Saturday, January 28, 2012

Pelajar Cemerlang Warga Tionghua Turut Terima Penghargaan Daripada ADUN Sura

DUNGUN, 28 Januari Sabtu - Tanpa mengira bangsa dan fahaman politik, ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli tetap menghargai kejayaan cemerlang yang diraih oleh anak-anak penduduk di bawah kawasan yang diwakilinya.
Encik Chong Tai Hwa menerima sumbangan 
bagi pihak anaknya, adik Chong Wan Lin
Dalam rangka jadual sumbangan penghargaan kepada pelajar cemerlang UPSR 2011 DUN Sura, pada petang Jumaat, 27 Januari, seramai enam orang pelajar warga Tionghua tersenarai daripada jumlah dua belas orang pelajar cemerlang di Cawangan Bunga Raya dan Cawangan Sura Utara. 
Puan Tan Ai Lee menerima sumbangan 
bagi pihak anaknya, adik Tan Yue Shiang
Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli sempat menyampaikan sendiri sumbangan kepada sebahagian pelajar berkenaan sebelum bergegas ke Kuliah Maghrib di lokasi lain. Baki sumbangan kepada pelajar yang lain disampaikan oleh wakil PAS Cawangan berkenaan.
 
Di Cawangan Sura Utara, empat orang pelajar cemerlang yang tersenarai ialah adik Chong Wan Lin, adik Wong Shin Yee dan adik Wong Yen Ee dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kwang Hwa.
 
Sementara adik Afeefah Binti Mohd Fakhruddin dari Sekolah Kebangsaan Sura.

Di Cawangan Bunga Raya pula seramai lapan orang pelajar cemerlang telah dikenalpasti, tiga orang daripadanya adalah pelajar Sekolah Kebangsaan Sura, iaitu adik Tengku Nurin Jazlina Binti Tg Md Noordin, adik Wan Nor Amirah Binti W Abd Shukor dan adik Noor Ameerah Binti Jelani.

Adik Don Zakaria Boavida Bin Elias Correia Boavida dari Sekolah Kebangsaan Bandar dan adik Khatijah Binti Hassan dari Sekolah Kebangsaan Batu 48.

Sementara tiga orang lagi adalah pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kwang Hwa, iaitu adik Tan Yue Shiang, adik Wong Chun Yuen dan adik Yeo Cheng Hao.

Thursday, January 26, 2012

ADUN Sura Santuni Pesakit Di Kampung Tanah Lot

DUNGUN, 26 Januari Khamis - Kesempatan baki masa yang ada sebelum ke Kuliah Maghrib selepas sumbangan penghargaan kepada para pelajar UPSR 2011 di Bukit Chatak 1 dan Alor Tembesu/Sura Gate pada petang Rabu, 25 Januari digunakan oleh ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli untuk menziarahi seorang pesakit yang kebetulan merupakan di antara pemilih berdaftar yang berada di dalam daerah mengundi Tanah Lot, DUN Sura, di sini.
 
 ADUN Sura menyantuni Encik Omar Tahiran 
di kediaman beliau di Kampung Tanah Lot, di sini.
Encik Omar Tahiran, 59, yang mengalami penyakit yang berpunca dari hati dinasihatkan oleh doktor supaya berehat dan tidak melakukan kerja berat. Beliau sebelum ini, bekerja di kilang papan di Lipis, Pahang.

Menurut isteri beliau, Puan Zainon Salim, keluarganya menyedari penyakit yang dihidapi oleh suaminya itu sejak awal Januari baru-baru ini.

"Penyakit ini memberi kesan terhadap tulang belakang dan lutut suami saya, menyebabkan beliau tidak dapat berjalan dan bangun seperti biasa, saya ucap terima kasih di atas kunjungan Y.B. Ustaz," ujar beliau ringkas.

ADUN Sura Hargai Kejayaan Pelajar Cemerlang UPSR 2011

DUNGUN, 26 Januari Khamis - Tanpa terikat dengan suasana samada semakin hampir dengan pilihan raya atau sebaliknya, ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli seperti tahun-tahun sebelumnya meneruskan rutin aktiviti tahunannya - menyampaikan sumbangan penghargaan kepada para pelajar cemerlang UPSR 2011.

 ADUN Sura menyampaikan penghargaan kepada 
adik Muhammad Rizqeen Syafri Bin Azman, pelajar SK Bandar,
sambil diperhatikan bapanya, Encik Azman Ghazali.

Adik Luqman Hakim Bin Shamsuddin, pelajar SK Pusat 
sedang menerima sumbangan daripada ADUN Sura,
diperhatikan bapanya Haji Shamsuddin Deraman.

 
 Haji Rashid Jam Mohd, AJK PAS Cawangan Bukit Chatak 1,
mewakili ADUN Sura, menyampaikan sumbangan kepada 
adik Asmaissyafiqah Binti Omar, pelajar SK Pusat, 
diperhatikan kedua ibubapanya.
 
Sumbangan bermula di Cawangan Bukit Chatak 1 pada petang Rabu, 25 Januari. Seramai enam orang pelajar cemerlang 5A UPSR telah dikenalpasti oleh PAS Cawangan berkenaan.

Mereka terdiri daripada adik Nur Amirah Syafika Binti Azman dari Sekolah Kebangsaan Sultan Omar, adik Muhammad Rizqeen Syafri Bin Azman (SK Bandar) dan adik Atiqa Nur Azza Binti Mahmad Azan (SK Sura).

Sementara tiga orang lagi adalah dari Sekolah Kebangsaan Pusat iaitu, adik Luqman Hakim Bin Shamsuddin, adik Asmaissyafiqah Binti Omar dan adik Hakimah Binti Rani
Sumbangan dengan kadar RM30 setiap pelajar itu, dilakukan dari rumah ke rumah keluarga pelajar berkenaan itu, turut diiringi oleh AJK PAS Cawangan yang terlibat.

Sebahagian sumbangan disampaikan kepada bapa atau penjaga kepada para pelajar kerana ketika kunjungan pelajar berkenaan tiada di rumah.

Pada hari yang sama, ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun turut menyampaikan sumbangan yang sama di cawangan Alor Tembesu/Sura Gate. Di sini, seramai dua belas orang pelajar telah dikenalpasti sebagai pelajar cemerlang.
 Datuk kepada adik Nurul Ad Diraini Binti Mohd Azura, 
pelajar SK Pusat menerima sumbangan bagi pihak cucunya.
Tujuh orang daripada para pelajar cemerlang tersebut terdiri daripada pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sultan Omar, iaitu adik Ahmad Zikri Bin Abd Aziz, adik Muhammad Syazwan Bin Mohd Suhaidi, adik Harni Haziera Binti Afsarizal, adik Izyan Athrrah Binti Razali, adik Nik Nurhafizah Binti Nik Rasly, adik Nur Ain Najwa Binti Ibrahim dan adik Muhammad Azamuddin Bin Zamri.

Empat orang dari Sekolah Kebangsaan Sura iaitu adik Muhammad Tajul Salihin Bin Mohd Tajul Hasnan, adik Muhammad Aidan Bin Mohd Halmy, adik Muhammad Ariff Fadhilah Bin Zulkifly dan adik Ahmad Zaim Adil Bin Zaimi.

Penerima tunggal dari Sekolah Kebangsaan Pusat di cawangan Alor Tembesu/Sura Gate ialah adik Nurul Ad Diraini Binti Mohd Azura.

Seramai lebih lapan puluh orang pelajar cemerlang telah dikenalpasti oleh pihak Lajnah Pelajaran MTD Sura. Penyampaian penghargaan ini dijadualkan berakhir di minggu pertama Februari, 2012.

Wednesday, January 25, 2012

Menjelang PRU-13 : Mahasiswa/Anak Muda Ingin Realisasikan Debat Anwar-Najib


KUALA LUMPUR, 26 Jan : Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) hari ini menyatakan kesediaan menjadi penganjur debat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
 
Pengerusi Majlis Politik Nasional gabungan itu, Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor berkata, debat antara kedua-dua pemimpin itu sangat dinanti oleh rakyat apatah lagi golongan mahasiswa.

"Golongan mahasiswa sangat ternanti-nanti pendirian Datuk Seri Najib berkenaan kesediaan beliau untuk menyertai debat tersebut, Datuk Seri Anwar sudah lama menyatakan hasrat beliau.

"Mahasiswa bersedia untuk menjadi penganjur debat ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kajian yang dikendalikan Merdeka Center terhadap Profesional Melayu yang mahu debat antara kedua pemimpin politik tanah air itu direalisasikan.

Menurut Hafizuddin, selain kaedah terbaik meraikan perbezaan, debat juga ujarnya boleh menjadi medan penilaian bagi masyarakat khususnya anak muda untuk memilih kepimpinan yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara kelak.

Melalui beberapa perbincangan dan 'survey' di peringkat kepimpinan mahasiswa yang dijalankan mereka, pengesyoran debat disambut baik di peringkat kampus masing-masing.

Dalam pada itu beliau berharap debat tersebut jika berjaya diadakan, hanya fokus kepada isu-isu kenegaraan yang melibatkan rakyat dan kebajikan rakyat, dan bukan perdebatan berkenaan isu peribadi.

"Justeru, pihak Gamis mengesyorkan agar mahasiswa dapat bersinergi dalam menjayakan budaya ilmiah ini andai kedua-dua pemimpin besar parti (Najib dan Anwar) bersedia untuk berhadapan antara satu sama lain dalam debat politik.

"Kami juga menolak mana-mana idea yang menyatakan idea debat adalah tidak diguna pakai di Malaysia," katanya.

sumber : harakahdaily.net

Saturday, January 21, 2012

Sekali Lagi Najib Razak Tersungkur Di Gelanggang Internet...Ah Wah Gor Memintas Ah Jib Gor Dalam 24 Jam!



Sekali lagi Najib Razak tersungkur di gelanggang internet, apabila terbuka untuk persaingan bebas tanpa sekatan.  Apa tidaknya, usaha Najib untuk mendampingi warga internet Cina terus digagalkan, apabila mengundang pelbagai reaksi negatif - yang dijelmakan dengan pendekatan yang cukup "kreatif".

Bermula dengan laman sosial Facebook versi bahasa Cinanya yang dibanjiri sindiran dan kritikan tajam, seterusnya diperlekehkan pula apabila warga internet menubuhkan laman Ah Jib Soh (makcik Ah Jib, merujuk kepada isteri PM), dan terkini, laman sosial Facebook Ah Wah Gor (merujuk Anwar Ibrahim) - menarik bilangan peminat yang lebih daripada Ah Jib Gor dalam tempoh 24 jam selepas ditubuhkan.

Sejumlah 14,697 orang warga internet yang menekan butang "like" di laman rasmi Ah Jib Gor pada jam 7.16 petang 21 Januari 2012, longgakan sejak ditubuhkan pada 13 Januari 2012.  Sementara Ah Wah Gor, yang ditubuhkan pada 20 Januari 2012, mencatat 18,594 "like" pada masa yang sama.  Malah, menurut admin Ah Wah Gor, laman ini berjaya memintas Ah Jib Gor dalam tempoh 19 jam. Sehingga jam 12.26 awal pagi 22 Januari, Ah Jib Gor mencatat 15,418 like, sementara Ah Wah Gor mencatat 24,890 like.
 
baca artikel penuh...di sini.

Friday, January 20, 2012

Perutusan Tahun Baru Cina Presiden PAS

Bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan disambut oleh masyarakat Tionghua di Malaysia dan di seluruh dunia minggu ini, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengucapkan selamat menyambut hari kegembiraan tersebut. Perayaan yang turut melibatkan majlis makan besar dalam keluarga besar merupakan satu nilai positif yang juga turut disanjung ajaran Islam. Islam juga  menggalakkan hubungan kekeluargaan dipereratkan, malah jika sudah memeluk Islam sekalipun, hubungan kekeluargaan tidak pernah putus khususnya dengan kedua ibu bapa mereka. 
Apa yang malangnya ialah pemerintahan negara selama puluhan tahun ini masih belum mampu mewujudkan perpaduan nasional yang mantap. Malah hidup dalam kegelisahan akibat permainan politik perkauman pihak pemerintah. Bahkan hubungan masyarakat Tionghua di Tanah Melayu ini telah wujud seawal pemerintahan kerajaan Islam Melaka melalui hubungan diplomatik Laksamana Cheng Ho dengan kerajaan Melaka.
 
Masyarakat Tionghua di Malaysia merupakan kelompok kedua terbesar di negara ini dan memberi kesan terhadap politik dan sosial negara. Perubahan yang mereka lakukan dalam pilihanraya ke-12 yang lalu membuka lembaran baru politik negara yang menyentak keselesaan pemerintah di peringkat pusat. Perubahan yang dilakukan adalah untuk melihat negara maju ke hadapan dan keluar daripada politik usang yang menindas, diskriminasi dan zalim kepada rakyat kepada politik yang adil dan saksama sesama rakyat.

Namun ianya belum cukup merubah keseluruhan sistem 'usang' negara dan menginsafkan pemimpin pusat yang terus menerus menindas negeri-negeri dan rakyat. Maka tibalah masanya kita membuat perubahan total diperingkat kerajaan pusat. Maka sekali lagi masyarakat Tionghua adalah penting dalam mengekalkan dan meningkatkan undi mereka kepada Pakatan Rakyat dan seterusnya bersama membina negara yang adil untuk semua.

PAS akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghua di Malaysia dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur. PAS juga kini melalui Kelab Penyokongnya telah berjaya menjalin hubungan baik dengan masyarakat Tionghua khususnya dalam saling faham-memahami dan hormat-menghormati serta saling tolong-menolong di antara satu sama lain. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.

Gong Xi Fa Cai kepada semua.
Presiden PAS 

sumber : harakahdaily.net

Rayuan Peguam Negara : Menambah Kebencian Rakyat Kepada BN

KUALA LUMPUR, 20 Jan : Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

Rayuan itu difailkan pada jam 4.30 petang ini di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu minit terakhir pada hari terakhir kes ini boleh dibuat rayuan.

9 Januari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar dari pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Ini kerana, keraguan mahkamah terhadap intergriti sampel DNA yang diambil polis dari Saiful.

Semalam Saiful menghantar surat rasmi kepada pejabat Peguam Negara agar kes beliau itu dibuat rayuan oleh pihak pendakwa.
"Sehingga ke hari ini tiada maklum balas terhadap permohonan terbuka saya dan bapa dari Peguam Negara sama ada beliau akan memfailkan rayuan atau tidak. Masa juga semakin suntuk.

"Rayuan ini penting kerana ia membabitkan maruah dan masa depan saya. Saya hanya menuntut hak saya sebagai warganegara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan di mana setiap aduan itu berhak didengar dan diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Tertinggi dan saya berdoa agar Peguam Negara mempertimbangkan permohonan saya ini," kata Saiful melalui blognya berkenaan suratnya kepada pejabat Peguam Negara itu.
Tindakan politik

Bagi peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar), rayuan tersebut dilihat lebih cenderung kepada tindakan politik semata-mata biarpun Peguam Negara mempunyai hak dari sudut undang-undang untuk merayu.

Katanya, dengan pelbagai persoalan yang membelenggu kes tersebut sepanjang perbicaraan di Mahkamah Tinggi sebelum ini, kes tersebut seharusnya selesai dan ditutup sejak 9 Januari lalu lagi.

"Apabila rayuan dibuat, saya kira ianya lebih kepada tindakan politik.

"Kenapa kes yang membabitkan Razak Baginda dulu tidak rayu, sekarang rayu? Saya kira kes Razak Baginda dulu itu lagi besar kerana melibatkan maruah negara di mata dunia," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan merayu itu juga hanya akan memberi pandangan negatif kepada Peguam Negara yang seolah-olah menjadi alat politik kepada Umno BN.

"Apapun pada saya rayuan ini akan menguatkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat pada masa yang sama menambah kebencian mereka kepada Umno BN," tegasnya.

Tuesday, January 17, 2012

ADUN Sura Agih Limau Sempena Tahun Baru Cina

DUNGUN, 18 Januari Rabu - Menjelang seminggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina, Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Kawasan Dungun telah mengambil inisiatif menyusun program agihan limau kepada para peniaga masyarakat Tionghua di sekitar bandar Dungun.
Di DUN Sura, agihan tersebut diadakan pada 16 Januari, bermula di Pasar dan Kuala Dungun  dan keesokannya 17 Januari, agihan dilakukan di sekitar Sura Gate dan sekitarnya.
ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli telah hadir melakukan agihan ke premis perniagaan para peniaga yang tersenarai. 
Sebanyak lebih kurang 200 buah kedai telah menerima kunjungan ADUN Sura atau wakilnya sempena agihan limau Tahun Baru Cina tahun ini.
Turut mengiringi ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun, ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Kawasan Dungun iaitu Puan Serena Lim Abdullah dan beberapa orang Ahli Jawatankuasanya, di antaranya Haji Hassan Abdul Aziz, Abdullah Che Yahya dan Abdul Rajak Hj Abdul Hamid.

Bendahari MTD Sura, Haji Abdullah Ibrahim dan AJK MT Pemuda DUN Sura, Shaikh Salmin Shaikh Mohamad turut mengiringi ADUN Sura semasa agihan limau tersebut.

Monday, January 16, 2012

BERSIH Lantik A Samad Said Pengerusi Bersama

KUALA LUMPUR, 17 Jan - Datuk A Samad Said akan dilantik sebagai pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dilihat akan memberi tekanan dalam menuntut transformasi pilihan raya negara.
Gambar fail

Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga mengesahkan pelantikan itu kepada The Malaysian Insider, menambah satu pengumuman rasmi akan dibuat hari ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).

“Ya. Saya sahkan mengenainya tetapi kami juga akan mengumuman lain,” katanya apabila ditanya sama ada pelantikan Samad sudah dibuat secara rasmi atau tidak.

Samad, Sasterawan Negara berusia 76 tahun ini yang mencipta fenomena baru semasa Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lalu bagaimanapun enggan menjawab persoalan itu, sebaliknya mengulas sedang sibuk dengan “rancangan utama” Bersih.

“Saya tidak boleh hendak memberikan sebarang komen mengenai perkara itu tetapi akan ada satu pengumuman, elok anda datang dan dengar sendiri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Samad menjadi perhatian selepas sajaknya bertajuk “Unggun Bersih” dideklamasikan semasa pelancaran Bersih 2.0, yang turut menyaksikan beliau dipanggil ke balai polis untuk soal siasat.

Penulis veteran ini merupakan antara peserta Bersih 2.0 yang berjaya tiba di Stadium Negara untuk mendesak pilihan raya bersih dan adil bersama Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.
Sementara peserta lain termasuk Ambiga dan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat ditahan pihak berkuasa.

Samad telah dinamakan sebagai pengerusi bersama Bersih melalui kenyataan akhbar baru-baru ini.

“Sidang media esok (hari ini) memang mengenai saya tapi saya tidak tahu secara terperinci. Saya juga diminta hadir lebih awal sebelum sidangh media diadakan,” katanya.

Ditanya sama ada akan menerima jawatan itu, Samad bagaimanapun ketawa sambil berkata ia akan diulas semasa sidang media diadakan.

“Apa-apa saya akan jawab semasa sidang media (sama ada mahu terima atau tidak), kita tunggu sahaja nanti,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan Bersih akan mengumumkan kempen terbarunya hari ini serta respons kepada prestasi semasa Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) yang diarahkan melihat cadangan pembaharuan pilihan raya.

“Kami akan umumkan kempen terbaru dan pandangan kami mengenai PSC,” kata Ambiga.


Tawaran Jingga

Dasar FELDA Pakatan Rakyat

Pernyataan Masalah


1. FELDA yang ada sekarang telah menyimpang dari matlamat asalnya iaitu untuk membantu rakyat termiskin memiliki tanah dan menjaga kepentingan peneroka dengan menyediakan perkhidmatan dan bantuan sokongan kepada mereka agar berdaya saing dan mendapat pulangan terbaik dari tanah dan tanaman mereka.

2. Sekarang, peneroka dilayan seolah-olah mereka pekerja ladang yang bermajikan sebuah konglomerat perladangan besar.

3. Masanya telah tiba untuk mengembalikan FELDA dan konsep rancangan tanah persekutuan kepada semangat asalnya; iaitu FELDA menyediakan perkhidmatan dan bantuan sokongan kepada peneroka sebagai tuan tanah agar mereka mendapat pulangan terbaik dari tanah dan tanaman mereka.

PR akan menghentikan penyenaraian FELDA Global Ventures

1. Penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) adalah bertentangan dengan semangat asal penubuhan FELDA dan mengkhianati kedudukan peneroka sebagai tuan tanah.

2. Kumpulan FELDA kini mempunyai 137 syarikat yang aktif dalam pelbagai perniagaan. 47 adalah anak syarikat atau hakmilik FELDA Holding Berhad (FHB) manakala 90 lagi ditubuhkan di bawah FGV.

3. Bagi tahun kewangan 2010, FGV mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM366.37 juta sementara FHB mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM760.10 juta.

4. Sejak FGV ditubuhkan dalam tahun 2007, FHB terus mencatat keuntungan yang jauh lebih baik berbanding dengan FGV yang banyak rugi dengan pelaburan di luar negara yang diragui ketepatan nilai pelaburannya.

5. Kedua-dua syarikat FGV dan FHB ditubuhkan dan dibina di atas kekuatan kewangan hasil sumbangan peneroka-peneroka FELDA yang menjadi pelanggan kepada syarikat-syarikat ini.

6. Melalui penyenaraian, pegangan bersih peneroka dan kakitangan FELDA di dalam FHB (yang lebih menguntungkan) akan berkurangan seperti berikut:

7. Oleh yang demikian, penyenaraian kesemua syarikat perniagaan di bawah FELDA melalui suntikan ke dalam FGV yang akan disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur wajib ditentang kerana:

Pegangan bersih peneroka dan  kakitangan FELDA dalam FHB
 
Sebelum penyenaraian 51%
Selepas penyenaraian 42.6%

a. Bertentangan dengan konsep asal FELDA yang menjunjung hak peneroka sebagai tuan tanah, bila mana syarikat-syarikat yang dibina di atas kekuatan kewangan hasil keringat peneroka diperjudikan di pasaran saham;

b. Penstrukturan entiti perniagaan FELDA di bawah FGV dan FHB yang dilakukan melalui penyenaraian bermakna peneroka terpaksa menanggung risiko kerugian syarikat-syarikat yang kurang berdaya saing yang kini berada di bawah FGV;

c. Penstrukturan itu juga bermakna peneroka dan kakitangan FELDA akan kehilangan lebih banyak pegangan di dalam syarikat-syarikat penting yang untung di dalam FHB, sebagai pertukaran kepada pegangan di dalam FGV;

d. Penyenaraian bermakna tanah-tanah yang diambil atau dibangunkan atas nama peneroka akan hilang dari pegangan peneroka apabila ia menjadi milik syarikat awam yang majoritinya bukan peneroka dan kakitangan FELDA.
 
baca artikel penuh...di sini.

Thursday, January 12, 2012

Tulisan Pertama Adam Adli...Mengapa Saya Pilih Jalan Raya?



Apabila saya dihubungi editorial Merdeka Review untuk menjadi kolumnis jemputan, saya seakan tidak percaya; kerana lebih kurang 10 minit sebelum dihubungi oleh pihak editorial, saya baru sahaja menyatakan hasrat saya untuk menulis di akhbar dan portal agar segala pandangan dan buah fikiran saya dapat dinilai seadilnya.  Bukan sekadar di medium Twitter atau Facebook.  Tidak lama kemudian, saya mula termenung; apa harus saya tulis?  Saya pernah terbaca pesanan seorang penggiat sastera yang mengatakan "pertama, kita harus tulis apa yang orang mahu, kemudian barulah kita tulis apa yang kita mahu,".  Saya cuba untuk menuruti pesanan beliau.  Puas saya fikirkan, akhirnya saya buat keputusan.  Reaksi kepada soalan-soalan yang sering diajukan kepada saya, saya fikir, ramai yang ingin tahu dan baca; mengapa saya pilih jalan raya.

Tahun 1997 dan 1998 tentu sekali tahun penting dalam lipatan sejarah Negara kita kerana pada tahun itulah kita menyaksikan mobilisasi manusia yang disifatkan paling besar pernah berlaku dalam sejarah moden tanah air.  Dari situ saya mengenali jalan raya sebagai medium sebenar menyampaikan suara dan isi hati rakyat yang setiap satunya mungkin tidak pernah pun merasai sejuk hawa dingin bangunan Parlimen mahupun Putrajaya.  Saya masih ingat, ayah saya juga antara demonstran tegar ketika itu.  Setiap pagi Sabtu beliau pasti akan turun ke kota.  Dengan hanya berkemeja-t dan berseluar jeans, dengan motosikal buruknya beliau akan ke sana.  Pernah saya mohon untuk bersama, tapi dihalang beliau.  Katanya bahaya.

Lebih kurang sepuluh tahun kemudian, saya mula kenal jalan raya.  Bermula dengan demonstrasi menuntut hak air rakyat Selangor, segala persoalan mengapa ayah saya turun ke tengah kota hampir setiap minggu sepuluh tahun lalu terjawab.

Di tengah-tengah keringat ribuan manusia, saya seorang diri asalnya.  Saya tidak kenal langsung siapa yang berada di situ.  Usai demonstrasi tersebutlah baru saya kenal beberapa rakan baru yang kini bersama dalam satu barisan bernama Solidariti Mahasiswa Malaysia.  Saya masih ingat, ketika itu, berdepan dengan trak FRU, sebagai "first timer", logiknya pasti saya memilih barisan paling ke belakang sekali.  Namun entah dari mana saya dapat keberanian untuk menjadi benteng hadapan.  Sekali lagi diulangi, saya hadir seorang diri tanpa rakan yang dikenali.  Namun aneh, saya tidak pula rasa keseorangan.  
Dengan bergandingan bahu bersama beberapa anak muda mahasiswa yang lain, kami berdepan dengan tembakan water-cannon.  Kami tidak berganjak dari tempat kami.  Sehingga akhirnya diserang oleh anggota keselamatan barulah kami mula mangambil langkah berundur.  Itu antara kenangan yang masih saya simpan.
baca artikel penuh...di sini.

Wednesday, January 11, 2012

Ahmad Said Ditempelak Lagi

- Ahmad Said kata nak buat projek RM350 juta pula!
DUNGUN - Belum pun selesai projek benteng pemecah ombak yang dijanjikan bernilai RM1.5 juta, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said mengisytiharkan projek baru yang berlipat kali ganda mahalnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli mempersoalkan kenyataan Ahmad yang secara tiba-tiba menaikkan kos membina banteng pemecah ombak kepada RM350 juta.

“Mula-mula dia kata kerajaan negeri peruntukkan RM1.5 juta, kerajaan Pusat akan tambah RM10 juta, bagi projek pemecah ombak untuk menghalang hakisan pantai Teluk Lipat,

“hok tu pun dok selesai lagi, mari pulok bajet baru RM350 juta,”ujarnya ketika ditemui selepas majlis Dailog Jabatan Kerajaan dan Swasta serta NGO yang diadakan di sini, pada Isnin 9 Januari (Gambar).

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar tempatan pada 3 Januari lalu yang menyebut Ahmad sebagai berkata, peruntukan sebanyak RM350 juta diperlukan bagi membina benteng pemecah ombak.

Ahmad memberi komen mengenai keadaan jalan di kawasan peranginan Teluk Lipat, Dungun yang rosak akibat kejadian hakisan.

ADUN Kijal itu mengaku, perancangan dan kajian telah dibuat namun kerajaan negeri tidak mampu dan terpaksa bergantung pada kerajaan pusat.
 
baca artikel penuh...di sini.

Monday, January 9, 2012

Adam Adli Ke Surau Hj Bidin, Dungun, Terengganu 14 Januari

DUNGUN 10 Januari, Selasa - Adam Adli, 22, penuntut Sarjana Muda Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengundang kontroversi sebelum ini kerana menurunkan bendera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 18 Disember lalu akan menyampaikan 'bicaranya' di Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin, di sini.

Program anjuran Badan Bertindak Pewaris Bumi Malaysia  (WARIS) ini akan berlangsung pada 14 Januari Sabtu ini.

Menurut Ketua Penerangan MTD Sura, Encik Mohd Yusof Ismail, beliau (Adam) dijangka turut mengulas berhubung penggantungan tiga semester yang dikenakan oleh UPSI kerana didapati bersalah dalam insiden menurunkan gambar Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

"Saya mengambil kesempatan mengajak semua warga DUN Sura, khususnya dan Dungun amnya supaya hadir beramai-ramai mendengar bicara anak muda ini", ujar Encik Mohd Yusof.

Thursday, January 5, 2012

"Saya Sendiri Pernah Diberi Satu Longgok Cash Suruh Saya Edar".

KUALA LUMPUR, 5 Jan : Veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar 'tidak kalut' untuk mengadakan pilihan raya seawal Mac tahun ini.

Sebaliknya kata beliau, Najib sewajarnya menunggu Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya selesai melaksanakan tugas mereka terlebih dahulu dan segala syor mereka dilaksanakan sepenuhnya.

Jika Perdana Menteri membuat pilihan raya awal tanpa menunggu jawatankuasa yang dibentuknya selesai menjalankan tugas, orang ramai akan mempertikaikan langkah beliau itu dan menganggap beliau menipu.
Oleh itu, katanya, Perdana Menteri perlu memastikan jawatankuasa itu selesai menjalankan tugas mereka selepas beliau sendiri melantik mereka sebelum ini.

Bekas menteri penerangan dan pelancongan itu berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan Harakahdaily semalam.

"Setakat ini baru cap jari (dakwat kekal), benda kecik sahaja, benda-benda pokok belum buat lagi.

"Kita ada masa, parlimen ini sampai April 2013, apa duk kalut sangat. Tabur duit merata-rata nak buat pilihanraya bulan Mac," katanya.

Sambil mengingatkan Najib bahawa sekarang sudah tahun 2012, rakyat zaman ini sudah pandai menilai dan tidak boleh lagi diperbodohkan,  kata beliau yang juga Timbalan Presiden NGO Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

Antara lain katanya, keperluan rakyat kepada media yang adil dan bebas, bukan melaporkan sebelah pihak seperti sekarang ini.

"Harakah misalnya, mewakili setengah daripada orang Melayu di Semenanjung.

"Dia mintak permit nak buat akhbar (harian) ni dah 50 tahun dah, tak bagi juga. Kalau saya ada kuasa saya bagi," katanya lagi.

Selain itu, beliau juga mengingatkan kerajaan BN pada hari ini agar matang dan tidak lagi menggunakan taktik kotor untuk menang pilihan raya termasuk amalan membeli undi.

"Saya sendiri pernah diberi satu longgok cash suruh saya edar. Pembelian undi secara-terang terangan dua tiga hari sebelum pilihan raya. Berjuta-juta duit diedar cara besar-besaran.

"Ramai orang kelabu mata bab duit ni, tapi tak usah buat dah la, hodoh sangat dah," katanya sambil menyeru BN bertanding secara 'gentleman'.

Sunday, January 1, 2012

Iran Uji Roket Jarak Jauh

Latihan ketenteraan di Selat Hormuz dianggap provokasi ke atas kuasa Barat

TEHRAN : Iran mengumumkan pihaknya akan melakukan ujian peluru berpandu jarak jauh sebagai sebahagian daripada latihan tentera di Teluk Parsi.
PASUKAN keselamatan Iran melepaskan roket dari sebuah bot ketika latihan ketenteraan di Selat Hormuz, kelmarin.
PASUKAN keselamatan Iran melepaskan roket dari sebuah bot 
ketika latihan ketenteraan di Selat Hormuz, kelmarin.
Pengumuman itu dibuat di tengah ketegangan antara Iran dan kuasa Barat berikutan ancaman Tehran untuk menyekat jalan pengangkutan minyak melalui laluan strategik, Selat of Hormuz.
Pegawai kanan tentera laut Iran berkata bahawa ujian peluru berpandu dari darat ke laut, antara permukaan dan peluru berpandu udara, akan dilakukan ujian di Teluk Oman di selatan Teluk Parsi, lapor The Telegraph. 

Naib presiden Iran, Mohammed Reza Rahimi baru-baru ini memberi amaran bahawa ‘walau setitik minyak’ tidak akan dibenarkan melepasi laluan Selat Hormuz jika Eropah dan Amerika Syarikat meneruskan rancangan untuk menghukum Tehran berikutan aktiviti nuklearnya dengan mengenakan sekatan terhadap eksport sumber tenaga.

Ancaman itu memaksa satu maklum balas keras dari Amerika Syarikat di mana ia mengatakan bahawa cubaan halangan itu tidak akan membabitkan toleransi.

Ia membangkitkan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat boleh menghantar kapal perang ke rantau itu untuk melindungi perkapalan antarabangsa.

Dua kapal laut Amerika Syarikat dilaporkan memasuki zon di mana Iran mengadakan latihan perangnya pada Khamis walaupun pihak tentera menegaskan bahawa mereka dalam misi rutin.
Sementara itu seramai 5,283 orang termasuk 390 wanita berdaftar untuk menjadi calon dalam pilihan raya Parlimen Iran yang dijadual pada 2 Mac, kata Kementerian Dalam Negeri semalam.

Majlis Ulama Iran, panel yang terdiri daripada ulama konservatif dan pakar undang-undang, memantau calon berdaftar sama ada mereka mematuhi syarat yang untuk mengisi 290 kerusi di Parlimen.

Setiap calon mestilah warga Iran berusia antara 30 hingga 75 tahun yang akan menegakkan perlembagaan yang mensyaratkan kuasa mutlak di tangan pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Calon perlu mempunyai ijazah sarjana atau setaraf.

Majlis itu turut bertanggungjawab menyelia pilihan raya dan meluluskan keputusan pengundian.

Parlimen Iran ketika ini dikuasai pihak konservatif. Mereka bukanlah blok sendirian, bagaimanapun ia akan mewakili beberapa senarai.

Mereka juga termasuk 60 reformis tetapi parti reformis utama yang sesetengahnya diharamkan tidak akan menyertai pilihan raya.

Bagaimanapun, sesetengah calon dari kem reformis sudah mendaftar, menurut media Iran.

Pilihan raya pada Mac akan menjadi kali pertama sejak pertelingkahan dalam pilihan raya semula 2009 oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad, yang mengumumkan kemenangan walaupun mencetuskan dakwaan penipuan dan protes besar-besaran yang ditangani dengan kekerasan.
 
sumber : bharian.com
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura