar biasa, hingga dicetak jutaan naskhah. Dalam minggu pertama, perjalanan kempen agak lembab. Masuk minggu kedua, keadaan berubah secara drastik. Sokongan pengundi, terutama daripada masyarakat bukan Melayu begitu mengkagumkan, khususnya kepada PAS. Semuanya bagai satu keluarga besar, masing-masing bertekad mahu 'mengajar keangkuhan' BN. Tohmahan buruk selama ini terhadap PAS hilang ghaib sekelip mata. Pada malam pilihan raya, semasa berhenti di kawasan R&R Sungai Perak, menuju utara, saya perhatikan beberapa gadis India turun dari kereta dengan menyelimuti badan mereka dengan bendera PAS. Seorang perempuan Melayu memakai jeans ketat dan kemeja-T pendek turut mengibarkan panji-panji PAS sambil menunjukkan tanda bagus kepada saya. Esoknya, hari mengundi, ramai sahabat dari Selangor menghantar SMS memaklumkan bahawa pengundi India memenuhi bangsal panas PAS untuk turut membantu di saat-saat akhir. Malam 8 Mac, saya berada di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut semasa BN melutut kalah. Masya-Allah, tidak dapat digambarkan perasaan penuh syahdu ketika Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak berucap kepada penyokong. Laungan takbir yang tiada hentinya mengingatkan tanggungjawab besar yang sedia menanti. Bukan sahaja di Kedah, majoriti rakyat sememangnya dahagakan perubahan. Mereka menolak BN selepas memberikan peluang secukupnya, ya, selama 50 tahun. Tema negara berkebajikan dilihat memikat dan mengetuk hati pengundi, di samping perwatakan pemimpin yang mesra-rakyat dan sedia turun padang menyelami degup jantung golongan bawahan. Pengalaman Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri Perak pastinya lebih menarik. Wakil parti paling kecil memiliki kerusi Dun, yakni PAS, dipilih menjadi menteri besar. Kewibawaan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin diuji secukupnya. DAP yang menang semua kerusi Dun yang ditandinginya sederap langkah sedia bersama parti Islam dan KeADILan mengisi agenda tuntutan rakyat. Bagi saya, keunikan jalinan mantap gabungan di Perak itu begitu indah dan menambahkan lagi keceriaan warna-warni politik Malaysia. Ketika sampai di Pejabat Perhubungan PAS Perak, jam 6 petang Jumaat, untuk mengadakan wawancara khas dengan Menteri Besar Nizar, saya perhatikan beliau agak serius berbincang dengan Pengerusi DAP Negeri, Ngeh Koo Ham, rasanya untuk pembahagian potfolio Exco. Riak muka mereka nampak seolah-olah ada banyak perkara yang belum dapat disepakati. Menariknya, perbincangan "empat mata" itu dijalankan di ruang depan pejabat, tempat orang lalu-lalang. Selepas setahun banyak insiden suka-duka dirakam sejarah. Paling menghiris tentulah tragedi rampasan kuasa di Perak, yang kini membuahkan krisis berpanjangan. BN, terutama di bawah Najib Razak, begitu ghairah mahu menebus kekalahannya, tanpa mengira sebarang etika dan adab. Ia petanda Umno makin gawat dan tenat sementara menunggu satu lagi hukuman rakyat dalam pilihan raya umum ke-13. Segala usaha "pemulihan" Umno-BN nampak gopoh dan menyerlahkan lagi bahawa "kebongkakan" sudah sebati dengannya. Kalau pun bukan kubur sendiri yang digali Umno, sekurang-kurangnya jurang dalam sudah tersedia untuk memerangkap. _ sumber : Harakahdaily |
SELAMAT MENJALANI SESI BARU PERSEKOLAHAN
6 years ago
0 komen:
Post a Comment