Thursday, September 4, 2008

HANYA ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI : Apa Yang Bakal Berlaku 16 Sept. ini


Oleh Tantawi08
Tazkirah 2 :
Ustaz , betul ker Ni kita akan dapat kerajaan baru 16 sept. ini ? Ni ramai orang dok sembang kat kedai kopi ! ada juga saya dengar penceramah menegaskan bahawa 16 sept kerajaan BN akan hancur ! Betul ker Ustaz ? Ustaz ada maklumat ker ? Apa pandangan Ustaz ?


Erm , begitulah bertalu - talu soalan menerjah , hanya bertanyakan perihal 16 sept. ini apakah yang akan berlaku ? Kerajaan akan berubah dan bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat ?

Sebagai seorang rakyat yang telah perit dan derita berada di bawah pemerintahan UMNO dan BN , memanglah saya tersangat mendambakan perubahan . Tak sabar rasanya untuk menanti detik jatuh dan tersungkurnya kerajaan angkuh UMNO dan BN ini .

Justeru itu , menjawab soalan di atas yang sememangnya dituju bertali arus kepada saya setiap kali saya selesai menyampaikan kuliah di masjid dan surau , saya hanya boleh berkata Insyallah ! Mudah - mudahan .

Saya jawab demikian kerana saya seorang muslim yang mesti terikat dengan ketentuan ( taqdir ) Ilahi . Terutama dalam perkara yang bakal berlaku . Jawapan saya ni mungkin pada setengahnya akan menganggap saya ni agak ortodoks dan tidak pula strategis .

Sebenarnya sukar juga saya mahu menjawab suatu yang belum berlaku . Usahkan 16 sept , hanya esok sahaja , apakah yang bakal berlaku tidak siapa yang mengetahuinya. Kita mungkin boleh melabuhkan harapan itu dan ini . Tetapi apakah harapan itu benar - benar menjadi realiti ? ianya sangat bergantung kepada ketentuan Ilahi dan tiada siapa yang mampu merubah atau mahu membuat ketetapan selain dari apa yang yang telah ditetapkan oleh Allah di Luh Mahfuz

Sementara itu juga , tiada siapa dikalangan manusia atau makhluk Allah di bumi ini mampu menyingkap rahsia Luh Mahfuz untuk ia terlebih dahulu membuat ketetapan sebelum Allah menetapkannya atau mengisytiharkan ketetapan Allah swt sebelum tiba masanya .

Orang yang beriman malah kental dan mantap imannya , saya rasa tidak sukar untuk memahamkan isu yang dibawa ini . Tentu sahaja mereka juga akan menjawab Insyaallah , sebagaimana jawapan yang telah saya berikan .

Insyaallah dengan maksud Jika diizinkan Allah swt ! maka berlakulah perubahan kerajaan tersebut , sesuai dengan ikhtiar gigih yang telah kita laku demi memastikan kerajaan UMNO dan BN segera dihumban ke tanah curam dan jika tiada izin dari Allah , biarpun sejuta usaha dan ikhtiar telah kita lakukan , pastinya ia tidak akan berlaku sebagaimana kita harapkan dan usaha mesti diteruskan untuk merealisasikan harapan besar ummah ini.

و إن يمسسك الله بضر فلا كاشف له إلا هو و إن يردك بخير فلا راد لفضله يصيب به من يشاء من عباده وهو الغفور الرحيم

dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan maka tiadalah sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia dan jika Ia mengkehendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan , maka tiadalah sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya . Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikehendaki dari hambaNya dan Dialah yang Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani

Surah Yunus . Ayat : 107

Kerajaan ini boleh kekal dan boleh musnah dengan kehendak Allah swt. sebagaimana firman Allah swt. yang selalu kita baca sebagai wirid selepas solat :

قل اللهم مالك الملك تؤتى الملك من تشاء و تنزع الملك ممن تشاء و تعز من تشاء و تذل من تشاء بيدك الخير إنك على كل شئ قدير

Katakanlah : Ya Allah Tuhan yang memiliki segala kerajaan , Engkau memberi kerajaan ( kuasa ) kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menyentap kerajaan itu dari siapa pula yang Engkau kehendaki , dan Engkau memuliakan siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa yang Engkau kehendaki , di dalam genggamanMu lah segala kebaikan . Sesungguhnya Engkau Tuhan yang sangat berkuasa di atas segala suatu .

Surah Aali Imran . Ayat : 26

Satu lagi ayat yang perlu kita hayati sebelum kita meyakini atau percayakan sesuatu termasuklah apa yang bakal berlaku pada 16 sept nanti . Firman Allah swt :

قل لن يصيبنا إلا ما كتب الله لنا هو مولانا و على الله فليتوكل المؤمنون

Katakanlah : Tidak menimpa kita ( berlaku sesuatu ke atas kita ) melainkan apa yang yang telah ditetapkan oleh Allah swt kepada kita . Dialah tuan kita dan kepada Allah berserah dirinya ( tawakkal ) orang - orang yang beriman .

Surah at Taubah . Ayat 51

16 Sept satu dateline.

Mengambil dan meletak tarikh 16 sept sebagai satu dateline untuk melengkap format tindakan atau usaha ikhtiar kita ke arah membentuk kerajaan baru adalah suatu yang dibenarkan , tetapi jika ia dianggap satu tarikh keramat yang pasti akan menyaksikan berlakunya perubahan kerajaan sebagaimana ianya diyakini oleh sebahagian , maka ianya boleh menjejaskan aqidah lantara kita telah mendahului taqdir Ilahi .

Sesuatu yang belum berlaku mesti kita sandarkan kepada Qadar ( ketentuan ) Allah sebagaimana kita mesti pula menyandarkan sesuatu yang telah berlaku kepada Qadha' ( perlaksanaan ) Allah swt. Demikian murninya tauhid seorang yang beriman kepada Allah swt.

Satu hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah bahawa Rasulullah saw. bersabda :

لكل أمة مجوس و مجوس هذه الأمة الذين يقولون لا قدر . من مات منهم فلا تشهدوا جنازته و من مرض منهم فلا تعودهم و هم شيعة الدجال و حق على الله أن يلحقهم بالدجال

Bagi tiap - tiap ummat ada majusinya . Majusi ummat ini adalah mereka yang mengatakan tiada taqdir ( ketentuan Ilahi ) . Sesiapa yang mati dari kalangan mereka , jangan kamu hadhiri jenazahnya dan siapa yang sakit dari kalangan mereka jangan kamu lawati mereka . Mereka adalah kaum dajjal . dan sememangnya ada hak bagi Allah menghubungkan mereka dengan dajjal .

Riwayat Abu Daud ( Sunan Abu Daud : 4/222 )

Faktor Dato' Seri Anwar.

Nama Dato' Seri Anwar Ibrahim kian harum dan mekar dihati rakyat selari dengan harapan mereka yang mahukan UMNO dan BN tumbang tergadah membaham lumpur hanyir sepadan kekejian dan kemungkaran yang pernah mereka lakukan selama ini. Namanya dijulang dan disebut merata tempat. Dada akhbar pastinya tidak ketinggalan merakam pelbagai aksi Dato' Seri Anwar , termasuklah Harakah daily dan Harakah cetak cukup setia melaporkan setiap detik dan aksinya.

Bagus lah begitu . Bermula saat kemenangan beliau di Permatang Pauh , langkah di orak dengan penuh gaya ke pintu Parlimen dan seterusnya ke Putra Jaya . Saya turut mengucapkan tahniah kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan beliau di Permatang Pauh .

Namun saya juga ingin mengingatkan semua agar kita tetap bersederhana dalam mengkagumi Dato' Seri Anwar Ibrahim yang tidak saya sangkal akan kewibawaannya. Cuma keterlaluan itu adalah sangat tidak baik dalam jua pekerjaan kita .

Saiyidina Omar al Khattab rha. sewaktu baginda menjadi Amirul Mukminin , pernah memecat Saiyidina Khalid al Walid yang sedang berperang di medan tanpa sebarang salah mahupun silap , malah Saiyidina Khalid mempunyai track rekod yang cemerlang di medan perang. Sering pulang membawa kemenangan .

Tindakan Saiyidina Omar al Khattab dipertikai oleh para sahabat Rhm. yang lain tetapi akhirnya dijelaskan oleh baginda Amirul Mukminin bahawa tindakannya adalah berasaskan rasa bimbang akan tergugatnya aqidah para sahabat kerana terlalu mengkagumi Saiyidina Khalid yang terlalu hebat di medan sehingga dianggap punca kemenangan . ( sedang aqidah para sahabat tentu sahaja hebat dan mantap tanpa ragu ). Baginda bimbang kekaguman itu membawa syirik sehingga lupa bahawa kemenangan adalah ketentuan Allah swt.

Dato' Seri Anwar adalah figure malah beliau juga adalah seorang pemimpin yang bergerak dibawah tadbir dan taqdir Ilahi .

Kepada saya , yang penting bukan 16 sept , tetapi perjuangan yang istiqamah dan ikhlas untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi tercinta. Jika Allah swt mentaqdirkan 16 sept sebagai detik kemenangan , alhamdulillah ianya menjadi ujian besar dari Allah untuk terus menguji hambaNya , apakah kita termasuk dikalangan hambaNya yang bersyukur atau sebaliknya kufur wal'iyazubillah .

Berjuang tidak syarat menang

Kita sememangnya mahu kemenangan , justeru itu kita gigih berjuang sejak lama dulu. Kerana kemenangan memerlukan sebuah perjuangan . Sudah memang syaratnya begitu . Hendak menang mestilah berjuang habis - habisan . Tidak mungkin menang dengan kita berpeluk tubuh . Tetapi berjuang tidak syarat menang . Maksudnya , walau kita tidak mencapai kemenangan perjuangan tetap akan diteruskan dan ia tidak wajar dipersalahkan .

Berjuang boleh jadi kita hanya kalah dan kalah dan kalah , tetapi kita tidak salah apatah lagi berdosa hanya kerana kita tidak menang . Yang dituntut syara' ialah berjuang bukan menang . Tidak menang dalam perjuangan bukanlah berdosa sebaliknya tidak berjuang hukumnya berdosa sebagaimana firman Allah swt dalam surah at Taubah ayat 38 :

يا يها الذين ءامنوا ما لكم إذا قيل لكم انفروا في سبيل الله اثاقلتم إلى الأرض أراضيتم بالحياة الدنيا من الآخرة فما متاع الحياة الدنيا فى الآخرة إلا قليل إلا تنفروا يعذبكم عذابا أليما

Wahai orang yang beriman , apa sudah jadi kepada kamu ? apabila diperintah kepada kamu supaya segera ke medan berjuang menegakkan agama Allah , kamu telah memberatkan papan punggung kamu ke muka bumi . Apakah kamu lebih redha dengan kehidupan dunia berbanding akhirat ? maka tidaklah kehidupan dunia itu berbanding akhirat melainkan sedikit ( disisi Allah ). Jika kamu tidak segera ke medan juang nescaya Allah akan mengazab kamu dengan azab yang sangat pedih .

Surah at Taubah . Ayat 38

Untuk perbahasan lanjut , mungkin sahabat boleh dapat pada tajuk akhir ( Syarat Menang mesti berjuang Tetapi Berjuang tidak syarat Menang ) dalam buku saya yang terbaru , tajuk Perjuangan Jihad Fi Sabilillah .

Mungkin pula ada yang berkata saya ni berfikiran pembangkang . Tidak begitu ! saya juga mahukan kemenangan sebagaimana orang lain mahukan kemenangan . Tinggal lagi saya tidak mahu kemenangan dalam bentuk istidraj , atau dalam erti kata lain kemenangan yang dicampak oleh Allah kepada kita sementara kita tidak layak pun untuk menang kerana tidak menepati pra syarat kemenangan .

Kemenangan begini akan menjadi fitnah kepada kita dan lebih malang , ianya mendorong dan melorong kita ke lembah neraka jahanam . Minta jauh , semoga kita semua dilindungi Allah daripada azabNya yang sangat pedih .

Kemenangan yang kita mahu ialah kemenangan yang dianugerah oleh Allah swt berikutan kita layak untuk menerimanya setelah kita benar - benar melaksanakan tanggungjawab dan menepati pra syarat sebuah kemenangan . Kemenangan yang meletakkan Islam di mercunya dan memancarkan sinar keadilan , ketelusan dan 1001 kebaikkannya buat ummah ini .

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura