Friday, October 9, 2009

Selepas Bagan Pinang Ke Kota Seputeh - DS Azizan

by MalaysianInsider

DS Azizan memberikan ceramah di Si Rusa ptg tadi.

TELOK KEMANG, Okt 9 - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yakin selepas pilihan raya kecil Bagan Pinang, pilihan raya kecil akan diadakan di Kedah pula iaitu di Kota Seputeh.

“Insya Allah, selepas Bagan Pinang kita akan ke Kedah pula untuk pilihan raya kecil di sana,” kata Azizan ketika berucap di Taman Sri Rusa, dekat sini.

Azizan memberikan ceramah bagi membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat di Bagan Pinang, Zulkefly Mohamad bin Omar.

Menurut Azizan, Speaker Dun Kedah telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kekosongan kerusi Kota Seputeh berikutan kegagalan Adunnya menghadiri sidang Dun sebanyak dua kali berturut-turut.

“Kita telah melantik tujuh peguam untuk mengkaji balik keputusan SPR yang memohon permohonan Speaker kita,” kata Azizan.

Beliau yakin, kes ini berpihak kepadanya berdasarkan undang-undang yang ada di negeri Kedah.

“Ada pemimpin Umno kata kita membazirkan duit...Saya kata, saya rela bazirkan duit untuk adakan pilihan raya semula dari terus membayar gaji Adun yang pemalas...nak datang sidang Dun pun malas,” katanya disambut sorakan orang ramai.

Azizan berkata, tugas pemimpin dan penyokong PAS adalah untuk berusaha memenangkan calon Pakatan dalam mana-mana pilihan raya pun.

Azizan memberikan ceramah di sebuah Pasti dalam peti undi Si Rusa yang dibantu oleh PAS Kedah dan PAS Johor. Turut mendengar ucapan beliau adalah para petugas PAS Kedah dan Johor yang datang ke Bagan Pinang untuk memastikan calon PAS menang.

Selain Azizan, para petugas PAS dari seluruh negara juga turut turun ke pilihan raya kecil ini. Jumlah mereka bertambah selepas kejadian Rabu lepas apabila petugas PAS diganggu dan diserang oleh petugas Umno.

Antara mereka adalah seorang aktivis Unit Amal PAS dari Gua Musang, Kelantan.

Husin...sudah berusia tetapi penuh semangat.

Husin bin Hassan sudah berumur 59 tahun namun beliau adalah seorang aktivis Unit Amal yang penuh semangat. Beliau bersama rakannya dari Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang, Raja Mahasan bin Raja Sulaiman, ditugaskan mengawal Markas Besar PAS di Batu Tiga, Port Dickson.

“Sebelum Bagan Pinang, saya dah bertugas di Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan juga Permatang Pasir baru-baru ini,” kata Husin penuh semangat walaupun sudah lanjut usia.

Ekoran kejadian Rabu lalu, para petugas PAS memenuhi Bagan Pinang. Mereka datang bukan untuk bergaduh tetapi bagi memastikan pilihan raya ini berjalan penuh tertib.

“Saya akan memastikan peraturan diikutlah,” kata Husin ketika ditanya apa yang beliau akan buat jika ada mana-mana pihak cuba membuat kacau di situ.


Rasuah Dan Kepimpinan Menurut Islam

oleh KHAIRUL HIDAYAT

RASUAH adalah antara jenayah terkutuk dilarang Islam kerana kesannya begitu buruk, bukan saja kepada pelaku malah menyebabkan bencana kepada masyarakat dan negara akhirnya.

Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan rasuah daripada pelbagai sumber dan segi. Diharapkan amalan keji itu terpadam daripada kamus kehidupan umat Islam.

Allah menegaskan pengharaman rasuah di kalangan umat Islam dengan berfirman:
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah, ayat 188).

Menurut perspektif Islam, rasuah ialah satu perbuatan sogokan dengan wang atau apa-apa hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau keinginan yang akan dan ditunaikan dengan cara tidak sebenarnya. Jelas daripada definisi amalan rasuah adalah satu jenayah terkutuk dan kesalahan besar dari sisi undang-undang.



Malah ia dilarang keras dan dikategorikan dalam amalan berdosa besar oleh Islam kerana terselit unsur kezaliman dan penindasan serta mengambil hak orang lain dengan tidak sebenarnya.
Bertolak daripada situ, jelas Islam melarang keras sebarang amalan rasuah kepada hakim dengan harapan untuk diringankan hukuman pihak yang bersalah atau dibebaskan daripada hukuman tertentu.

Tidak kurang juga, kadang-kadang rasuah mampu mengubah fakta sedia ada sehingga yang salah menjadi benar dan begitu juga sebaliknya yang benar dikatakan bersalah.
Perlu ditegaskan, larangan itu tidak hanya terhad dalam bidang kehakiman dan perundangan, malah juga merangkumi bidang lain seperti politik, ekonomi dan sebagainya.

Meninjau senario umat Islam masa kini, didapati amalan rasuah semakin berleluasa dan membarah dalam bidang politik terutama ketika pilihan raya dan juga ketika pemilihan pucuk pimpinan dalam sesebuah organisasi politik. Keadaan seumpama ini bukan saja amat menyedihkan umat Islam, malah membawa petanda buruk kepada umat Islam mengenai kepincangan yang wujud dalam pentadbiran dan juga pengkhianatan pemimpin itu terhadap amanah rakyat kepadanya.


Keadaan itu juga menunjukkan betapa keadilan dan kebebasan sudah tidak wujud lagi dalam sistem pentadbiran negara. Umat Islam yang bertindak sebagai rakyat atau warga negara mempunyai hak dan kebebasan untuk memilih pemimpin yang berwibawa lagi adil dalam menerajui tampuk pemerintahan negara ke arah kemakmuran dan keredaan Ilahi.



Bahkan rakyat juga mempunyai hak untuk menegur dan jika perlu menurunkan pemimpin mereka jika didapati menyeleweng daripada landasan Islam yang sebenarnya atau mereka tidak berkemampuan untuk meneruskan teraju negara.


Haram memberi rasuah, haram juga menerimanya. Namun, dosa rasuah tidak terbatas kepada pemberi rasuah dan penerimanya saja. Ia turut membabitkan pihak ketiga yang bertindak sebagai perantara antara pemberi dan penerima rasuah. Yang perlu diambil perhatian di sini ialah akibat perbuatan itu amatlah menakutkan iaitu laknat daripada Allah. Maksud laknat di sini ialah dijauhkan daripada rahmat Allah.

Maka tidak hairanlah sekiranya amalan rasuah ini sebaris dengan amalan berdosa besar yang lain seperti syirik, membunuh, minum arak dan sebagainya.
Selain itu, akibat buruk berpunca daripada amalan rasuah sangat berkait rapat dengan kepentingan masyarakat umum dan negara apabila amalan itu boleh menggoyahkan kesatuan ummah di samping mampu menghakis kekuatan binaan sesuatu bangsa yang berdaulat.

Pemimpin yang mengamalkan perbuatan rasuah kebiasaannya akan membuahkan bibit penyelewengan dan ketidakadilan dalam pentadbiran seperti kronisme, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan sebagainya. Akhirnya rakyat juga yang menanggung risiko dan padah.


Pada masa sama, jentera pentadbiran kerajaan akan pincang dan terbantut kerana pemimpin hanya berebutkan kuasa untuk kekal lama dalam kerajaan pada hal kuasa itu adalah satu amanah yang dikurniakan Allah kepada manusia.
Lebih-lebih lagi, amanah kepemimpinan akan dipersoalkan dan dibicarakan di hadapan Mahkamah Agung di Padang Mahsyar pada hari akhirat nanti.

Hal ini ditegaskan sendiri oleh Rasulullah dalam satu hadis maksudnya:
Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang berada di bawah pimpinan kamu. (Hadis riwayat Bukhari)

Oleh itu, setiap pemimpin yang dipilih oleh rakyat wajib menyedari dan menginsafi akan hakikat kepemimpinan dalam Islam kerana mereka bertanggungjawab sepenuhnya dengan kuasa di tangan untuk menunaikan amanah dengan mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat terlebih dulu berbanding kepentingan diri sendiri.


Mereka juga hendaklah menjauhkan diri daripada amalan rasuah yang hanya menyebabkan bencana kepada masyarakat dan negara. Sebaliknya beramallah dengan ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai teras yang mendasari pentadbiran mereka. Dengan ini, barulah umat Islam dapat merealisasikan impian mereka sebagai umat yang terbaik lagi diredai Allah dalam segala lapangan hidup.

Thursday, October 8, 2009

Ulasan PRK Bagan Pinang Oleh Naib Presiden

oleh DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN

PRK Bagan Pinang memperlihatkan kesungguhan BN untuk memenanginya, bagi membuktikan seolah-olah rakyat masih menyokongnya. Dengan berbekalkan calon kitar semula yang penuh dengan palitan rasuah, penggunaan jentera kerajaan yang melampau, pengisytiharaan Bandar Tentera bagi menggula-gulakan pengundi tentera; antara modal bagi membuktikan ‘sokongan’ tersebut.


Sebagaimana biasa, UMNO menggunakan sepenuhnya media perdana bagi memburukkan PAS khususnya sejak hari pertama penamaan calon lagi. Serangan terhadap rakan komponan dalam pakatan, khususnya PKR dengan menggambarkan Anwar Ibrahim sebagai ‘pengkhianat bangsa’, PAS menentang pembangunan, jadi alat DAP dan sebagainya merupakan modal biasa yang didendangkan oleh UMNO dalam setiap PRK sebelum ini. Nampaknya UMNO masih gagal belajar dari kekalahan sebelumnya, menyebabkan rakyat melihat UMNO benar-benar berada dalam keadaan nazak, sebelum berakhirnya penguasaan mereka insyaAllah dalam PRU ke 13.

Dalam kebanyakan pertemuan dan ulasan melalui media, UMNO tepaksa menjawab persoalan calon rasuah yang menjadi isu utama dalam serangan pembangkang. Rakyat mula melihat apakah UMNO yang mempnyai 3 juta ahli sudah tidak ada calon yang lebih berwibawa untuk diketengahkan? Apakah pengundi di Bagan Pinang sanggup dilabelkan oleh rakyat Negeri Sembilan khususnya dan rakyat negara ini amnya bahawa mereka sanggup mencemarkan tangan mereka untuk memilih calon yang tidak bermoral, calon rasuah, untuk diangkat sebagai wakil mereka?

Saya melihat betapa naifnya politik UMNO dengan menurunkan calon sebegini. Kalau di Jepun atau mana-mana negara maju lainnya, usahkan nak dipamerkan muka sebagai calon dalam pilihanraya, nak keluar ke tengah-tengah masyarakat pun mereka akan rasa malu. Tetapi dalam BN calon ini diangkat sebagai wira, dicium tangan, disanjung dan dinobatkan sebagai tokoh.


Dalam usaha memerangi rasuah habis-habisan kononnya, BN mengemukakan calon untuk menjadi pemimpin. Para pengundi hendaklah memikirkan secara serius apakah tokoh sebegini yang akan mewakili mereka dalam Dewan Negeri; dan apakah ia boleh berperanan dalam dewan yang akan mencerca pelbagai isu pembangunan yang terbengkalai, kegagalan dalam era kepimpinan beliau; disamping berlakunya ‘pertembungan’ antara beliau dengan MB yang sedia ada. Hari ini isu beliau akan diangkat sebagai exco mula berbunyi di kalangan penyokong beliau, dan isu ini terus dinafikan oleh MB.

Lebih malang bagi UMNO pilihanraya kali ini mereka terpaksa berhadapan dengan pengundi kaum India di empat peti undi. Beberapa program bersama pengundi India yang diadakan dengan pelbagai pujukan terpaksa dibuat, bilamana para pengundi kaum India masih lagi terbayang bagaimana ‘kepala lembu’ dipijak-pijak dalam demonstrasi di Shah Alam. Gambar yang sangat mengejutkan mereka tersebar di kalangan para pengundi. Mereka tahu angkara siapa, dan siapakah dalang dalam peristiwa tersebut.

Akhir kalam, semoga kita semua diberi kekuatan dalam menghadapi PRK Bagan Pinang ini. Mantapkan gerak kerja, korbankan segala kepentingan diri dan panjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar kemenangan menjadi milik kita..Insya Allah.

Wednesday, October 7, 2009

Risalah jauhi konsert maksiat



KLIK gambar untuk besarkan

Surat bantahan konsert Gegaria Metro

19 Syawal 1430
08hb Oktober 2009

Yang Dipertua
Majlis Perbandaran Dungun
23000 Dungun
Terengganu.

Tuan,

BANTAHAN KONSERT SEMPENA KARNIVAL GEGARIA METRO 09’

Salam hormat. Pihak kami telah dimaklumkan bahawa pada 9 & 10 Oktober 2009 pihak Harian Metro dengan kerjasama pihak tuan akan mengadakan program tersebut di Dataran Dewan Merdeka Daerah Dungun. Pihak kami dimaklumkan terdapat beberapa acara seperti Band Metro, Gadis Metro, Metro Idol dan banyak lagi aktiviti yang melangkaui tatasusila akhlak dan adab Islam serta melanggari tatasusila masyarakat Melayu yang akan diadakan pada tarikh tersebut.

Dengan ini, Kami Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun bersama beberapa badan NGO’s mengutuk sekeras-kerasnya dan tidak bersetuju dengan program yang akan diadakan tersebut berdasarkan beberapa sebab berikut ;

1. Acara yang akan dilangsungkan dengan jelas melibatkan gadis-gadis dan remaja yang tidak menutup aurat malah ditayangkan kepada masyarakat tempatan, percampuran antara lelaki dan perempuan yang sudah tentu akan mengundang kepada berlakunya gejala kurang sihat seperti seks bebas, rogol, kecurian, minuman keras dan sebagainya. Ini merupakan satu contoh akhlak yang buruk dan bertentangan dengan seruan Kerajaan untuk melahirkan masyarakat ‘Ulul Albab’ dan Islam Hadhari yang dilaungkan.

2. Lokasi yang berhampiran dengan Masjid, surau – surau disekelilingnya, Pejabat Agama Daerah Dungun, kawasan Perumahan Kg. Molek , Tanah Lot dan lain – lain yang bakal mengundang rasa tidak selesa, biadap,‘parking’,gangguan bunyi, privasi penduduk setempat dan lebih-lebih lagi sekarang pelajar tingkatan tiga sedang menduduki peperiksaan PMR.

3. Di samping penganjuran aktiviti ini hanyalah mengundang kepada penularan gejala maksiat yang semakin membarah pada masa yang sama seoalah-olah tiada rasa keperihatinan terhadap bencana yang sedang menimpa di negara jiran baru-baru ini. Keizinan pihak tuan juga menggambarkan persetujuan berlakunya gejala keruntuhan akhlak anak tempatan dimasa akan datang. Semoga kita dijauhkan daripada azab Allah diatas kesilapan yang dilakukan dengan sengaja.

Sehubungan itu harapan pihak kami memohon agar pihak Tuan tidak mengizinkan konsert berkenaan diteruskan demi untuk kesejahteraan umum.

Sekian, terimakasih.

" ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN "
" MEMPERSADA PERJUANGAN "

Yang menjalankan amanah,


UST JAMALUDDIN BIN JUSOH
KETUA DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN DUNGUN





Lampiran

Badan – badan dan NGO’s yang turut sama membantah konsert sempena Karnival Gegaria Metro 2009

1. PAS kawasan Dungun
2. Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)
3. Jemaah Islah Malaysia (JIM)
4. Ikatan Siswazah Islam Malaysia cawangan Terengganu (ISMA)
5. Angkatan Belia Islam (ABIM) cawangan Terengganu
6. AJK Surau kubur Kampung Molek
7. AJK Surau Tanah Lot
8. AJK padang jambu
9. AJK Surau ust omar shukri
10. AJK Surau Sungai Buaya
11. AJK Masjid Intan Zaharah
12. Persatuan Bekas Alumni Sek.Rendah Laki – Laki Lama
13. Persatuan Nelayan

Gegar di Dungun

oleh : Jawatankuasa Bertindak Membantah Konsert Gegaria



sila klik gambar



JOM KITA NYATAKAN BANTAHAN KE ATAS PENGANJURAN
KONSERT MAKSIAT OLEH MAJLIS PERBANDARAN DUNGUN (MPD)
DENGAN MENURUNKAN TANDATANGAN BANTAHAN DI KAIN RENTANG
PADA CERAMAH GEGAR PADA MALAM INI
(7 OKT 09)
DI PERKARANGAN SURAU HAJI ZAINAL ABIDIN, SURA GATE.


Tuesday, October 6, 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan PMR 2009

DUNGUN 6 Oktober Selasa - YB Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sura, Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli bersama warga kerja Pemuda, Muslimat dan JK Pendidikan DUN Sura mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PMR 2009 kepada seluruh calon yang bakal menempuh peperiksaan berkenaan yang bermula pada 7 hingga 13 Oktober ini.

Gambar hiasan - YB ADUN Sura ketika bersama squad
Pemuda Bersamamu, Ramadhan baru-baru ini.

" Ibubapa kepada calon peperiksaan juga seharusnya terus berwaspada terhadap gejala Influenza A (H1N1) walaupun kes gejala ini semakin berkurangan dan kepada calon peperiksaan jangan lupa membawa dokumen yang berkaitan dan sentiasa merujuk jadual peperiksaan yang telah diagihkan oleh pihak sekolah, ", " Kami mendoakan agar semua calon dikurniakan kemudahan untuk menjawab soalan yang dikemukakan, seterusnya memperolehi kejayaan cemerlang dalam peperiksaan ini, " demikian harapan YB ADUN Sura kepada seluruh calon peperiksaan di seluruh negara khususnya yang berada di DUN Sura.


Sementara itu, menurut Bernama yang memetik
kenyataan Kementerian Pelajaran daripada jumlah 475,182 calon yang akan menduduki peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula Rabu ini, seramai 442,611 orang merupakan calon sekolah bantuan penuh kerajaan, calon swasta (13,561), calon persendirian (338), calon MRSM dan Sekolah Perintis Tentera (4,150), Sekolah Agama Rakyat (1,288) dan Sekolah Agama Negeri (13,234).

Seramai 28,028 petugas akan mengendalikan peperiksaan itu di 3,496 pusat peperiksaan di seluruh negara dan bagi mempastikan kelancarannya semua calon dikehendaki mematuhi semua syarat dan peraturan peperiksaan yang telah ditetapkan.

Sepanjang tempoh peperiksan Bilik Gerakan PMR dan Ops Wabak akan beroperasi dari 7.00 pagi hingga 7 malam dan ianya boleh dihubungi menerusi talian 03-88893601/3809/3582/3520/3551/3030/3095.

Monday, October 5, 2009

Rasuah : Amalan Terlarang Di Sisi Islam & Negara

oleh MUTIARA ISLAM ONLINE

RASUAH memusnahkan hidup! Dalam sekelip mata seorang yang dihormati boleh menjadi hina, bahkan maruah bangsa dan negara akan tercalar. Boleh dikatakan setiap hari akhbar melaporkan mengenai perbuatan rasuah yang dilakukan pihak tertentu termasuk pemimpin politik.

islam-2

Walaupun masyarakat memahami sebagai amalan biasa, sedar atau tidak rasuah adalah satu bentuk jenayah dan mereka yang terbabit berdepan tindakan serta hukuman. Sudah ramai menerima akibat daripada amalan rasuah, sehingga ada kehilangan jawatan dan harta, malah terpaksa menghabiskan sisa hidup di penjara. Mereka yang terbabit dengan rasuah juga akan dikenakan hukuman di akhirat kelak, sebagaimana ditegaskan Nabi s.a.w dalam satu hadis diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud :

picture8

Rasuah selalu disebut dalam masyarakat majmuk di negara ini. Tetapi apakah sebenarnya rasuah dan sejauh mana ia difahami? Menurut sarjana, ia berasal daripada perkataan Arab (iaitu rishwah, rashwah) bermaksud ’sesuatu penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan.’ Asal perkataan itu daripada ‘rasha’ yang bermakna ‘tali timba yang dipergunakan untuk mengambil air di perigi.’ Kamus Dewan mendefinisikan rasuah sebagai ‘pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).’ Berasaskan pengertian itu, rasuah boleh diertikan juga dengan istilah makan suap dan memberi/menerima sogokan. Satu lagi perkataan yang selalu digunakan ialah korup/korupsi daripada perkataan Inggeris ‘corrupt/corruption’.

PEMIMPIN UMNO/BN RASUAH BEBAS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan pengertian suapan dalam konteks yang lebih luas, iaitu :

  1. Wang, derma, alang, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;
  2. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;
  3. Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
  4. Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;
  5. Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
  6. Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan
  7. Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu.

Menurut suruhanjaya itu, kesalahan rasuah membabitkan perbuatan meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan jawatan atau kedudukan.

UMNO TIDAK SETUJU SPRM SIASAT PEMIMPIN

Dalam Islam, amalan rasuah dan segala bentuk salah laku yang bersekutu dengannya seperti penipuan, penyelewengan, salah guna kuasa, penindasan dan pemalsuan dilarang sama sekali. Ayat 188 daripada surah al-Baqarah bermaksud :

picture10

Rasulullah s.a.w menegaskan dalam satu hadis bermaksud :

picture11

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2008, membabitkan kajian di 180 negara menunjukkan Denmark, Sweden dan New Zealand berkongsi pada tangga teratas dengan skor 9.3. Somalia ditangga tercorot (1.0), sementara Malaysia berkongsi dengan Jordan, Hungary, Costa Rica dan Cape Verde di tangga ke-47 dengan skor 5.1. Skor 10 menunjukkan sangat bersih manakala skor kosong amalan rasuah yang teruk.

Walaupun tidak diketahui sejauh mana penilaian yang dilakukan pertubuhan terbabit, ia sedikit sebanyak memberikan suatu tamparan kepada dunia Islam kerana gagal mendapat kedudukan sebagai negara yang paling bersih. Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bidang dengan tidak mengira tempat dan keadaan. Secara umum ia membabitkan empat disiplin iaitu politik, ekonomi, sosial dan persekitaran.

RAMAINYA PEMIMPIN UMNO AMALKAN RASUAH

Bagaimanapun, menurut pertubuhan integriti antarabangsa, Global Integrity, tanpa mengira tahap pendapatan, ancaman korupsi pertama mendepani majoriti negara ialah aliran wang tanpa aturan dalam proses politik. Keputusan itu adalah hasil daripada kajian pihak terbabit di 57 negara di dunia, yang dikeluarkan dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Di Malaysia ketika ini undang-undang baru pencegahan rasuah turut membolehkan saudara-mara terbabit atau bersubahat dengan penerima rasuah akan menerima tindakan dan nasib sama dengan orang dituduh berdasarkan peluasan tafsiran ’saudara’.

SELAMAT BERPOLITIK WANG, UMNO !!!

Justeru, dengan adanya peruntukan itu, sudah sewajarnya bagi mereka yang ‘bercita-cita’ untuk mendapatkan kepentingan peribadi melalui cara tidak sah memikirkan akibatnya berkali-kali, mahu atau tidak. Dengan ini adalah disarankan supaya umat islam berpegang teguh dengan ajaran islam yang sebenarnya kerana Agama Islam lah membawa kita ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.

islam-1

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura