SEPANG, 18 April: "Selepas ini, kita akan mulakan misi menjejak dan menyelamatkan Sufiah pula," kata Datuk Husam Musa selepas berjaya membawa pulang adik Che Siti Nur Azreen Che Ishak, 13 tahun, dengan selamatnya selepas hilang lebih dari empat bulan.
Husam berkata demikian kepada wartawan yang bersama-sama beliau menunggu kepulangan Azreen yang hilang dari rumahnya di di Ladang Ulu Sawah, Rantau Negeri Sembilan Disember tahun lalu.
Azreen selamat dibawa pulang oleh bapanya, Che Ishak Che Kob dari Lombok, Mataran, Jakarta selepas beliau bersama dengan Koordinator Migrant Care, Alex Ong serta Adun Paroi, Taufek Abdul Ghani dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar ke sana 14 April lalu.
Mereka pergi ke sana dengan biayaan Kijang Care, badan bukan kerajaan yang dinaungi oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di samping pembiayaan pribadi ahli rombongan.
Mereka pergi ke sana dengan biayaan Kijang Care, badan bukan kerajaan yang dinaungi oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di samping pembiayaan pribadi ahli rombongan.
Azreen dan rombongan selamat tiba di LCCT jam 9.00 malam tadi. Namun, untuk kepentingan masa depannya, wajah beliau tidak dibenarkan bapanya untuk dirakam para jurugambar yang menunggu kepulangannya.
Husam penuh keyakinan, jika ada kesungguhan Sufiah boleh diselamatkan.
Husam berkata, usaha untuk menjejak Azreen hanya berjalan selama empat hari sahaja selepas usaha itu digerakkan dengan bantuan aktivis Migrant Care di Indonesia.
"Jam 8.30 malam hari ke empat saya menerima panggilan dari Lombok, mereka sudah berputus asa dan keletihan untuk mencari Azreen lagi. Namun tepat jam 9.00 malam saya menerima berita gembira melalui SMS yang memaklumkan Azreen dijumpai," cerita Husam kepada wartawan.
Sehubungan itu, Husam mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan misi jejak kasih ini.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada yang terlibat termasuk seorang penderma dari Australia yang menyumbangkan RM2,000 untuk membantu projek ini. Namun kita masih memerlukan bantuan kerana kita masih terhutang lagi kerana bayaran tiket pulang rombongan ini dibayar melalui kad kredit," kata beliau.
Sementara itu, Adun Paroi, Taufik Abdul Ghani yang turut serta dalam rombongan itu menceritakan pahit maung mereka memujuk keluarga Tony Wijaya @ Supardi yang didakwa membawa Azreen lari ke Indonesia.
"Perjalanan Azreen ke sana berlangsung selama 10 hari 10 malam untuk sampai ke Lombok. Kami juga pergi melalui tempat yang sama, cuma kami lebih cepat kerana menggunakan kapal terbang," kata Taufik, satu-satunya Adun PAS di Negeri Sembilan. Beliau menang dalam pilihan raya umum baru-baru ini.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar juga mencerita bagaimana mereka terpaksa memujuk keluarga Supardi yang dikampungnya dikenali sebagai Suparman ini.
Masing-masing menggunakan pendekatan saikologi bukan secara kasar, kata Zulkifli.
Pihaknya berkata, mereka mahu membawa pulang Azreen kerana ibunya tidak sihat manakala adiknya pula demam kerana rindukan Azreen.
"Kelurga Suparman pula berkata, mereka perlu Azreen untuk membantu keluarga mereka kerana mereka tidak ada anak perempuan," cerita Zulkifli.
Namun semuanya berakhir dengan baik apabila mereka mendapat bantuan seorang anggota Parlimen (Dewan Perwakilan Rakyat - DPR) Indonesia dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang kebetulan sedang bermesyuarat di sebuah hotel berdekatan.
"Cuma keluarga mereka meminta perkara ini diselesaikan dengan cara baik dan tidak ada saman menyaman selepas ini," kata beliau.
Ke mana selepas ini
Husam berkata, beliau akan menjadikan Azreen sebagai anak angkat beliau dan akan berusaha untuk membina hidup dan masa depannya.
"Selepas bapanya menemui Azreen, agak sukar untuk memberikan keyakinan kepada Azreen untuk pulang. Saya telah memujukkan dengan menghantar surat dan coklat untuk membolehkan beliau ada keyakinan untuk pulang ke pangkuan keluarganya. Jadi kita tidak akan abaikan kebajikan Azreen selepas ini," katanya kepada wartawan.
Petikan daripada : siasah
0 komen:
Post a Comment