Thursday, March 19, 2009

Bukit Gantang : PAS Umum Calon 23 Mac

KUALA TERENGGANU 19 Mac Khamis - PAS akan mengumumkan calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak pada Isnin ini, kata Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Haji Mustafa Ali.

Beliau berkata nama calon parti itu akan diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Perak.

"Kita akan mengadakan mesyuarat pada 23 Mac ini dan pengumuman calon akan dilakukan pada sebelah malamnya," kata Mustafa di pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia pada 9 Februari lepas.

Mengulas lanjut, Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, berkata empat nama dicadangkan untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu dan kesemua mereka merupakan anak tempatan.

Beliau berkata PAS mengambil keputusan untuk mengumumkan lebih awal bagi membolehkan calonnya turun padang dan berkempen untuk menarik sokongan rakyat.

"Berbanding pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kita buat pengumuman lewat kerana calon kita sudah dikenali rakyat di sini," katanya.

Mustafa berkata PAS yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu walaupun menjangkakan tentangan sengit daripada calon Barisan Nasional (BN).

"Daripada maklumat yang saya terima, jentera pilihan raya PAS berjalan lancar. Ada sedikit perkara yang perlu dimantapkan menjelang pilihan raya kecil itu," katanya.

sumber : mStarOnline

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura