Sunday, May 29, 2011

Menjelang Pengumuman Kenaikan Tarif Elektrik Pada 30 Mei, 2011

Kerajaan bakal mengumumkan secara rasmi kenaikan tarif elektrik pada 30 Mei 2011. Pelbagai istilah digunakan dalam 'menghalalkan' kenaikan ini. IPP, subsidi, kuasa tambahan dan sebagainya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut kerajaan menyemak semula perjanjian berat sebelah antara syarikat Pengeluar Tenaga Bebas/swasta (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut Anwar, perjanjian tersebut hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan kroni yang rapat dengan pemerintah, sedangkan rakyat pula menanggung beban akibat kenaikan tarif elektrik.


“Berdasarkan
perspektif inilah saya menggesa Kerajaan Persekutuan untuk berlaku adil dengan menyemak semula harga yang dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad, termasuklah menggugurkan elemen harga tetap seumpama harga kapasiti bersedia dan kapasiti tetap yang mengakibatkan kos elektrik meningkat,” tegas Anwar.Link
Di bawah ini disertakan forum perbincangan di mesra.net berkaitan kenaikan tarif elektrik. Walaupun forum ini dibuat dua tahun lepas, tetapi tetap relevan dan dapat memahamkan kita tentang isu kenaikan tarif elektrik:

sumber : tuanibrahim.blogspot.com

Tuesday, May 24, 2011

Sekitar Sumbangan Kek Sempena Hari Guru 2011 Oleh ADUN Sura

DUNGUN, 24 Mei Selasa - Sumbangan besar warga pendidik khususnya dalam mendidik generasi pelajar mendapat perhatian daripada ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli.










Sempena Hari Guru 2011 yang diraikan setiap tahun pada 16 Mei, baru-baru ini, ADUN Sura merangkap Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun melalui wakil-wakilnya telah bergerak mengagihkan kek sebagai simbolik ingatan Hari Guru ke sekolah menengah dan rendah, tadika, PASTI, pejabat pelajaran serta premis yang mempunyai tenaga penyumbang dalam bidang pendidikan, khususnya di sekitar DUN Sura, Dungun.











Peranan besar para guru ini turut diberi pengiktirafan oleh Pakatan Rakyat sehingga ianya menjadi salah satu daripada 10 perkara utama yang digariskan melalui Buku Jingga apabila diberi mandat memerintah negara.

Monday, May 23, 2011

Ahli Parlimen Padang Terap Berceramah Di Dungun 25 Mei

DUNGUN, 24 Mei Selasa - Ahli Parlimen Padang Terap, Kedah, Y.B. Ustaz Mohd Nasir Zakaria akan bengandingan bersama Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Haji Azman Shapawi Abdul Rani dan ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli dalam siri ceramah umum yang disusun oleh Lajnah Penerangan DUN Sura.

Ketua Lajnah Penerangan DUN Sura, Encik Mohd Yusof Ismail, memberitahu ceramah yang dijadualkan pada 25 Mei, Rabu akan diadakan di Jalan Bunga Raya, Lorong 2.

" Penduduk sekitar DUN Sura pastinya ingin mengetahui isu-isu semasa yang berlaku khususnya di utara tanahair dan ianya akan dikupas oleh Y.B. Ustaz Nasir dalam ceramah tersebut, " ujar Encik Mohd Yusof.

" Selain itu, Ustaz Azman dan Ustaz Wan Hassan dijangka akan menyentuh isu-isu semasa lain dalam konteks negeri Terengganu dan Malaysia amnya, " tambah beliau lagi.

Beliau turut mengajak seluruh warga DUN Sura khususnya tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan fahaman politik mengambil peluang untuk mengikuti maklumat terkini daripada para penceramah yang telah diundang tersebut.

Friday, May 20, 2011

Setiap Projek Ada 'Bahagian' Wakil Rakyat UMNO


http://buletinonline.net/images/stories/berita48/whassan%20ceramah%20dungun.jpgDUNGUN 20 Mei, Jumaat - Wakil-wakil rakyat Umno dan Barisan Nasional Terengganu didakwa adalah golongan yang kaya berbanding rakyat yang masih ramai dalam keadaan miskin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli berkata banyak projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan, ada 'bahagian hasil' kepada wakil rakyat.


"sebab itulah, di antara mereka akan kemukakan supaya peruntukan-peruntukan untuk membuat kerja-kerja pembangunan ini kerana di dalamnya akan ada bahagian wakil rakyat, ini semua benda yang kita tahu,"tegasnya ketika berucap dalam Majlis Penerangan Isu Semasa di Kampung Molek, dekat sini semalam 19 Mei.

Tetapi yang sedih, kata beliau, bila sampai diperingkat perlaksanaan projek-projek tersebut, sebahagiannya tidak siap, sebahagiannya runtuh dan sebahagiannya tidak dapat digunakan.


Beliau selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun kesal kerana projek penaiktarafan Jalan Besar di bandar Dungun tidak dapat disiapkan sehingga hari ini
.

Menurutnya, projek tersebut yang telah dimulakan pada tahun 2008, namun pada 17 Mei lalu, genap tiga tahun, jalan tersebut masih tidak terbengkalai.

sumber : BuletinOnline.net

Wednesday, May 18, 2011

ADUN Sura Rai Jururawat Sempena Hari Jururawat Sedunia 2011

DUNGUN, 18 Mei Rabu - Seperti tahun sebelumnya, ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli meraikan para jururawat yang menyambut Hari Jururawat Sedunia baru-baru ini.






Simbolik ingatan hari jururawat ini disampaikan dalam bentuk sumbangan kek yang diwakili oleh isteri kepada Y.B.ADUN Sura sendiri, Puan Hajjah Siti Zaliha Mohd.

Beliau turut diringi oleh Ketua Muslimat DUN Sura, Puan Hajjah Rokiah Yusof dan dua orang ahli jawatankuasanya, Puan Siti Aidah Deraman dan Puan Rakiah Asuak.


Penyampaian kek tersebut telah disempurnakan pada 12 Mei, 2011 hari Khamis, baru-baru ini.

Sunday, May 15, 2011

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man Berceramah Di Dungun 19 Mei, Khamis

DUNGUN 15 Mei, Ahad - Di tengah-tengah lambakan isu yang sedang berlaku di negara ini, Lajnah Penerangan DUN Sura mengambil kesempatan dengan mengundang Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menyampaikan maklumat terkini melalui kupasan isu dari kacamata kepimpinan.

Menurut Setiausaha Lajnah Penerangan DUN Sura, Encik Ahmad Roslin Abdul Wahab, Dato' Tuan Ibrahim akan diiringi sama oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Haji Azman Syapawi Abdul Rani dan ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli.

" Dato' Tuan Ibrahim dijangka turut menyentuh isu fitnah yang dihadapkan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim, sementara Ustaz Azman akan menjelaskan isu-isu nasional lain, " ujar Encik Ahmad Roslin.

" Kami yakin bahawa isu-isu negeri Terengganu akan turut diketengahkan melalui ceramah ini dan kebetulan sidang DUN Terengganu baru sahaja selesai pada 12 Mei baru-baru ini dan sudah tentu Y.B. ADUN Sura akan merungkai isu-isu sidang DUN Terengganu di majlis berkenaan, " tambah beliau.

Ceramah tersebut akan diadakan di Jalan Lembah, Sungai Buaya pada 19 Mei, Khamis ini.

Saturday, May 14, 2011

ADUN Sura Ingati Hari Anggota Bomba 2011

DUNGUN 14 Mei, Sabtu - Pengorbanan besar anggota bomba khususnya dalam tugasan dan operasi menyelamatkan nyawa dan harta benda seharusnya menerima pengiktirafan masyarakat.

ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli mengambil inisiatif menghargai peranan besar anggota bomba ini dengan menyampaikan simbolik penghargaan - sumbangan kek sempena Hari Anggota Bomba 2011.

Setiausaha MTD Sura, Encik Mohamed Ibrahim Sini Mohamed mewakili ADUN Sura menyampaikan sumbangan kek tersebut pada 12 Mei, baru-baru ini di Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, di sini.

Friday, May 13, 2011

Sidang DUN Terengganu : 21 Kes Curi Balak Dikesan Sejak 2006

Link
KUALA TERENGGANU - Sebanyak 21 kes kecurian kayu balak telah dapat dikesan di negeri ini dari 2006 hingga Mac 2011.

Kerajaan Negeri dalam jawapan bertulis kepada soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Sura) itu menjelaskan, kes kecurian balak adalah bersabit kesalahan yang melanggar Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984, iaitu mengambil hasil hutan termasuk kayu balak tanpa kebenaran dari kawasan Hutan Simpanan Kekal dan tanah kerajaan.


Menurut Kerajaan Negeri, pada 2006, sebanyak dua kes dikesan dengan tangkapan sembilan orang, 2007 pula tiga kes (dua tangkapan), manakala 2008 pula, terdapat empat kes (dua tangkapan) dan pada 2009, sebanyak tiga kes dikesan (dua tangkapan).

Sebanyak sembilan kes dikesan dengan jumlah tangkapan seramai 10 orang pada 2010.
“Daripada 21 kes kecurian balak ini, hanya lima kes kesalahan itu adalah kesalahan hutan yang telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa raya untuk diambil tindakan.

“Sehingga kini belum ada kes yang dibuat pertuduhan di mahkamah kerana kelima-lima kes ini masih dalam penelitian Timbalan Pendakwa raya. Antara faktor menyebabkan bilangan kes kecil adalah kesukaran mendapat bukti dan saksi bagi disabitkan suspek dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Hassan turut mengemukakan soalan bertulis mengenai berapa banyak sejadah untuk kegunaan umat Islam menunaikan solat yang telah dibeli Kerajaan Negeri dan siapa pembekalnya serta berapakah kos yang terlibat.


Menurut Kerajaan Negeri, syarikat yang membekal sejadah ialah BIBI HAWA & SONS yang beralamat di Pulau Pinang dengan kos sebanyak RM999,460.
Sejadah itu masih disimpan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu sementara menunggu untuk diagihkan kepada masjid seluruh Terengganu.

sumber : BuletinOnline.com

Wednesday, May 11, 2011

Nasruddin Hassan : Negara Islam Solusi Perpaduan Kaum

1. Isu perkauman (rasis) kini ditiup oleh pihak yang cuba menangguk dari kekeruhan air yang dicipta sedang negara kita adalah negara berbilang kaum dan bangsa (majmuk). Sehari dua ini pula, isu agama juga dieksplolaitasi sepenuhnya untuk menjayakan agenda pecah dan perintah mereka sedang negara ini juga adalah negara yang berbilang agama (majmuk).

2. Setiap kali mereka buntu bagaimana untuk mempertahankan survival kuasa mereka, isu bangsa dan agama ini akan menjadi modal utama bagi merencana plan konspirasi mereka berasaskan kaedah divide dan rule. Surat khabar dan televisyen digunakan sepenuhnya sebagai misionery untuk mencetus api pertelingkahan dan permusuhan antara agama dan bangsa.

3. Selagi mana minda pemerintah mahupun pembangkang dibelenggu oleh fahaman sempit seperti ini, maka selama itulah rakyat dan negara ini akan terus mengalami igauan yang mengancam keselesaan dan keselamatan mereka setiap kali perkara ini marak menyala disimbah minyak.

4. Penuh keinsafan dengan hasrat untuk membantu semua pihak keluar dan bebas dari belenggu fahaman sempit ini, marilah saya tunjukkan kepada anda semua sebuah solusi yang perlu dinilai dengan ikhlas, jujur tanpa sebarang prejudis setelah menyaksikan kegagalan mencari penyelesaian sejak puluhan tahun lamanya, lalu membiarkan negara dan rakyatnya terus dihambat "hantu" perpecahan dan pergolakan yang berisiko tinggi ini.

baca artikel penuh...di sini.

Sunday, May 1, 2011

Jawapan Kepada Najib Di Terengganu

Untuk kesekelian kalinya, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak dengan tanpa segan silu mengulangi lagi seruannya supaya Parti Islam SeMalaysia (PAS) bekerjasama dengan UMNO-BN dan meninggalkan kerjasama PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR).

Bagi PAS, seruan Dato'Seri Najib itu adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan UMNO-BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat yang telah menjadi bencana dalam negara kita yang tercinta ini. Kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.

PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip. Ia tidak sama dengan kerjasama wala' antara UMNO dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu-Islam dalam negara kita ini sejak puluhan tahun.

Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90% adalah orang Melayu-Islam ?. Siapakah pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan UMNO-putra ?. Siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini? Jawapannya adalah kerajaan pimpinan UMNO-BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.

Maka, sebaliknya saya menyeru kepada ahli-ahli dan pemimpin UMNO supaya meninggalkan parti itu dan bersama PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan untuk semua bangsa di negara ini. Jika benar UMNO hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada ditangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?

Abdul Hadi Awang

27 J'Awal 1432 / 1 Mei 2011

sumber : facebook.com/hadipas

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura