Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Thursday, July 5, 2012

Pemuda Mesti Sanggup Dan Bersedia Ditarbiyah

oleh : Lajnah Tarbiah Pemuda Dun Sura


KAMPUNG MOLEK : Pemuda DUN Sura telah berkesempatan menjemput Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman Abdullah untuk menyampaikan motivasi khusus bertajuk 'Kepentingan Tarbiyah' kepada seluruh pemuda DUN Sura baru-baru ini. 

Program yang diadakan di Surau Kubur, Kampung Molek itu terlebih dahulu bermula dengan majlis berbuka puasa bersama jawatankuasa pemuda DUN Sura bagi membina jiwa pemuda yang sentiasa terdedah dengan hembusan roh tarbiyah yang berterusan.

Al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman dalam mukaddimah taujihatnya memperingatkan para pemuda bahawa kita sebagai hamba mestilah mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala dalam kehidupan ini. Allah menilai seseorang bukanlah disebabkan paras rupanya yang cantik tetapi melalui hatinya yang bersih sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam.

Sirah turut merakamkan seseorang yang hitam seperti Bilal, Khabab dan perempuan yang sentiasa menyapu masjid Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam termasuk antara yang dijamin syurga. Beliau mengingatkan bahawa pemuda PAS mestilah sentiasa bersedia untuk menjadi orang yang ditarbiyah bagi membina jiwa-jiwa pejuang agama Allah. Bahkan, Rasulullah sendiri menghadapi suatu tempoh tarbiyah khusus daripada Allah Taala sebelum dibangkitkan dan dilantik sebagai Rasul utusan Allah pada usianya 40 tahun. 


"Oleh sebab itulah, dalam kehidupan Nabi, Allah telah mentarbiyah Nabi. (Nabi pernah bersabda): Tuhanku yang mendidikku, dan aku menerima sebaik-baik didikan. Allah sendiri mentarbiyah Nabi. Tarbiyah yang diberikan oleh Allah adalah sebaik-baik tarbiyah" tegas beliau yang juga Ketua Lajnah Tarbiyah DPPNT. Di samping itu, beliau juga menegaskan bahawa istiqamah adalah perkara yang penting dalam perjuangan ini.


Baca lagi....DI SINI


Saturday, June 23, 2012

Remaja tercari-cari cinta sejati

Majlis perasmian Forum Sebarkan CintaMu oleh Pengarah Majlis Tindakan Dun Sura, Tuan Haji Wan Hapendi bin Nik di Bangunan PAS Dun Sura.



Video clip Ustazah Fatimah Syarha :
Sebarkan CintaMu : Fatimah Syarha_1

Sunday, June 17, 2012

Forum Sebarkan Cintamu Dapat Sambutan Anak Muda

oleh : Team Blogger Dun Sura



DUN SURA, 16 JUN 2012: Satu Forum bertemakan "Sebarkan Cintamu" anjuran  Ameerah DUN Sura telah berjaya diadakan di Bangunan DUN Sura petang sabtu lalu. Program tersebut berjaya menarik ramai muda-mudi untuk berkongsi makna cinta sejati yang bertepatan dengan syarak menerusi perkongsian ilmu dua novelis terkenal iaitu Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Riduan Muhammad Nor.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah MTD Sura, Al-Fadhil Cg. Wan Hapandi Wan Nik. Beliau banyak menyentuh isu yang melibatkan remaja hari ini yang mudah dihanyutkan oleh arus gejala sosial yang merosakkan mereka. 

" Ramai dalam kalangan muda-muda telah tersalah pilih, telah tersalah hala tuju cinta mereka. Sehingga menyebabkan hilang maruah diri, tergadai akhlak dan peribadi sebagai seorang Muslim. Sehingga lahirlah remaja-remaja yang melarikan diri dari keluarga yang akhirnya terjebak dalam pelbagai gejala sosial. Yang lebih malang, hingga melahirkan generasi-generasi yang kita kira generasi-generasi yang tidak sah kelahirannya. Banyak berlaku dalam masyarakat kita hasil daripada salah letaknya cinta itu".


“ Insyaallah, pada petang yang mulia, kita ini akan dibimbing oleh kedua-dua novelis kita untuk kita semua khususnya remaja mencari satu cinta yang sejati. Yang kita semua maklum, cinta yang sejati adalah cinta kepada Allah  dan RasulNya"
Beliau turut menegaskan bahawa cinta yang didirikan atas asas cinta kepada Allah dan Rasul akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. 


Dalam kesempatan tersebut juga, beliau mengucapkan tahniah kepada Ameerah dan jawatankuasa pemuda kerana berjaya mengumpul anak-anak muda supaya mereka dapat memandu perjalanan hidup ke arah redha Ilahi. Beliau turut menghargai kehadiran dua orang novelis serta anak-anak muda bagi mengisi waktu ilmu yang baik.
Sepanjang program, pelbagai perkongsian menarik diberikan oleh kedua-dua novelis terutamanya untuk seluruh remaja yang bersama dalam program tersebut. 


“ Apa yang kita dengar, apa yang kita lihat, apa yang kita rasai di dalam hati dan perasaan kita ini; semua itu akan disoal oleh Allah Taala. Kalau selama ini kita biarkan, kita relakan diri kita diajar tentang cinta oleh Li Min Ho seumpamanya, mereka tu tak kenal pun Allah. Jadi, bila kita biarkan diri kita diajar oleh orang yang tak kenal Allah erti cinta, mana mungkin cinta kita kenal Allah”, nasihat Ustazah Fatimah Syarha kepada seluruh hadirin.

Turut berkongsi cerita adalah Ketua Penerangan DPPM yang juga panelis kedua, Ustaz Riduan Mohd Nor. Beliau mengingatkan peserta mengenai sifat cintakan dunia dan takutkan kematian yang menjadi penyebab umat Islam menjadi lemah. Para sahabat terdahulu mengutamakan cinta dan redha Allah Taala dalam setiap tindakan mereka. 

“ Kesalahfahaman tentang cinta hari ini. Cinta selera murahan yang dipandu oleh anak muda remaja hari ini. Kita rasa gerun dengan anak muda hari ini. Sebab itu kita ucap tahniah kepada penganjur berbicara tentang cinta dan meletakkan cinta pada tempat yang betul”, ujar Ustaz Riduan. 


Selesai forum, seluruh peserta yang hadir berasak-asak untuk mendapatkan novel dan autograf daripada kedua-dua novelis tersebut. Semua novel yang dibawa oleh kedua-dua pendakwah anak muda ini habis terjual menandakan sambutan baik diberikan oleh anak-anak muda sekitar kawasan ini.

Video clip akan menyusul di posting akan datang

Saturday, June 16, 2012

Apa itu Isra' dan Mi'raj


Isra’ Mi’raj. Iaitu peristiwa dimana diperjalankannya Rasulullah saw. oleh Allah swt di suatu malam bulan Rejab pada tahun ke-11 dari kenabiannya, dari Masjid al Haram di Mekah ke Masjid al Aqsha di Palestin dengan mengenderai Buraq, kemudian naik ke langit yang ke tujuh hingga ke Sidratu al Muntaha, untuk diperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Allah.

 “Tatkala Sidratul Muntaha ditutupi oleh bermacam hal yang melingkupinya, tetapi pandangannya (Rasulullah saw.) tidak sampai menyimpang dan tidak pula melampauinya(Sidratul Muntaha). Sesungguhnya dia (Rasulullah saw.) telah melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran Allah Yang Maha Agung” (Q.S Al Najm: 16-18) “Sesungguhnya dia (Muhammad saw.) benar-benar telah melihatnya (jibril) untuk yang kedua kalinya (dalam bentuk aslinya) di dekat Sidratul Muntaha. Di dekatnya terdapat Jannatul Ma’wa” (Q.S Al Najm: 13-15)

 Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam) Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah.

Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

Saturday, June 9, 2012

Orang Muda Terjebak Kerana ‘Hilang Punca’


DUNGUN – PAS meneruskan usaha mendekati orang muda bagi membimbing mereka supaya tidak terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang merosakkan kelompok yang menjadi 'harapan negara' pada masa depan itu.

Menurut  Cikgu Haji Wan Hapandi bin Nik, kebanyakkan masalah yang timbul dikalangan generasi muda adalah kerana mereka ‘hilang punca’.

“pada hari ini kita melihat sebahagian besar maslaah yang timbul di kalangan remaja (dan orang muda) adalah kerana mereka kehilangan punca,


“(kurang) menguasai ilmu agama yang menyebabkan mereka terjebak degan pelbagai gejala yang merosakkan masa depan mereka,”ujarya.

Wan Hapandi berkata demikian selepas beramah mesra dan memberikan tazkirah kepada orang muda di Padang bola Jalan Melati, Sura Utara, dekat sini pada Rabu 6 Jun lalu.

Beliau yang baru dilantik memegang amanah selaku Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan (MTD) Sura berkata, pihaknya bersama Pemuda PAS DUN Sura mengambil inisiatif mendekati golongan yang mejadi ‘aset negara’ itu.

Menurutnya, ia adalah pendekatan bersemuka bagi memberi kefahaman tentang Islam kepada golongan tersebut.

“Oleh kerana itu, kita di peringkat MTD dan pemuda (PAS DUN Sura) sendiri mengambil inisiatif agar mereka bersama perjuangan kita dalam usaha kita menyebarkan syiar Islam dan untuk menegakkan syarat Allah,”jelasnya.

Beliau berharap orang-orang muda berusaha mendekati rumah-rumah Allah, surau dan masjid untuk menambahkan  dan mendalamkan ilmu Islam supaya menjadi pemuda yang beriman dan bertaqwa kepada Allah.

Turun bersama beliau ke padang bola tersebut ialah Ketua Pemuda PAS DUN Sura Ustaz Hanafiah Hitam dalam rangka program Cakna Komuniti Muda Dun Sura yang dianjurka bersama oleh MTD Sura dan  Penyelaras Pemuda PAS DUN Sura.<buletinonline>




Gambar sekitar Cakna Komuniti Dun Sura 

Sunday, November 21, 2010

Ainul Mardhiah...Bidadari Untuk Mereka Yang Berjihad Fi Sabilillah (Video TGHH : Tak Nak Keluar Berjuang Islam ?)

Bidadari merupakan salah satu anugerah Allah kepada seorang lelaki yang memasuki syurga. Bagi seorang wanita yang solehah maka bidadari bagi suaminya adalah dikalangan bidadari2 kurniaan Allah dan dia (isteri solehah merupakan Ratu kepada segala bidadari-bidadari).

Berjihad/berdakwah untuk agama Allah swt merupakan satu amalan yang akan menjadi kesukaan Allah swt dan ini merupakan sunnah besar nabi SAW dan kalangan sahabat-sahabat r.a. Setiap manusia yang mati walaupun berapa umurnya maka akan ditanya dimanakah masa mudanya dihabiskan.




Rasulullah saw bersabda,“Tidak akan berganjak kaki anak Adam di Hari Kiamat hingga disoal tentang empat perkara; tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya apa yang telah diperjuangkannya, tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah dibuatnya".
(Hadith sahih riwayat Tirmizi)

Ainul Mardhiah
(bidadari untuk orang yang berjihad/berdakwah untuk agama Allah swt.)

Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin; (ar-rahman : 56)


Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan. (ar-rahman : 58)


Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya; (ar-rahman : 70)


Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing; (ar-rahman : 72)

(Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin; (ar-rahman : 74)


'Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik dalam kalangan bidadari-bidadari yang lain (bermaksud mata yang di redhai). Suatu pagi (dalam bulan puasa) ketika nabi memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad/berdakwah untuk agama Allah) katanya siapa-siapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik dalam kalangan bidadari2 syurga.

senyum3

Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya muda teringin sangat hendak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut, tetapi di sebabkan sahabat ini malu hendak bertanyakan kepada nabi saw,kerana malu kepada sahabat-sahabat yang lain. Namun dia tetap memberi nama sebagai salah sorang yang akan keluar di jalan Allah.

Sebelum Zohor sunnah nabi akan tidur sebentar (dipanggil khailulah, maka sahabat yang muda tadi juga turut bersama jemaah yang hendak berangkat tadi tidur bersama-sama sekejap.

Tiba-tiba dalam tidur sahabat tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri2,lalu di tanya sahabat ini ,di manakah beliau berada,lalu ada suara yang menjawab,inilah syurga,tiba2 dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan 'Ainul Mardhiah (bidadari yang Nabi saw bagitahu tadi),lalu ditunjuknya di suatu arah maka berjalanlah sahabat ini, disuatu pepohon beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia lihat kecantikan yang sebegitu,tak pernah dilihat didunia ini,lalu diberikan salam dan sahabat ini bertanya, andakah ini Ainul Mardhiah,wanita itu menjawab ehh tidakk (lebih kurang macam tu la dalam bahasa kita),saya penjaganya,Ainul Mardhiah ada di dalam singgahsana di sana.


Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda daripada yang pertama tadi di lihatnya, sedang mengelap permata-mata perhiasan di dalam mahligai,lalu diberi salam dan di tanya lagi adakah ini Ainul Mardiah lalu wanita itu menjawab,eh tidak, saya hanya penjagaya di dalam mahligai ini,Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana, lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu, kecantikkannya sungguh mengkagumkan,lalu sahabat ini sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda catiknya dari yang kedua yang beliau jumpa tadi,dan tidak pernah di lihat di dunia,lalu wanita itu berkata,akulah Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku,bila lelaki itu mendekatinya wanita itu menjawab,nanti kamu belum syahid lagi,tersentak daripada itu pemuda itu pun terjaga dari tidurnya lalu dia menceritakan segala-galanya kepada sahabat lain, namun begitu dia memesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada Nabi SAW,tapi sekiranya dia syahid barulah di ceritakan kepada Nabi saw.


Petang itu pemuda itu bersama-sama dengan jemaah yang terdapat Nabi saw di dalamnya telah keluar berperang/berjihad lalu ditakdirkan pemuda tadi telah syahid. Petang tersebut ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka (tunggu makanan adalah satu sunnah nabi).

Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan merapati nabi saw dan menceritakan perihal mimpi pemuda yang syahid tadi.
Sahabat pemuda yang syahid tadi,dalam menceritakan kepada nabi saw,Nabi saw menjawab benar,benar,benar sepanjang cerita tersebut. Akhirnya nabi SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga...

sumber : mesra.net

Tuesday, September 14, 2010

Tujuan Hukuman Hudud, Qisas, Diyat Dan Ta'zir

Hukuman hudud, qisas, diyat dan ta`zir diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:

Gambar Al-quran

1. Menjaga agama, iaitu menjaga aqidah orang-orang Islam supaya tidak terpesong dari aqidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang yang murtad akan disuruh bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia." (Riwayat Bukhari)

2. Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan. Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman qisas atau diyat sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah, 2:179)

3. Menjaga akal fikiran, iaitu memelihara akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman-minuman yang memabukkan. Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Saiyidina Ali di dalam sebuah hadith yang bermaksud:

"Rasulullah s.a.w. telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saiyidina Abu Bakar telah menyebat empat puluh kali sebat juga, dan Saiyidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali .

4. Menjaga keturunan, iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud:

"Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam." (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

5. Menjaga harta benda, iaitu memelihara harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Ma'idah: 38)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

"Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar." (Surah Al-Ma'idah: 33)

sumber : al-azim.com

Thursday, September 9, 2010

Tetap Wajib Solat Jumaat, Walau Pada Hari Raya

Soalan :

Sejauh mana kekal hukum pengguguran solat Jumaat apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat. Sebabnya masih ada yang keliru dan mengambil langkah memilih untuk hadir salah satu daripada solat tersebut?

Jawapan :

Dalam persoalan ini para ulama berselisih pendapat dalam menentukan kefarduan Jumaat.

Jumhur ulama bersetuju untuk tidak menggugurkan kefarduan Jumaat walaupun hari raya jatuh pada hari Jumaat yang telah dituntut oleh Allah SWT.

Imam Ahmad bin Hambal r.a berpendapat bahawa solat Jumaat gugur sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat, ini kerana sudah ada solat yang menghimpun manusia seumpama dengan solat Jumaat dan falsafahnya juga sama. Ditambah lagi, hari raya kebiasaannya orang sibuk dengan aktiviti khusus hari raya.

Imam Ahmad juga berhujah bahawa Saidina Uthman bin Affan mengizinkan penduduk kawasan tinggi di Madinah supaya tidak datang bersolat Jumaat.

Akan tetapi ulama menolak bahawa amalan seorang sahaja dari kalangan sahabat tidak boleh dijadikan hujah dalam persoalan pengguguran solat Jumaat. Hal ini juga tidak disepakati oleh jumhur ulama.

Penolakan ini dikukuhkan lagi dengan penghujahan daripada ayat al-Quran itu sendiri, dalam perintah solat Jumaat Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Jumu'ah: 9)

Di dalam ayat kefarduan Jumaat ini Allah SWT menyuruh dan meminta menuju ke masjid dengan kadar segera kepada menunaikan solat Jumaat seperti mana pada Jumaat-Jumaat yang lain termasuklah Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha.

Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A'immah karya Imam Al-Dimasyqi, telah dinyatakan bahawa: "Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam asy-Shafie yang sahih, dinyatakan bahawa tuntutan solat Jumaat tidak gugur daripada penduduk kampung (pemastautin) yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi mereka yang datang dari kampung lain, tuntutan tersebut digugurkan.

Demikianlah menurut pendapat Imam Shafie yang sahih. Sekiranya mereka telah menunaikan solat hari raya, dibenarkan bagi mereka untuk terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung mereka wajib menunaikan solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad pula tidak wajib solat Jumaat sama ada penduduk tetap ataupun tidak. Kewajipan solat Jumaat gugur setelah mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur.

Ad-Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan bahawa pendapat Imam Malik selari dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Dinukilkan bahawa, "Imam Malik dan Abu Hanifah bersependapat, 'Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka mukalaf dituntut untuk melaksanakan kedua-duanya'.

Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah diberikan, ternyata bahawa dalam hal ini terdapat empat pendapat:

Solat Jumaat tidak gugur terhadap penduduk kota ( ahlul madinah) yang di tempat mereka ada dilaksanakan solat Jumaat. Bagi mereka yang datang dari kampung atau gurun, atau dari kampung yang yang terletak di kawasan yang tinggi, yang di kawasan mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, kewajipannya digugurkan.

Maka sekiranya mereka iaitu mereka yang datang dari kampung telah menunaikan solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Shafie. Pendapat ini juga merupakan pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.

Solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, sama ada penduduk kota di kawasan yang dilaksanakan solat Jumaat mahupun bagi penduduk luar. Pendapat inilah yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Maka, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur biarpun sesudah menunaikan solat hari raya.

Tidak wajib solat Jumaat, tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikianlah pendapat Imam Ahmad.

Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota. Bagi penduduk desa atau padang pasir (badwi) yang berkunjung ke kota untuk solat raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat.

Bagi kita rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Kebenaran yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah.

sumber : al-bakriah.com

Sunday, August 29, 2010

Sempena Ramadhan Al-Mubarak...Siapalah Kita Tanpa Mereka

BERBAKTI dan berbuat baik kepada ibu bapa satu perintah dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan setiap individu bergelar anak tanpa mengira ibu bapanya itu beriman atau sebaliknya.

Dalam surah al-Isra’, ayat 23 hingga 25, Allah menerangkan kepada kita supaya berbuat baik kepada mereka, maksudnya: “Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.

“Jika seorang atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, janganlah engkau berkata kepada kedua-duanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

“Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku ketika kecil.

“Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada di hatimu; jika kamu orang yang baik, maka sesungguhnya Ia adalah Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat.”

Melalui nas terbabit jelas sekali kepada kita, berbakti kepada orang tua bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main dan boleh dipandang ringan kerana ia adalah suatu perintah yang mesti dilakukan.

Bahkan berbakti dan berbuat baik kepada mereka tergolong dalam amalan yang sangat disukai Allah. Ini sebagaimana hadis diriwayatkan dalam Sahih Bukhari daripada Abdullah, katanya:

“Aku bertanya kepada Nabi s.a.w, amalan manakah paling disukai Allah Azza Wajalla? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Abdullah berkata, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian bakti kepada kedua orang tua. Dia berkata lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah.”

Hadis berkenaan menunjukkan besarnya kedudukan ibu bapa dalam Islam. Berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa amalan terbaik yang patut didahulukan daripada perkara lain, termasuk berjihad.

Menurut al-Qurthubi, termasuk berbakti dan berbuat baik kepada orang tua ialah tidak mencacinya dan menderhaka kepada mereka.

Jika ibu bapa atau seorang daripada mereka menyuruh si anak, wajib anak mentaatinya apabila perintah itu bukan membabitkan perkara yang mengundang dosa dan kemurkaan Allah.

Kita mempunyai ibu bapa dan kita sepatutnya bersyukur kepada mereka. Dengan adanya mereka, kita lahir ke dunia dan dapat mengenal segala isinya, malah dengan jasa mereka kita mendapat kenikmatan berlimpah ruah.

“Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada orang tuamu, hanya kepada-Ku kamu kembali.” (Luqman:14)

Bagaimana bersyukur? Antaranya, kita memikul tanggungjawab terhadap mereka, dengan mengambil berat kebajikan mereka setiap waktu, memberikan bantuan serta menjaga dan mengambil tahu makan pakai mereka.

Sebagai anak, kita juga perlu menjaga hubungan dengan ibu bapa dan memastikan sentiasa akrab walaupun apabila sudah dewasa dan mempunyai rumah tangga sendiri.

Perbuatan derhaka dilarang sama sekali. Mereka yang menderhaka berdosa besar. Dalam satu hadis menerangkan derhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi s.a.w pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu.” (Hadis riwayat Muslim)

Menurut hadis nabi juga, orang yang derhaka pada ibu tidak mencium bau syurga. Dalam satu kisah, sahabat Nabi s.a.w bernama Alqamah, seorang yang kuat beribadat, tetapi apabila di saat kematiannya dia tidak dapat mengucap syahadah kerana perbuatannya menyinggung hati ibunya, akibat terlalu cinta kepada isterinya.

Melihat keadaannya yang nazak, Nabi mengancam untuk membakarnya, tetapi apabila ibunya datang dan memaafkannya, azab yang menimpa Alqamah berakhir.

Peristiwa terbabit wajar dijadikan iktibar kepada semua di antara kita. Janganlah kerana isteri hak ibu terabai dan disebabkan suatu perkara remeh, tergamak meninggikan suara terhadap ibu sendiri.

Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya.” (Hadis riwayat al-Tabrani)

sumber : Mran3238's Blog

Tuesday, August 24, 2010

Peristiwa Penting & Bersejarah Dalam Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan bukan setakat bulan untuk melatih diri kita menjadi bertaqwa semata-mata. Bahkan natijah daripada Taqwa itu ialah ia membawa diri kita dan umat Islam seluruhnya ke arah kemenangan. Kalau nak menang, berperanglah dalam bulan Ramadhan kerana diri kita lebih dekat dengan ALLAH dan orang yang dekat dengan ALLAH ,sudah tentu lebih makbul doanya.

Berikut merupakan sebahagian besar catatan peristiwa penting dan bersejarah dalam bulan Ramadhan:

  1. Perang Badar yang terjadi pada tangal 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Perang Badar dianggap sebagai perang terbesar dan kemenangan terbesar yang diraih umat Islam di awal pertumbuhannya di Madinah.
  2. Fathu Makkah yang terjadi pada tahun ke lapan hijrah. Jihad ini merupakan kemenangan untuk menghancurkan tuhan-tuhan berhala dan menegakkan panji kebenaran.
  3. Pada Ramadhan tahun 9 Hijrah, Rasulullah saw. menerima utusan dari Tsaqif untuk membaiat Nabi Muhammad Saw.
  4. Pada Ramadhan tahun 15 Hijrah, terjadi perang Qadisiyyah dimana orang-orang Majusi di Persia ditumbangkan.
  5. Pada Ramadhan tahun 53 Hijrah, umat Islam memasuki pulau Rhodes di Eropah.
  6. Pada bulan Ramadhan tahun 91, umat Islam memasuki selatan Andalusia (Sepanyol sekarang)
  7. Pada Ramadhan tahun 92 H., umat Islam keluar dari Afrika dan membuka Andalus dengan komandan Thariq bin Ziyad
  8. Pada bulan Ramadhan tahun 132 H., Dinasti Umawiyah ditumbangkan dan berdirilah Daulah Abbasiyah.
  9. Pada bulan Ramadhan tahun 254 H., Mesir memisahkan diri dari daulah Abbasiyah dengan pimpinan Ahmad bin Thaulun.
  10. Pada Ramadhan tahun 361 H., dimulainya pembangunan Masjid Al-Azhar yang kelak menjadi universitas Al-Azhar di Kaherah.
  11. Pada bulan Ramadhan tahun 584 H., Sholahuddin Al-Ayyubi mulai menyerang tentara Salib di Siria dan berhasil mengusir mereka.
  12. Pada Ramadhan 658 H., Umat Islam berhasil menghancurkan tentera Tartar di perang “Ain Jalut”
  13. Pada Ramadhan tahun 675 H., Raja Bebes dan tentaranya berhasil mengusir tentara Salib secara total.
  14. Pada bulan Ramadhan 1393 tentara Mesir berhasil merebut terusan Suez dan mengusir tentara penjajah, Israel dari Sinai.

Demikianlah sebahagian peristiwa penting di bulan Ramadhan al mubarak. Kesimpulannya, Ramadhan adalah bulan KEMENANGAN, KEJAYAAN, KEGEMILANGAN, KECEMERLANGAN dan KETERBILANGAN dalam Islam.

ALLAHU AKBAR!!ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!!!

sumber : ibnuabbas.wordprees.com

Thursday, August 12, 2010

Khutbah Rusila : Ramadhan, Bulan Kurnia Allah Kepada Orang Beriman

Kita sedang berada dalam bulan Ramadan Al-Mubarak, bulan kurnia Allah SWT kepada orang-orang yang beriman. Apabila tibanya bulan Ramadan Al-Mubarak, Rasulullah s.a.w. menyampaikan ucapannya, yang bermaksud : Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang mulia, padanya satu malam yang kelebihannya lebih baik daripada 1,000 bulan, bulan yang pada awalnya kerahmatan, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.
Biasakan solat-solat sunat di waktu malam.
Pada bulan ini, kita dijemput menjadi tetamu Allah Taala untuk menghadiri majlis hidangan-Nya. Disediakan untuk kita hidangan yang terdiri daripada makanan roh dan jasad, kerana Allah Taala menjadikan manusia dengan dua fitrah iaitu unsur roh dan unsur jasad, kedua-dua unsur ini memerlukan makanan. Makanan ini penuh dengan kelebihan, makanan roh ialah iman, ilmu, takwa dan segala sifat dan akhlak yang mulia manakala makanan jasad ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.

Allah SWT telah menentukan tugas manusia yang berbeza dengan tugas malaikat di alam roh dan berbeza dengan binatang yang hanya menjaga kepentingan jasad. Manusia mempunyai kedua-dua unsur iaitu unsur malaikat dan binatang. Sekiranya manusia menunaikan tuntutan roh dengan sebenarnya dan dalam masa yang sama berjaya menghadapi hawa nafsu kebinatangan, maka manusia akan menjadi makhluk yang lebih mulia daripada malaikat seperti para nabi dan orang-orang yang soleh. Di sana ada manusia yang lupa kepada makanan roh dan mengendalikan jasadnya seperti binatang, maka manusia itu menjadi lebih jahat daripada binatang.

Allah SWT melatih, mendidik dan memberi tarbiah kepada kita pada bulan Ramadan Al-Mubarak dengan hidangan menunaikan kewajipan berpuasa pada waktu siang hari, memberi sedekah, menjamu makanan kepada saudara-mara dan sahabat handai, jiran dan orang-orang yang memerlukan pertolongan, menghidupkan malam dengan sembahyang tarawih, bertahajud, tadarus al-Quran dan sebagainya. Semuanya ini dijanjikan kelebihannya lebih besar daripada bulan-bulan yang lain.

Ibadat puasa sahaja dijanjikan Allah SWT dengan pahala yang tidak terhingga banyaknya. Seseorang manusia yang melakukan kebaikan akan diberikan dari tiap-tiap satu kebaikan itu 10 pahala. Adapun puasa, Allah Taala berfirman, yang bermaksud : Sesungguhnya puasa itu untuk Aku, maka terserahlah kepada-Ku untuk menentukan pahalanya.

Betapa besarnya pahala kepada orang-orang yang berpuasa, betapa ruginya mereka yang tidak berpuasa. Sesiapa sahaja yang tidak berpuasa satu hari dengan tiada sebarang keuzuran yang membolehkannya berbuka, walaupun diwajibkan kepadanya menggantikan puasa itu pada hari yang lain, namun dia tidak akan dapat menggantikan pahala puasa yang ditinggalkan satu hari itu walaupun dia berpuasa sepanjang umurnya. Itulah kelebihan yang dijanjikan Allah Taala.

Jaga diri daripada perkara menghilang pahala puasa

Marilah kita menunaikan ibadat yang diwajibkan Allah Taala itu dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang diwajibkan serta dengan adab-adab puasa yang menambahkan kelebihannya supaya kita menyedari bahawa puasa itu bukan sekadar menjaga diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa pada waktu siang hari iaitu tidak makan, minum, bersetubuh dengan isteri, tidak memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka tetapi seseorang itu juga perlu menjaga dirinya daripada perkara yang menghilangkan pahala puasa walaupun tidak membatalkan puasa.

Seseorang itu perlu memelihara anggota dan pancainderanya daripada melakukan perkara-perkara dosa dengan memelihara lidah, mata dan telinga supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menghilangkan pahala puasanya. Itulah pendidikan puasa yang merupakan makanan rohani yang dihidangkan oleh Allah SWT pada bulan Ramadan.

Kita juga dijanjikan fadilat iaitu diberikan pahala pada makanan jasad. Kita makan dan minum pada bulan puasa bukan sahaja untuk kenyang tetapi diberikan pahala. Begitu juga kelebihan mereka yang bersahur. Allah SWT menjadikan kelebihan orang yang makan sahur sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikat bersalawat kepada orang-orang yang bersahur.

Ini menunjukkan bahawa bukan sahaja ibadat puasa, bukan sahaja perkara-perkara kebaikan yang dilakukan diberi pahala, bahkan makan dan minum kita pada bulan puasa juga diberi pahala oleh Allah Taala. Itulah keistimewaan pada bulan Ramadan Al-Mubarak dan banyak lagi keistimewaan yang lain yang disediakan oleh Allah Taala supaya kita mencapai natijah puasa yang baik.

Kita menerima kerahmatan daripada Allah SWT pada awalnya, mendapat keampunan pada pertengahannya dan dimerdekakan daripada api neraka setelah kita meninggal dunia sekiranya kita menunaikan puasa dengan sebaik-baiknya. Itulah di antara hidangan yang disediakan oleh Allah Taala. Marilah kita menyahut jemputan Allah SWT di bulan yang penuh dengan kemuliaan itu.

Firman Allah Taala yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah: 183)

sumber : Harakahdaily

# Dato' Seri Tuan Guru Presiden telah berangkat menunaikan umrah

Ramadhan : Modul Tarbiyyah Dari Langit

(Saya pernah keluarkan artikel ini tahun lepas. Sempena kedatangan Ramadhan kali ini, saya siarkan kembali) Apabila manusia memikirkan untuk mengadakan sesuatu modul bagi sesuatu kursus, mereka terpaksa berbengkel dan berhempas-pulas memerah otak bagi mengeluarkan idea-idea bernas bagi mendapat modul terbaik bagi sesuatu kursus. Samada ia bersifat akademik, kemahiran, latihan dan apa sahaja. Begitu juga, modul yang telah lengkap tadi dibuat menurut objektif yang hendak dicapai, atau ada outputnya.

kebaikanramadhan

Dalam Ramadhan sebenarnya Allah telah menyediakan kepada kita satu set modul latihan lengkap bagi mendapat output yang diharapkan iaitu TAQWA.

Bagaimana modul latihan Ramadhan ini disediakan kepada kita bagi mencapai objektifnya?

Secara ringkas, boleh disebut beberapa perkara:

Puasa adalah rahsia hamba dengan Tuhannya. Kata Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam Mukhtasar Minjahul Qasidin, puasa adalah ibadat yang sukar dimasuki ria’, tidak seperti ibadat lain. Justru, puasa menjadi ibadat latihan untuk mengikhlaskan diri kepada Allah dalam semua aktiviti kehidupan, termasuk berjuang menegakkan agama Allah ini supaya tidak dimasuki ria’ danmatlamat-matlamat duniawi yang singkat dan memudaratkan perjuangan.

Puasa diwajibkan pada siang Ramadhan. Dengan berpuasa, nafsu dikekang. Nafsu makan, minum, syahwat kelamin asalnya halal tetapi untuk sementara waktu di siang hari Ramadhan, ia perlu diKIV. Masuk sahaja waktu berbuka, ia menjadi halal. Apa bezanya isteri, makan dan minum yang halal antara sebelum Maghrib dan selepas Maghrib? Namun, kita diajar supaya mengekang dari yang halal sementara waktu supaya kita dapat melatih mengekang diri kita dari yang haram sepanjang waktu. Suasana kondusif untuk Syaitan juga disempitkan. Bumi nafsu tidak menyediakan tempat sesuai untuk syaitan datang bertandang. Kekangan seperti ini cukup penting terutama bagi mereka yang diuji dengan habuan dunia yang terbentang di hadapannya.

Solat Terawih mengajar kita bahawa sebenarnya potensi diri masih belum digunapakai secara maksimum dan optimum. Tenaga dan masa masih banyak sebenarnya terbuang dan dibuang untuk perkara tidak berfaedah. Samada 8 atau 20 rakaat, solat Terawih mendidik kita untuk mendekatkan diri dan mencari bekalan melalui hubungan kita dengan Pencipta.

Sedekah dan zakat fitrah mengasuh kita memahami erti susah dan derita si faqir dan miskin. Sifat ananiah / individualistik / aku sahaja dikikis. Berfikir tentang ummah, bukan tentang diri sendiri yang lemah.


Bacaan Quran di bulan Ramadhan mengingatkan kita kepada petunjuk yang diturunkan dalam bulan Ramadhan ini. Petunjuk yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat terutama di zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian terhadap iman ini. Bukan bacaan yang hanya menjadi halwa telinga, atau suara yang keluar dari kerongkong, tetapi bacaan yang mendetikkan dalam hati zauq berdamping dengan Kalamullah yang Maha Suci.

Iktikaf dan qiamullail di bulan Ramadhan mendidik kita supaya menyediakan sedikit masa khusus untuk bersama Allah. Meninggalkan sekejap keributan dan kekalutan dalam aktiviti seharian, lantas mengambil sedikit masa merenung diri dan bermuhasabah, sambil berbisik-bisik dengan Tuhan, mengadu tentang diri yang masih jauh dengan Khaliqnya.

Kalaulah semua set modul ini dapat kita lakukan dengan terbaik, berkualiti, dibuat secara sedar dan menghayatinya, tidak mustahil maksud dari puasa dan Ramadhan itu tercapai iaitu TAQWA yang menjadi teras dalam diri manusia mukmin bagi menjalani kehidupannya di atas muka bumi Allah ini, sambil menanggung amanah memakmurkan bumi dengan agama Allah.

sumber : niknasri.com

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan : Penyucian Diri Kembali Kepada Fitrah

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan.

Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran.

Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT.

Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185

baca artikel penuh...di sini.

Sunday, May 16, 2010

Kisah Sahabat Nabi : Abdul Rahman Bin Auf

SAIDINA ABDUL RAHMAN BIN AUF

Abdul Rahman Bin Auf adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang akrab. Beliau juga adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang terkaya sebagaimana juga halnya dengan Saiyidina Uthman Bin Affan r.a. Menurut ahli sejarah, Abdul Rahman Bin Auf dilahirkan 10 tahun sesudah tahun gajah dan beliau hidup sebagai seorang pemuda Quraisy di kota Mekah yang ketika itu penuh dengan bermacam-macam kemaksiatan jahiliah berupa penyembahan berhala maupun kejahatan-kejahatan lainnya. Namun demikian Abdul Rahman terhindar dan bermacam-macam kejahatan yang berleluasa ketika itu. Bahkan sebelum memeluk agama Islam lagi, Abdul Rahman Bin Auf telah mempunyai anggapan bahawa minuman arak itu adalah terlarang.

Abdul Rahman Bin Auf telah memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w memasuki Darul Arqam lagi. Dengan hal demikian nyatalah bahawa beliau tergolong orang-orang Islam yang permulaan dan menurut riwayat beliau adalah orang yang 8 dan orang-orang permulaan yang memeluk Islam. Adalah diriwayatkan bahawa ibu Abdul Rahman Bin Auf sesudah mengetahui Abdul Rahman Bin Auf memeluk Islam, iapun berkata kepada anaknya, "Aku akan berjemur di panas matahari yang terik di waktu siang dan di waktu malam yang sejuk aku akan bermalam di ruang lapang, hinggalah engkau mengaku akan kembali semula kepada agama nenek moyangmu. Demikian ibunya mengancam. Sungguhpun begitu Abdul Rahman Bin Auf tetap tegak memeluk ugama suci dan mencintai Rasulullah S.A.W.

Adapun nama asal Abdul Rahman sebelum beliau memeluk Islam ialah Abdul Ka'abah, tetapi kemudian setelah Islam beliau menukar namanya kepada Abdul Rahman. Sebagai seorang sahabat Rasulullah yang akrab, Abdul Rahman mempunyai satu keistimewaan yang khas iaitu berjuang untuk menegakkan ugama Allah bukan saja dengan pedangnya bahkan dengan harta dan kekayaannya. Beliaulah antara para sahabat yang banyak sekali mengorbankan kekayaannya untuk memperjuangkan kepentingan Islam. Abdul Rahman pernah membahagikan dua kekayaannya untuk dibahagikan kepada fakir miskin dan pernah pula menyerahkan seluruh kekayaannya untuk keperluan sabilillah demi menegakkan panji-panji Islam.

Ramai sahabat yang telah memimpin perjuangan Islam dan menyebarkan syiar Islam yang berjuang sebagai panglima atau sebagai pahlawan Islam yang dikenal sejarah, tetapi Abdul Rahman Bin Auf telah melakukan kepahlawanannya dengan jalan menyerahkan seluruh kekayaannya dalam menegakkan Islam.

Sebagai seorang Islam yang permulaan, Abdul Rahman Bin Auf juga telah mengalami berbagai penderitaan dan penyiksaan dari masyarakat Quraish di Mekah. Oleh kerana memandangkan keadaan kaum Muslimin yang sangat sedikit itu sementelahan pula mengalami berbagai macam ancaman maka Rasulullah s.a.w akhirnya telah memerintahkan para pengikutnya supaya melakukan hijrah ke negeri Abbysinia kerana menurut Rasul di sana ada sebuah kerajaan yang tidak berlaku zalim terhadap rakyatnya. Tidak lama kemudian maka berangkatlah rombongan pertama yang melakukan hijrah yang terdiri dan 10 orang lelaki dan 4 orang wanita dan 17 wanita serta anak-anak. Dan di antara yang melakukan hijrah yang terdiri dan 10 orang lelaki dan 4 orang wanita lalu disusul dengan rombongan kedua yang terdiri dan 83 lelaki dan 17 wanita serta anak-anak. Dan di antara yang melakukan hijrah tersebut termasuklah Abdul Rahman Bin Auf.

baca artikel penuh...di sini.

Monday, May 10, 2010

Anak Kecil Yang Takut Api Neraka

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.


Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"

Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Quran sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu.

" Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka." Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti.

sumber : nur-addin.blogspot

Sunday, April 25, 2010

Pengajaran Al-Quran : Hikmah Kekalahan

Dalam perjuangan, para pejuang sudah pasti akan menghadapi suasana tekanan perasaan, cabaran musuh, kepayahan, keletihan, bosan, serba kekurangan, kesedihan dan sebagainya.



Dalam keadaan inilah manusia memerlukan bimbingan dan tiupan semangat untuk mengukuhkan pendirian dan memantapkan gerakan. Oleh itu, al-Quran adalah sumber terbaik yang akan memberikan kesemua input tersebut.


Sayyid Qutb menjelaskan dalam Fi Zilal al-Quran: Sesungguhnya al-Quran itu menghubungkan masa silam manusia dengan masa depannya dan masa akan datang dengan masa silam.
Dalam ayat-ayat tadi, al-Quran mahu menerangkan bahawa segala perkara yang menimpa orang-orang yang mendustakan para rasul dahulu akan menimpa pendusta-pendusta hari ini dan masa akan datang.

Dari satu sudut, tujuannya adalah supaya hati-hati pendokong jamaah Islam merasa tenang kerana memahami kesudahannya kelak dan dari sudut lain pula, supaya mereka berwaspada agar tergelincir seperti golongan pendusta-pendusta tadi.


Menyentuh soal kekalahan Allah swt berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 137-142, bermaksud:

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul) [137].


(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa [138].

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang sungguh-sungguh) beriman [139].

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah mendapat luka yang sama (dalam perang Badr). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan). kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui oleh Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim [140].

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir [141].

Atau adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar? [142]"

baca artikel penuh...di sini.

Monday, April 19, 2010

Kenali 10 Jenis Fitnah

SESUNGGUHNYA fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (Maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah)


Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan dalam salah satu hadisnya yang bermaksud: Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia pada waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah.

Ia seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang Muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit. (Hadis Sohih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripada Abu Hurairah)

Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. menerusi hadis di atas ialah terdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara. Sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.

Fitnah yang terjadi itu boleh berlaku kerana orang yang terlibat itu sama ada benar-benar tidak memahami atau memiliki ilmu-ilmu fardu ain ataupun kerana berhasrat meraih kepentingan dengan penampilan agama, atau memang di kalangan orang-orang munafik. Ketiga-tiga kategori manusia itu dianggap golongan yang jahat kerana mahu memburukkan Islam.

Jenis-jenis fitnah terhadap agama Islam

1. Fitnah melalui kepimpinan negara.

2. Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

3. Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

4. Fitnah melalui ungkapan.

5. Fitnah melalui penulisan.

6. Fitnah melalui iklan produk.

7. Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

8. Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

9. Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

10. Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia.

Fitnah melalui kepimpinan negara

Terdapat para pemimpin negara-negara umat Islam, yang tidak segan silu untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara dan boleh dikatakan negara mereka adalah sebuah Negara Islam. Pada hal pada masa memerintah mereka mentadbir dengan sistem Sekular, Kapitalis, Sosialis dan lain-lain.

baca artikel penuh...di sini.

Friday, April 16, 2010

Kisah Sahabat Nabi : Abdullah Bin Mas'ud

Sabda-sabda Rasulullah s.a.w.
  • "Jika sekiranya aku hendak melantik seseorang bagi memegang sesuatu tugas tanpa berunding dengan kaum Muslimin yang lain maka pastilah yang aku tabalkan itu ialah Abdullah Bin Mas’ud ".
  • "Aku rela kepada ummatku apa-apa yang disukai oleh Ibnu Mas’ud dan aku marah kepada ummatku apa-apa yang dimarahi olehnya.”
  • “Apakah kamu sekalian mentertawakan betis Ibnu Mas’ud yang lebih berat timbangannya itu di sisi Allah dari berat Gunung Uhud?”

Siapakah gerangan tokoh Abdullah Bin Mas’’ud ini hinggakan beroleh sanjungan yang demikian tinggi dari baginda Rasul? Abdullah Bin Mas’ud adalah seorang tokoh sahabat yang amat terkenal dan seorang yang sangat dicintai oleh Rasulullah s.a.w.

Abdullah Bin Mas’ud termasuk dalam barisan orang-orang Islam yang permulaan dan telah memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w. memasuki Darul Arqam. Berlainan dari para sahabat Rasulullah s.a.w. seperti Saiyidina Abu Bakar AI Siddiq, Umar Al Khattab ataupun Uthman Bin Affan yang tergolong dari kaum bangsawan itu, sahabat Abdullah Bin Mas’ud ini berasal dari keluarga yang miskin bahkan ia sendiri asalnya adalah seorang pengembala kambing kepunyaan Uqbah Bin Abi Muith. Tetapi setelah menjadi Islam, Abdullah Bin Mas’ud telah berjaya menjadikan dirinya sebagai seorang tokoh sahabat yang terbilang, seorang besar dalam sejarah lslam yang telah menjalani hidup yang penuh kemuliaan dan kesucian. Menurut riwayatnya, ketika beliau masih kanak-kanak lagi, Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan kepadanya bahawa ia kelak akan menjadi seorang guru. Dan memanglah benar terbukti di hari kemudiannya, Abdullah Bin Mas’ud telah muncul sebagai seorang guru agama yang cerdas dan bijaksana serta luas pengetahuannya.

Satu daripada keistimewaan sifat peribadi Abdullah Bin Mas’ud setelah ia memeluk Islam ialah keberaniannya memperdengarkan bacaan ayat-.ayat suci Al- Qur’an kepada kaum Quraisy yang masih musyrik walaupun perbuatannya itu ternyata membahayakan keselamatan dirinya. Para sahabat mencegahnya dari melakukan perbuatan yang nekat itu kerana bimbangkan keselamatannya. Apatah lagi bila memikirkan dirinya yang bukan berasal dari keluarga yang besar ataupun kaya. Namun kebimbangan sahabat-sahabatnya itu tidak sedikit dipedulikannya.

Ternyata pada suatu hari tatkala beliau sedang membaca­kan ayat-ayat suci Al-Qur’an dengan lantangnya di hadapan orang-orang kafir Quraisy, beliau kesudahannya telah di­ keroyok lalu dipukul oleh orang-orang Quraisy itu hingga melukai bahagian muka dan mulutnya. Apakala Abdullah Bin Mas’ud kembali kepada sahabat-sahabatnya serta melaporkan apa yang telah terjadi, para sahabat mengatakan, "Inilah yang kami khuatirkan dulunya dan sekarang telah benar terjadi." Mendengar kata-kata sahabatnya itu Abdullah lalu berkata,”Kalau saudara-saudaraku kehendaki akan saya mendatangi mereka itu lagi untuk memperdengarkan ayat-ayat Allah." Demikian keteguhan pendirian Abdullah Bin Mas’ud serta kuatan imannya dalam Islam.

Abdullah Bin Mas’ud juga adalah salah seorang daripada penulis wahyu Rasulullah s.a.w. Bahkan beliau pernah mengatakan bahawa beliau telah mengambil langsung Al-Quran daripada Rasulullah s.a.w. tidak kurang dari 70 buah surah. Selain daripada itu tidak seorang pun yang dapat menandinginya dalam soal tersebut dan Rasulullah s.a.w. telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menyebar­kan Al-Quran tersebut. Bahkan Rasulullah s.a.w. sendiri pernah suatu ketika bersabda, "Pelajarilah Al-Quran dari empat orang", dan salah seorang daripadanya ialah Abdullah Bin Mas’ud.

Sungguh beliau telah memperoleh penghormatan di sisi baginda Rasul bukan sahaja kerana darjat keimanannya tetapi juga kerana kecerdasannya dalam ilmu Al-Quran dan Hadith serta hidupnya yang penuh soleh dan taqwa. Hubungannya dengan Rasulullah s.a. w. adalah begitu erat sekali hinggakan Abu Musa pernah menyatakan, "Saya sering melihat Nabi s.a.w. dan tidaklah aku lihat di sampingnya kecuali Ibnu Mas’ud yang telah masuk dalam keluarga Nabi."

Rasulullah s.a.w. sangat mencintai Abdullah Bin Mas’ud dan dialah satu-satunya sahabat besar yang diberi izin keluar­ masuk rumah Rasulullah s.a.w. Selain menjadi sahabat Rasul­ullah s.a.w. yang akrab, beliau juga salah seorang pembantu dan murid baginda. Beliaulah yang selalu mengikuti Rasul­ullah s.a.w. pergi dan mengurus terompah beliau, mengurus kain basahan di waktu Rasulullah s.a.w. mandi dan meb­angunkan baginda sewaktu sedang tidur pada waktu-waktu yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri.

baca artikel penuh...di sini.

Tuesday, March 16, 2010

Kisah Sahabat Nabi : Abdullah Bin Jahsy Al-Asady

(Orang pertama bergelar Amirul Mukminin)

Sahabat yang kita bicarakan ini mempunyai hubungan kekeluargaan yang erat dengan Rasulullah saw. Dia termasuk kelompok orang-orang yang pertama masuk Islam (As Sabiqunal Awwalun). Dia putera ibu saudara Rasulullah. Di samping itu dia ipar Rasulullah. Karena saudara perempuannya, Zainab binti Jahsy, isteri Nabi saw, salah seorang ibu orang-orang mukmin (Ummahatul Mu ‘minin). Dia orang pertama dipercayai Rasulullah membawa panji Islam pertama. Dia pulalah orang pertama yang dipanggilkan “Amirul Mu’minin.” Nama lengkapnya “ABDULLAH BIN JAHSY AL ASADY”

‘Abdullah bin Jahsy Al Asady masuk Islam sebelum Rasulullah saw. masuk ke rumah Al Arqam. Rumah itu menjadi terkenal, karena ketika pemeluk Islam masih dapat dihitung dengan jari,

Rasulullah sering berkumpul di sana dengan para sahabat yang seiman. Karena itu jelas ‘Abdullah termasuk kelompok pertama orang-orang yang masuk Islam.

Ketika Rasulullah mengizinkan para sahabat hijrah ke Madinah, ‘Abdullah bin Jahsy tercatat sebagai orang kedua yang hijrah. Yaitu sesudah Abu Salamah. Mereka hijrah menyelamatkan agama dan diri mereka dari tekanan dan penganiayaan kaum, kafir Quraisy. Mereka hijrah ke pada Allah dan karena Allah. Untuk itu ditinggalkannya famili, karib kerabat, harta kekayaan dan kampung halaman yang dicintainya, karena mereka lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Bagi ‘Abdullah bin Jahsy, hijrah ke Madinah bukanlah merupakan pengalaman baru. Karena sebelum itu dia telah pernah hijrah ke Habsyah beserta sebagian keluarganya. Kali ini dia hijrah lebih lengkap dan menyeluruh. Dia hijrah ke Madinah berserta isteri, anak-anak, saudara saudaranya sebapak, laki-laki dan perempuan, tua muda, dan anak-anak. Rumah tangganya adalah rumah tangga Islam dan kabilahnya kabilah Islam.

Setelah mereka keluar dan Makkah, kampung halaman rnereka yang ditinggal kelihatan sedih dan memilukan. Sunyi dan hampa bagaikan tak pernah didiami. Tidak terdengar lagi di sana suara anak-anak dan orang bercakap -cakap. Belum begitu jauh mereka meninggalkan Makkah, para pembesar Quraisy mengawal keliling kota memeriksa keadaan dan siapa di antara kaum muslimin yang hijrah. Para pembesar yang turut memeriksa itu antara lain Abu Jahal dan ‘Utbah bin Rabi’ah.

‘Utbah melihat perkampungan Banu Jahsy. Dia melihat pintu-pintu rumah bagaikan meratap menghempas-hempaskan diri ditiup angin. Anginpun turut menangis menyanyikan lagu sunyi ditinggalkan penduduk yang biasa ceria dalam kedamaian.

“Perkampungan Bani Jahsy meratap sunyi ditinggalkan penduduknya,” kata ‘Utbah kepada Abu Jahil.

“Mari kita periksa!” kata Abu Jahil

Abu Jahil masuk ke rumah ‘Abdullah bin Jahsy. Rumahnya terhitung paling bagus dan dia terbilang penduduk terkaya. Melihat harta yang banyak ditinggal begitu saja oleh ‘Abdullah bin Jahsy, timbul tamak Ab Jahil. Diambilnya harta itu semua, dirampasnya menjadi miliknya. Tak ketinggalan pula harta keluarga yang lain-lain, saudara saudara ‘Abdullah bin Jahsy.

Ketika ‘Abdullah mendengar kabar perbuatan Abu Jahil yang terkutuk itu, dia mengadu kepada Rasulullah.

“Tidak relakah engkau, hai ‘Abdullah? Allah menggantinya dengan rumah yang lebih baik di syurga?”, jawab Rasulullah.

“Tentu saja rela, ya Rasulullah!” kata ‘Abdullah. “Nah.. itulah untukmu!” kata Rasulullah meyakinkan. Maka sejuklah hati ‘Abdullah.

baca artikel penuh...di sini.

Saturday, February 20, 2010

Ulama Adalah Pewaris Para Nabi

ULAMA (GURU) JALANKAN TUGAS NABI-NABI

Kehadiran nabi-nabi di muka bumi ini, adalah dirancang secara khusus oleh Allah SWT untuk menyelamatkan seluruh bangsa manusia agar melakukan peribadatan hanya kepada-Nya dengan ajaran yang tepat seperti yang diajarkan oleh nabi-nabi Ia bertujuan agar manusia hanya menyembah Tuhan yang sebenar iaitu Allah SWT.




Peranan nabi-nabi bukanlah kecil, memandangkan tugas utama mereka adalah mengajak manusia seluruhnya untuk kembali kepada fitrah asal kejadian mereka iaitu menyembah Allah, maka ia tidak terhenti hanya setakat itu, malah mengajar manusia juga ilmu-ilmu yang berkaitan dengan tauhid kepada Allah.

Mereka (para nabi) juga terdedah kepada tribulasi yang mengancam kedudukan sebagai nabi. Walau bagaimanapun Allah SWT memelihara mereka bukan sahaja mudah ditimpa musibah yang berat-berat, malah memelihara mereka daripada sebarang unsur yang boleh menjejas nama baik serta harga diri.

Tribulasi, ujian semasa menjalankan tugas dakwah adalah perkara biasa yang mesti dilalui mereka yang bergelar 'pendakwah', ia bagi mematang dan memantapkan kesungguhan mereka ketika berdakwah.

Walau bagaimanapun mereka tetap manusia, ia berhadapan dengan jangka hayat yang telah ditetapkan oleh qada' dan qadar Allah, iaitu menghadapi ujian kematian. Hal ini juga termasuk dalam perancangan Allah kerana bagi-Nya golongan pelapis sudah disediakan.

Ia juga menandakan bahawa manusia tidak selama-lamanya bergantung kepada pihak tertentu seperti pengikut-pengikut para nabi terdahulu, begitu juga para sahabat mesti memikul tanggungjawab menyampaikan Islam sejurus selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.

Para sahabat memikul tugas menyampaikan ilmu

Setelah kewafatan baginda Rasulullah s.a.w., walaupun dianggap sebagai satu kehilangan besar dalam sejarah tamadun Islam dan manusia, ia segabai satu pemergian yang telah dirancang Allah, agar tugas yang telah disampaikan sebelum ini dapat disambung oleh generasi selepasnya iaitu para sahabat.

Dalam kesibukan mentadbir negara, para sahabat tidak lupa tanggungjawab memberi kesedaran agama kepada rakyat di bawah pemerintahan mereka. Ini jelas berlaku semasa pemerintahan khalifah pertama, Abu Bakar as-Siddiq, ia disambung oleh Sayidina Umar bin al-Khattab dan begitulah seterusnya.

Sebagai contoh, salah seorang daripada mereka, Mu'az Bin Jabal yang pernah dihantar baginda Rasulullah ke negara Yaman, pernah mengingatkan penduduk negara itu melalui satu ungkapan yang cukup masyhur: "Duduklah bersamaku dan beriman walau sesaat" daripada kehidupan kamu.

Kata-kata Mu�az meninggalkan kesan mendalam pada setiap diri penduduk Yaman, akhirnya menyebabkan mereka rasa bertanggungjawab untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu pengetahuan agama, terutama ilmu akidah, fiqh, sirah, tafsir, hadis dan sebagainya yang dianggap sebagai ilmu-ilmu alat terpenting.

Ini bermakna, para sahabat telah menjalankan tugas dan peranan menyampaikan dakwah dan ilmu-ilmu Islam, hingga mereka juga terpaksa menyahut panggilan Ilahi untuk mengadap-Nya.

Maka tugas besar dan penting itu pula diambil alih oleh golongan Tabi'in yang memperlihatkan kesungguhan mereka berdakwah bagi memastikan kesinambungan ilmu-ilmu Islam dan dakwah diterima oleh generasi berikutnya.

Kegemilangan Islam terserlah pada zaman para ulama terbilang, mahu tidak mahu walaupun berdepan dengan pelbagai kerenah pemerintah dan rakyat yang semakin cenderung kepada kehidupan dunia yang berlebihan, dakwah Islam tetap diutamakan.

baca artikel penuh...di sini.

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura