Showing posts with label Terengganu.. Show all posts
Showing posts with label Terengganu.. Show all posts

Wednesday, June 6, 2012

Stadium: Runtuh anjur Himpun & Ingat Jumaat ini


KUALA TERENGGANU:Badan Bertindak Menangani Isu Bangunan Runtuh (Runtuh) akan mengadakan program Runtuh & Ingat pada Jumaat, 8 Jun di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak bermula jam 5 petang.

 Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata ia sebagai mengingatkan kepada rakyat mengenai SSMZA yang runtuh pada 2 Jun 2009.

Jelasnya, program diisi dengan deklamasi sajak oleh SN Datuk A Samad Said, pidato rakyat, pimpinan masyarakat, NGO, pameran dan penyebaran risalah.

Katanya, pada 2 Jun 2009 yang lalu, Malaysia telah gempar dengan keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak yang dibina dengan kos RM292 juta dalam tempoh tidak sampai setahun disiapkan.

Tambahnya, turut mendukacitakan rakyat Terengganu apabila keluar dari mulut seorang wakil rakyat di pihak kerajaan yang mengatakan ‘keruntuhan adalah satu rahmat’ kepada rakyat sedangkan, ianya adalah satu musibah.

Malah, katanya suatu kerugian kerana ianya melibatkan wang rakyat.

“Episod malang keruntuhan bumbung SSMZA seberat 2,500 tan dengan teknologi tanpa tiang dari Korea itu bukan sahaja tamat di situ, malah kita juga telah didedahkan dengan isu kecurian pelbagai peralatan di SSMZA yang dianggarkan berjumlah RM50 juta termasuk dua set janakuasa yang bernilai RM70,000 seunit,” katanya.

Jelasnya, Sabtu lalu, 2 Jun 2012 genaplah 3 tahun peristiwa memalukan itu berlaku, lebih memalukan apabila walaupun sudah 3 tahun, namun kerajaan negeri dilihat mengambil sikap lepas tangan dalam menangani isu ini.

Malah, ujarnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilihat sentiasa cuba mengelak untuk berhadapan isu itu walaupun pada peringkat awal beliau mengatakan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menyelesaikan kes yang memalukan itu.

Katanya, kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan hanya dilakukan selepas setahun berlakunya runtuhan (selesai akhir 2010).
Pada masa yang sama, ujarnya kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan bahawa tender sudah dikeluarkan.

Namun, tambah beliau sehingga hari ini tiada apa-apa yang dilakukan terhadap SSMZA tersebut.

“Atas rasa tanggungjawab, dan kesal dengan sikap sambil lewa yang dilakukan oleh kerajaan negeri, maka Runtuh mengumumkan akan mengadakan satu himpunan aman bagi memperingati 3 tahun sudah berlalu dengan objektif utama memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan ‘Stadium Runtuh’ tersebut,” ujarnya.(hrkhdaily)



Wednesday, September 22, 2010

PBT Terengganu tidak kompeten

Sudah dua tahun lebih, Dato’ Ahmad Said menjadi Menteri Besar Terengganu dengan slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Dalam tempoh itu juga, rakyat melihat masalah ‘remeh temeh’ birokrasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak berkesudahan.

Di Besut, dua projek pihak berkuasa tempatan yang bermasalah ialah projek pembinaan Jerteh Souq yang berharga hampir RM70 juta dan projek pembinaan Medan Selera Majlis Daerah Besut berharga RM1 juta.

Walaupun ada pihak yang membela dan berkata, Ahmad tidak wajar dipersalahkan akibat dua pembinaan Jerteh Souq yang tergendala, namun Ahmad adalah Menteri Besar Umno, yang menyambung ‘warisan’ kepimpinan sebelumnya.

Di Setiu, orang ramai meminta supaya didirikan sebuah surau di kawasan Terminal Bas baru siap dibina ditengah-tengah Bandar Permaisuri.

Sehingga kini sudah lebih enam bulan, pengguna terminal yang dikatakan ‘canggih’ itu terpaksa ‘merayau-rayau’ berjalan mencari surau atau masjid.

Entah apa masalahnya, pihak PBT/ kerajaan negeri sebelum ini yang berslogankan ‘Islam Hadhari, Terengganu Bestari’ lupa meletakkan ‘surau’ dalam pembangunan asal terminal.

Di Kuala Nerus, pembinaan gerai di Pekan Batu Enam sejak awal cadangan pembangunannya, pun sudah melanggar peraturan.

Premis milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu dibina jauh ke dalam ‘memakan’ kawasan rezab jalan sebagaimana ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Di Hulu Terengganu pula kerja-kerja pembinaan longkang konkrit di tanah Lot Batu 18, Ajil yang berharga RM5 juta asalnya bukan terbengkalai tetapi terpaksa dihentikan seketika berikutan masalah pengambilan balik tanah.
Pada masa yang sama, 16 peniaga di Taman Che Ngah, Dalam DUN Ajil, kecewa dan menyatakan bantahan terhadap pembinaan longkang dikawasan tersebut.

Pemilik dan penyewa disitu, bagaikan tersentap apabila projek pembinaan longkang dibuat di tengah-tengah jalan di hadapan kedai mereka.

Mereka mendakwa dan pembinaan itu tidak praktikal kerana melibatkan kawasan tidak sama rata

Di Marang, sebuah pasar yang dikenali Pasar Pengkalan Berangan yang kelihatan sudah siap tetapi jarang digunakan. Ia telah dinaik taraf pada tahun 2007 dengan kos RM150,000 tetapi masih belum mempunyai peniaga sehingga kini.

Di Dungun, peniaga ikan dan sayur di Pasar Paka di sini meminta pihak yang berkaitan menyegerakan penyempurnaan pembinaan pasar baru yang sepatutnya siap September tahun lalu.

Mereka sudah lama bersabar dengan berniaga dalam keadaan serba kekurangan di pasar yang sangat daif itu. Bagai mana pula dengan Pasar Dungun?

Menteri Besar yang berkunjung ke situ, berjanji lagi, pihak berkuasa tempatan daerah Dungun akan memastikan bangunan pasar baru itu disiapkan menjelang hujung Jun ini.

Hospital Dungun yang telah dibina sejak 1936 sudah tidak mampu menampung keperluan semasa penduduk di Dungun.

"Oleh kerana ia mula dibina atas tapak tersebut sejak 1936, kawasan Hospital Dungun yang sempit menimbulkan ketidak selesaan kepada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, dan sudah tak mampu tampung keperluan semasa," jelas YB ADUN Sura, Wan Hassan Mohd Ramli ketika mengulas kenyataan Exco berkenaan yang mengesahkan pembinaan hospital Dungun ditangguh daripada Rancangan Malahysia ke 9 (RMK 9) kepada RMK 10

Di Kemaman, masalah Binjai Souq di mukim Binjai seolah-olah tidak nampak penyelesaiannya.

Pembinaan Binjai Souq dengan kos sebanyak RM2.5 juta dan dijangka siap pada tahun 2006 menghadapi masalah nenerapa kali pertukaran kontraktor.

Sehingga kini pelbagai kecacatan pada premis milik Majlis Perbandaran Kemaman(MPK) itu yang menyebabkan para peniaga menjadi bimbang.


Aku disini :
http://dunsura.blogspot.com
http://pemudabersamamu.blogspot.com

Thursday, April 23, 2009

Coretan Kepada Yayasan Terengganu

Daripada,

Insan Yang Pernah Teranaiya,
Terengganu Darul Iman.

Kepada,

Pengerusi,
Jawatankuasa Pemilihan Pelajar,
Tajaan Yayasan Terengganu.

Pengerusi,
Pawatankuasa Pemilihan Pinjaman Sultan Ismail Nasharuddin Syah,
Yayasan Terengganu,

Exco Kerajaan Terengganu,
Yang Berkaitan Langsung Dengan Pemilihan Tersebut.

Pengerusi-Pengerusi JKKK,
Yang Bertanggungjawab Sebagai SESIPUT.

dan

Semua Angkatan Jawatankuasa ( Yang Jadi Dalang Sahaja),
Luaran Atau Dalaman,
Pemilihan Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu Kekalian.

Tuan-Tuan,

PERINGATAN SUPAYA PEMILIHAN PELAJAR BARU BAGI
PERMOHONAN PINJAMAN SULTAN ISMAIL NASARUDDIN SYAH
BERSIH DARIPADA SEBARANG DISKRIMINASI POLITIK.

Dengan sukacitanya perkara diatas adalah dirujuk.

2. Untuk pengetahuan pihak tuan, warkah ini bertujuan untuk memperingati semua ahli jawatankuasa pemilihan ( terutama pengerusi dan exco ) supaya pemilihan tajaan bagi pelajar agama dibawah Yayasan Terengganu dijalankan dengan penuh bersih dah mengikut hukum-hukum syara'.

3. Untuk pengetahuan pihak tuan, pihak pelajar yang telah membuat permohonan untuk mendapatkan pinjaman itu telah pun melalui pelbagai prosedur yang rumit bagi menyelesaikan proses mengisi borang melanjutkan pelajaran di timur tengah dibawah KPT ( sebagaimana pihak tuan maklum ).

4. Ini kerana, pihak Yayasan Terengganu hanya memberikan pinjaman sahaja kepada mereka-mereka ini tampa menguruskan kemasukan mereka ke universiti-universuti di timur tengah dan prosedur ini juga hanya diwartakan kepada pelajar yang memohon didalam bidang agama sahaja.

5. Ini berbeza dengan pelajar yang memohon di dalam bidang perubatan. Bagi mereka ( bidang perubatan ) yang terpilih, segala hal dan urusan kemasukan semuanya diurus beres oleh pihak Yayasan Terengganu. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan pihak tuan tidak lagi mengambil peduli kepada pelajaran agama dan ini amatlah menyedihkan.

6. Nilai tajaan kepada pelajar perubatan juga ditambah tetapi saya dimaklumkan, nilai pinjaman pelajar agama di timur tengah terutama di Jordan tidak lagi dinaikkan. ( terdapat malumat YT telah pon menaikkan pada 2 atau 3 tahun lepas, namu nilai kenaikan itu hanyalah daripada RM 10, 000 setahun kepada RM 12, 000 setahun ).

7. Tambah menyedihkan apabila terdapat sebilangan pelajar yang sepatutnya layak mendapat hak untuk mendapat pinjaman tetapi telah dinafikan hak. Saya faham, ini bukanlah kehendak staf-staf yang berada di Yayasan Terengganu bahkan ia adalah satu keputusan mesyuarat "board" pemilihan yang saya difahamkan dipengerusikan oleh seorang exco yang berkaitan dengan pendidikan negeri.

8. Keputusan ini dikeluarkan kerana mereka telah mengenal pasti status politik keluarga pemohon. saya difahamkan golongan yang bertindak sebagai sesiput seperti yang saya nyatakan diatas ( yang kejam dan dengki sahaja bukan semua ) telah memainkan peranan utama mereka didalam mengenal pasti status keluarga pemohon. Ini mungkin disebabkan mereka takut suatu hari nanti, pelajar yang ditaja pula yang akan menentang kerajaan.

9. Ketakutan ini teserlah lagi apabila seorang exco kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan bahawa " pelajar dibawah Yayasan Terengganu tidak akan menentang kerajaan apabila mereka pulang ke Terengganu..". kenyataan ini dikeluarkan apabila seorang wartawan bertanyakan kepadanya " adakah pelajar-pelajar di timur tengah akan menentang kerajaan apabila mereka pulang kelak?". Kejadian soal menyoal ini berlaku ketika sidang media pada akhir majlis graduasi sebuah sekolah elit kerajaan Terengganu pada akhir tahun lepas.

10. Walau apa jua sekali pun, saya amat berharap agar pemilihan pelajar tajaan baru pada tahun ini bersih dari sebarang anasir-anasir diskriminasi politik. Tetapi, jika tuan-tuan tidak takut akan azab dan larangan Allah taala serta menganggap perintah Allah yang menyuruh manusia agar memegang amanah dengan baik adalah sia-sia, buatlah apa yang tuan-tuan suka. Kami insan-insan yang kerdil ini tidak dapat memberi apa-apa kata nasihat supaya diterima tuan-tuan memandangkan terdapat juga segelintir rakan-rakan seangkatan tuan ( lulusan agama ) faqeh dalam hal ini. Mereka lebih tahu akan balasan yang akan tuan dapat daripada Allah akibat daripada kebrontokan tuan.

11. Kami yang berada dimeja bertentangan amat berharapkan agar tuan tidak mengulangi kesilapan ini sebagaimana tahun-tahun yang lepas.

12. Akhir kalam, jadilah pemerintah yang baik, yang adil pada sekalian rakyatnya.

13. Saya meminta maaf atas segala kata-kata yang kurang sopan yang terdapat didalam warkah ini. Semoga kita diberikan hidayah dan petunjuk-Nya. Insya Allah.

Sekian, wasslam


"Membangun Menurut Islam"
"Berkhidmat Untuk Islam"



Saya yang menurut tanggungjawab,

.......................................................
( insan yang pernah teranaiya )

* tulisan ini tidak memerlukan tandatangan


BERITA TERDAHULU :

# ADUN Sura Usaha Bantu Pelajar Yang Dinafikan Hak

# Perjalananku...terima kasih (buat mereka yang membantu di Dun Sura)


sumber : danialrazali.blogspot.com

Tuesday, April 14, 2009

Boikot Sidang DUN Memalukan, Sia-sia

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita3/10adunboikot.JPG
















10 orang ADUN BN yang memboikot Sidang DUN Terengganu semalam,
merupakan pertama kali dalam sejarah negeri

Written by SM Noor & WanKay
Wednesday, 15 April 2009 11:23

Kuala Terengganu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini menyaksikan kehadiran ‘semula’ 10 orang ADUN BN yang dikatakan ‘memboikot’ Sidang tersebut semalam.

Tindakan ADUN kerajaan BN itu dilihat sebagai perkara yang sia-sia, memalukan dan ‘kebudak-budakan’.

Ahli Dewan Undangan Negeri Terenggan Kawasan Bukit Tunggal berkata tujuan 10 ADUN BN memboikot Sidang DUN adalah untuk memberi tekanan kepada Menteri Besar (MB), Dato’ Ahmad Said supaya meletakkan jawatan.

Namun katanya tindakan itu hanyalah sia-sia kerana Dato’ Ahmad Said tidak memberikan apa-apa respon kepada tindakan.

“Saya rasa ianya tindakan sia-sia, sebab MB tidak pun melayan malah mengatakan tidak akan memujuk mereka datang semula semalam,

“ia juga satu perkara yang memalukan kerana DUN adalah satu institusi penting tempat mebincangkan dasar-dasar pembangunan dan kemajuan negeri, bukannya seperti pasar yang boleh di boikot tak mahu jual hari ini, esok pergi jual pula,”katanya ketika ditemui ketika Sidang DUN Trengganu berehat pagi ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu menyifatkan tindakan ADUN BN yang tanpa memikir panjang itu adalah satu tindakan yang kebudak-budakan

Rakaman Sidang DUN Sesi Pagi Hari ini 150409 boleh didengar melalui Radio Buletinonline

Monday, April 13, 2009

Ceramah Isu Sidang DUN Terengganu Di Dungun

http://buletinonline.net/images/stories/berita2/sidangdun.jpgDUNGUN 13 April ISNIN - DUN Terengganu akan bersidang selama 3 hari bermula hari ini sehingga 15 April, akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa ADUN BN akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada persidangan DUN kali ini.

Sabtu lalu, Menteri Besar, Ahmad Said mengingatkan kepada mana-mana wakil rakyat BN yang cuba untuk membawa usul sedemikian bakal berhadapan dengan tindakan disiplin termasuk akan dipecat.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menyifatkan usul sedemikian boleh menjejaskan kepimpinan BN di peringkat negeri.

Sehubungan dengan kemelut yang sedang melanda BN Terengganu selain memberi penjelasan isu-isu persidangan DUN, pihak Lajnah Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu telah menyusun siri ceramah di antaranya yang akan diadakan di Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun pada 16 April hari Khamis bermula jam 9.00 malam.

Ceramah yang akan diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Terengganu, YB Ustaz Haji Harun Taib, ADUN Manir akan turut disertai oleh YBM Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, ADUN Batu Burok, YB Dr Hj Alias Razak, ADUN Bukit Tunggal dan YB Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli, ADUN Sura yang bertindak selaku tuan rumah.

Selain isu sidang DUN dan krisis BN Negeri, para penceramah dijangka turut mengupas isu-isu nasional termasuk perjalanan karier Najib selepas hampir dua minggu menduduki kerusi perdana menteri serta kejayaan Pakatan Rakyat memenangi dua pilihan raya kecil awal April - P.059 Bukit Gantang, Perak dan N.25 Bukit Selambau, Kedah.

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura