Ditulis oleh Harakah
Monday, 29 June 2009
KUALA LUMPUR : Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak para ulama khususnya para mufti di negara ini supaya dapat duduk semeja untuk membincangkan isu-isu politik Islam dan kenegaraan secara ilmiah dan objektif.
Monday, 29 June 2009
KUALA LUMPUR : Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak para ulama khususnya para mufti di negara ini supaya dapat duduk semeja untuk membincangkan isu-isu politik Islam dan kenegaraan secara ilmiah dan objektif.
Perkara ini ditegaskan oleh ketuanya, Dato' Harun Taib kepada Harakah sebagai mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menjadi tajuk utama sebuah akhbar harian, 24 Jun lalu.
Dewan Ulama sedia menjadi penganjur jika mendapat respons yang positif dari institusi mufti di negara ini.
Katanya, soal tempat atau tajuk akan ditentukan kemudian, mengikut kesesuaian kedua-dua belah pihak. Apa yang penting, kesediaan untuk duduk semeja berbincang mengenai permasalahan umat yang melibatkan soal politik dan kenegaraan.
Sebuah akhbar harian menyiarkan kenyataan Mufti Perak yang dianggap kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan bagi menegakkan ideologi politik mereka.
Di Kota Bharu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Harussani sebagai tidak terdedah dengan sejarah politik Islam sehingga menganggap PAS sebagai punca perbalahan orang Melayu di negara ini.
Menteri Besar Kelantan itu bertanya, siapa punca kepada perpecahan pada masa sekarang di negara ini, parti Islam atau parti kebangsaan yang berteraskan sekular?
Menurutnya, orang Islam patut menilai semula sejarah Islam, adakah Nabi Muhammad s.a.w menjadi punca perbalahan masyarakat ketika itu atau orang yang melawan ajarannya yang menjadi punca perpecahan?
"Kalaulah Nabi Muhammad s.a.w menjadi punca balah, maka apa yang dikatakan Mufti Perak itu betullah. Sedangkan Baginda berbalah dengan bapa saudara dan masyarakat Arab bagi menegakkan Islam. Jadi siapa yang menjadi punca balah?" tegasnya.
Tok Guru Nik Aziz turut meminta supaya Harussani menggunakan masanya yang berharga itu untuk mempengaruhi Umno supaya menukar dasar kebangsaan yang menjadi teras parti itu kepada dasar Islam yang lebih syumul.
Mengulas lanjut, Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pandangan Harussani itu harus dilihat dari kaca mata Islam, jika diminta untuk bersatu padu dan membantu dalam perkara-perkara yang terang-terang bercanggah dengan Islam ia tidak boleh dijalinkan kerjasama.
"Contohnya dalam mengizinkan perjudian. Islam tidak akan berkompromi dalam perkara yang bercanggah dengan nas syarak. Jika masalah khilafiah tidak apa. Ini masalah-masalah dasar. Masalah dasar kita tidak boleh berkompromi," katanya semasa dihubungi.
Menurutnya lagi, walaupun orang bukan Islam sanggup melupai persengketaan politik kerana perpaduan tetapi mereka tidak ada prinsip-prinsip dasar sebagaimana yang ada dalam Islam. Islam katanya tidak pernah melarang dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syarak.
Tuan Ibrahim menolak dakwaan PAS tidak berkawan dengan Umno sebaliknya sanggup bekerjasama dengan DAP. Ujarnya, PAS berkawan dengan semua orang termasuk orang Umno kerana PAS mahu mengajak Umno kembali kepada Islam. Hal yang sama juga terjadi dengan DAP dan PAS cuba menunjukkan akhlak Islam kepada orang bukan.Islam.
"Perkara ini tidak bercanggah, cuma Umno yang pusingkan fakta seolah-olah mahu tanam kebencian rakyat terhadap DAP yang kononnya anti-Melayu dan anti-Islam," katanya.
Namun tegasnya lagi, di waktu yang sama apabila Umno bekerjasama dengan MCA dan Gerakan, tiada siapa berasa itu satu kesalahan. Sebaliknya, apabila PAS berbaik-baik dengan DAP ia dianggap suatu yang buruk.
Dalam pendekatan PAS dengan DAP dan rakan-rakan bukan Islam, Tuan Ibrahim berkata PAS akan menjelaskan dasar-dasar Islam - kebaikan, keadilan dalam pemerintahan dan kesaksamaan peraturan Islam kepada mereka. Jadi dengan cara ini katanya boleh mendekatkan orang bukan Islam kepada Islam.
"Sekurang-kurangya di peringkat awal kita berjaya menghapus Islamphobia di kalangan orang bukan Islam," katanya.
Terakhir dikemaskini ( Monday, 29 June 2009 )
0 komen:
Post a Comment