Tuesday, November 11, 2008

Rasuah Politik - Pengakuan Ketua Cawangan Umno Gong Pasir

Dungun (11 Nov 2008) - Buletinonline mendapat satu salinan surat bantahan terhadap Persidangan Cawangan UMNO Gong Pasir Dungun yang dihantar kepada Setiausaha UMNO Bahagian Dungun.

Berikut disiarkan satu dari lima perkara dakwaan Ahli Cawangan tersebut yang tidak berpuas hati dan mendakwa wujudnya rasuah, ugutan, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan konspirasi disebalik kemenangan Ketua UMNO Bahagian Dungun.

Sebelum persidangan dimulakan (semasa menunggu ahli-ahli datang dan mendaftar), Ketua Cawangan telah berbincang dengan beberapa orang Jawatankuasa Cawangan di luar dewan. Antara yang disebut ialah “saya telah menerima ARAHAN daripada Yang Berhormat kita agar mencalonkan Ketua Bahagian dan orang-orang tertentu untuk pencalonan jawatan Bahagian”.

Jelas, memandangkan Ketua Cawangan adalah Pengerusi JKKK, Iman Nikah dan beberapa jawatan lain yang dipegang dalam kerajaan, beliau takut kehilangan jawatan-jawatan berkenaan apabila contohnya, beliau tidak memainkan peranan atau berhasrat untuk mencalonkan orang lain selain daripada sebagaimana yang diarahkan oleh Yang Berhormat ADUN.

Yang Berhormat ADUN yang juga selaku Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha UMNO Bahagian telah dengan sengaja seolah-olah ‘mengugut’ serta secara terang menyalahgunakan kuasa yang ada padanya untuk kepentingan politik (bukan berkaitan dengan kerajaan) dan Ketua Cawangan, mahu tidak mahu boleh diistilahkan sebagai “telah diugut” dan terpaksa mengakuri arahan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat ADUN Kawasan sekiranya tidak mahu jawatan yang dipegangnya sekarang tergugat.

Selain itu, saya juga cukup yakin dan percaya, telah berlaku sogokan kepada Ketua Cawangan dan beberapa individu cawangan yang lain, memandangkan telah ada pertemuan sulit antara Yang Berhormat Kawasan dan beberapa Ketua Cawangan dalam DUN Rantau Abang bertempat di rumah Yang Berhormat ADUN (dengan dihadiri sama oleh Ketua UMNO Bahagian yang juga merupakan calon yang akan mempertahankan jawatan) pada malam sebelum persidangan berlangsung keesokan harinya.

Sebelum itu pun, telah ada beberapa ejen yang telah mengadakan pertemuan dan gerakan sulit dengan Ketua UMNO Cawangan dan beberapa AJK Cawangan. Dalam hal ini, tidak dinafikan Ketua Cawangan Kg Gong Pasir juga menerima habuan bagi menghalalkan pencalonan di peringkat Persidangan Cawangan.

Untuk makluman, pre-council persidangan Cawangan Kg Gong Pasir yang telah dibuat sebelum persidangan 8 Ogos, selain membincangkan persiapan persidangan cawangan, AJK Cawangan yang hadir juga telah secara sepakat mencadangkan pencalonan Ketua Bahagian dan jawatan-jawatan penting di peringkat Bahagian.

Agak menghairankan keputusan yang dibuat oleh Ketua Cawangan yang sama sekali bercanggah dengan persetujuan Jawatankuasa pada pre-council sebelumnya dan dibuat di saat-saat akhir beberapa minit sebelum persidangan cawangan dimulakan itu, telah menimbulkan syak wasangka yang besar bahawa telah berlaku rasuah politik yang membabitkan Ketua Cawangan Kg Gong Pasir.


Ditulis oleh Mat Stringer
Tuesday, 11 November 2008

Sumber : Buletinonline

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura