Thursday, July 3, 2008

Usaha singkir penyokong Idris?

Rombakan badan perhubungan Umno Terengganu semalam memberi isyarat bahawa para penyokong kuat bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh, semakin dipinggirkan dari arus politik negeri tersebut.

Menteri besar, Datuk Ahmad Said dipercayai cuba mengukuhkan pengaruhnya melalui usaha melantik penyokongnya memegang jawatan penting dalam badan perhubungan Umno negeri.

Mereka ialah ketua Umno bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang dilantik sebagai setiausaha; senator Datuk Ruslan Awang Chik (bendahari) dan Datuk Zuber Embong (ketua penerangan).

Rosli mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Rosol Wahid, manakala Ruslan menggantikan bekas exco kerajaan negeri, Datuk Wan Hisham Salleh. Zuber menggantikan Datuk Ahmad Shabbery Cheek yang kini dilantik sebagai menteri penerangan.

Ahmad mengumum pelantikan tersebut selepas selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri di ibu negara malam tadi.

Ahmad juga mengumumkan bahawa pelantikan lain bagi mengisi beberapa lagi jawatan dalam kepemimpinan Umno negeri, akan dibuat selepas mesyuarat badan perhubungan 12 Julai ini.

Rosol dan Ahmad Shabbery meletakkan jawatan masing-masing sebaik sahaja Idris melepaskan jawatan sebagai ketua badan perhubungan Umno negeri bulan lalu.

Pelantikan mengejutkan

Manakala Wan Hisham yang juga ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Kuala Terengganu, tidak dipilih semula mengekalkan jawatan bendahari.

Pelantikan Rosli tidak mengejutkan kerana bekas ahli Parlimen Dungun itu merupakan penyokong kuat Ahmad, khususnya semasa berlakunya krisis pelantikan menteri besar, Mac lalu.

Dalam krisis tersebut, Rosli merupakan antara beberapa ketua bahagian yang tampil menyokong Ahmad sebagai menteri besar yang mendapat restu Istana Terengganu.

Selain Rosli, ketua Umno bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar dan ketua Umno bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, turut menyokong Ahmad dalam krisis tersebut.

Manakala Roslan memang sudah lama terpinggir dari arus politik selepas presiden persatuan kontraktor Melayu Malaysia itu kalah dalam kerusi DUN Ladang dalam pilihanraya umum 1999.

Pelantikan Zuber pula agak mengejutkan kerana bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu itu sudah lama menyepi dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam Umno bahagian Kuala Terengganu.

Sebelum itu, Tengku Putera yang digugurkan dari mempertahankan kerusi parlimen Hulu Terengganu, telah dilantik menjadi speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Siapa tentang Idris?

Rombakan baru itu, yang dibuat kira-kira dua minggu menjelang mesyuarat cawangan Umno, juga memberi isyarat bahawa perubahan akan berlaku di peringkat bahagian.
Dijangka ketua-ketua bahagian yang menyokong Idris akan menghadapi tentangan sengit dari kumpulan penyokong Ahmad.

Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh dan ketua bahagian Setiu Mohd Jidin Shafie yang merupakan penyokong Idris, dijangka ditentang oleh kumpulan Ahmad.

Malah, Zuber sejak beberapa bulan lalu telah disebut-sebut akan menentang Wan Ahmad Farid, yang baru dilantik timbalan menteri dalam negeri selepas pilihanraya umum lalu.

Persoalan yang menjadi perbualan ramai di kalangan ahli Umno di Terengganu sekarang ialah adakah Idris juga akan ditentang di Besut.

Dalam pilihanraya umum lalu, ketua Umno bahagian Besut itu mempertahankan kerusi DUN Jertih tetapi tidak dipilih semua sebagai menteri besar Terengganu akibat krisis dengan Istana Terengganu.

Mesyuarat cawangan Umno akan bermula 17 Julai ini, manakala peringkat bahagian pada September dan perhimpunan agung Umno pada Disember depan.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura