Sunday, August 31, 2008

Pulang kerja awal di bulan puasa, BN Terengganu teruskan legasi PAS

Mat Zain Mat Isa
Tue Sep 02, 08 10:19:36 pm MYT

HRKH-CAKAP tidak serupa bikin. Bikin tidak serupa cakap. Meski pun mendakwa pemerintahan PAS selama sepenggal di Terengganu awal dekad ini dipenuhi kelemahan dan keburukan, kerajaan Barisan Nasional yang menggantikannya sehingga hari ini nampaknya masih menggunapakai beberapa dasar dan peraturan ditinggalkan kerajaan PAS itu.






BN tidak ada pilihan melainkan mengekalkan beberapa legasi pemerintahan PAS yang terbukti relevan dan bermanfaat.

Antaranya ialah dasar kerja lima hari seminggu, cuti bersalin 90 hari untuk kakitangan wanita beserta cuti isteri bersalin tujuh hari untuk suami dan skim pinjaman tanpa faedah untuk kakitangan awam negeri.

Turut dikekalkan ialah peraturan mewajibkan model wanita berpakaian menutup aurat dalam paparan iklan di serata negeri. Sebab itu Terengganu menjadi satu-satunya negeri diperintah BN yang menyaksikan gambar Maya Karin dan Farra Fauzana bertudung litup.

Kedua-dua mereka muncul masing-masing dalam iklan Celcom dan Hotfm. Negeri lain yang terlebih dahulu melaksanakan peraturan itu ialah Kelantan yang diperintah PAS sejak 1990.

Bermula hari ini (1 Ramadhan), kakitangan awam di Terengganu sekali lagi dapat menikmati keistimewaan apabila dibenarkan pulang kerja lebih awal berbanding hari biasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Mokhtar Nong dalam satu kenyataan disiarkan media mengumumkan bahawa kerajaan negeri masih menggunapakai pekeliling mengenainya yang dikeluarkan pihaknya tahun lalu.

"Kita bagi rehat untuk menunaikan solat atau perkara lain dalam masa setengah jam dan waktu pulang diawalkan 30 minit," ujarnya. Menurutnya, jadual anjal itu berkuatkuasa mulai 1 Ramadhan (hari ini).

Mungkin ramai yang sudah lupa bahawa peraturan demikian sebenarnya mula diperkenalkan di Terengganu sewaktu ia diperintah PAS. Bahkan waktu pulang ketika itu jauh lebih awal berbanding apa yang dilaksanakan kerajaan BN sekarang.

Pelaksanaannya terbukti dapat memberikan keselesaan kepada kakitangan awam, terutama para suri rumah, untuk membuat persiapan sebaiknya bagi berbuka puasa. Peraturan sama telah didahului kerajaan PAS Kelantan seawal 90-an dulu.

Pengumuman Mokhtar yang secara tersirat merupakan pengakuan terhadap kebaikan peraturan diperkenalkan pemerintahan PAS dulu itu hadir hanya kira-kira seminggu selepas Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, mendakwa kerajaan PAS dulu dipenuhi keburukan dan kelemahan.

Dalam kenyataannya kepada media mengumumkan kesediaan pihaknya turut serta membantu jentera kempen BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh minggu sebelumnya, Ahmad antara lain menyebut akan mendedahkan keburukan apa yang pernah dilakukan PAS di Terengganu.

"Kita akan beritahu apa yang PAS cuba lakukan di Terengganu, macam mana mereka memerintah Terengganu sebelum ini dan apa yang mereka buat agar rakyat faham hakikat sebenar pembangkang," katanya sebagaimana disiarkan sebuah akhbar tempatan, 21 Ogos lalu.

Difahamkan sepanjang kempen pilihan raya kecil yang berakhir Selasa (26 Ogos) lalu, BN Terengganu dipertanggungjawabkan menjaga tiga kawasan Peti Undi iaitu Pelet, Kubang Semang dan Bukit Indera Muda.

Ketiga-tiga kawasan berkenaan terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang dimenangi PAS. Majoriti pengundi di ketiga-tiga kawasan tersebut adalah Melayu dan merupakan kawasan tradisi bagi PAS.

"Kita biasa dengan PAS dan kita lebih faham mengenai 'sepak terajang' PAS. Kita boleh beritahu apa yang dilakukan oleh PAS di Terengganu," tambah Ahmad lagi dengan yakin.

Bagaimana pun, mengambilkira keputusan pilihan raya itu, jelas membuktikan bahawa pengundi di sana telah menolak segala pembohongan dan putarbelit yang dibawa dan diperkatakan para pemimpin dan petugas BN.

Kita tidak dapat pastikan apakah yang telah disyarahkan para pemimpin Terengganu sepanjang berkempen di sana, terutama untuk memburuk-burukkan PAS sebagaimana dijanjikan Ahmad itu.

Namun apa yang pasti sudah banyak pendekatan pemerintahan ditinggalkan PAS masih ditiru dan digunapakai oleh kerajaan BN dipimpin Ahmad sendiri. Peraturan pulang kerja awal di bulan puasa adalah salah satu legasi itu. - (TMJ)_

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura