Saturday, August 14, 2010

Kajian Media Arus Perdana, Enam Dari 10 Tidak Percaya

Enam daripada 10 rakyat Malaysia tidak percaya media arus perdana manakala hanya satu dalam lima mempunyai akses kepada berita “online”, demikian menurut satu kajian yang dikeluarkan baru-baru ini.
Kajian Merdeka Center dijalankan antara 27 Jun dan 25 Julai lalu menunjukkan 57 peratus orang Melayu tidak percaya pada laporan media arus perdana berbanding 33 peratus yakin manakala 10 peratus lagi mengatakan mereka tiada maklumat.

Di kalangan masyarakat Cina pula, 58 peratus responden berpandangan bahawa mereka tidak percaya pada media arus perdana, 30 peratus percaya dan 12 peratus lagi pula tidak tahu.

Hasil kajian itu dilihat mempunyai kaitan dengan arah aliran jualan suram bagi kebanyakan organisasi media arus perdana.

Perangkaan edaran menunjukkan akhbar bahasa Inggeris dan Malaysia seperti New Straits Times, The Star, Berita Harian dan Utusan Malaysia berhadapan dengan kemerosotan jualan pada tahun ini berbanding 2009 iaitu dalam lingkungan 20 peratus.

Beberapa eksekutif akhbar mengakui liputan politik yang berpihak telah memberi kesan ke atas paras jualan.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa akses kepada alterntif media kekal rendah dengan sekitar 80 peratus responden mengatakan bahwa surat akhbar bercetak masih masih menjadi sumber maklumat utama.

Hanya 21 peratus yang ditemui mengatakan mereka ada membaca berita internet sepanjang sebulan lalu tetapi kebanyakan membaca media arus perdana versi online.

Majoriti responden berkata mereka tiada kepercayaan tinggi ke atas media alternatif meskipun ramai bersetuju bahawa ia sebenarnya lebih boleh dipercayai.

Ulasan-ulasan daripada perbincangan kumpulan fokus juga menunjukkan ramai merasakan kebebasan media masih terhad di negara ini disebabkan amalan tapisan yang kuat.

Beberapa peserta kumpulan fokus juga menekankan bahawa akhbar bahasa Malaysia sangat bias.

Dua penganalisis politik berkata kajian itu bukan sesuatu yang di luar dugaan sama sekali.

“Ini mungkin kerana kumpulan ini belum mendaftar sebagai pengundi ataupun tidak kisah apa yang berlaku di negara ini,” kata Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia ketika ditanya mengenai hasil kajian itu.

“Ataupun mungkin kerana harapan yang tinggi selepas 2008, mereka mungkin jadi kumpulan atas pagar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Dan, ia juga kemungkinan kerana terlalu banyak ‘politiking’, di mana rakyat sudah penat dengan keadaan itu,” katanya.

Sivamurugan menjelaskan, kegagalan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menjelaskan agenda politik mereka juga kemungkinan telah menyumbangkan penemuan itu.

Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia bersetuju bahawa pemilikan media sahaja belum tentu menjamin kejayaan sesebuah parti politik.

“Dalam menguruskan maklumat, menguruskan media, mesej, kedua-dua pihak kena bekerja kuat mulai sekarang,” kata Agus ketika dihubungi.

“Jika mereka terus memintal, mensensasikan isu, mereka akan tenggelam,” kata penganalisis politik itu.

“Kini maklumat di hujung jari, sama ada media arus perdana atau internet, mereka tidak percaya setiap perkara yang mereka baca. Merek tahu bagaimana hendak menilai,” katanya lagi.

sumber : tvselangor.com

Friday, August 13, 2010

Kelantan Anjur Tilawah Al-Quran Peringkat PBT

KOTA BAHARU, 14 Ogos - Kerajaan Kelantan melalui aktiviti ihya Ramadan, menganjurkan tilawah al-Quran peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), mulai tahun ini.

tgna36

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata program yang berlangsung selama tiga malam itu bermula hari ini di perkarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV di sini dan melibatkan sepuluh PBT di seluruh negeri.

Beliau berkata program itu dicetuskan daripada Seminar Taranum al-Quran peringkat Antarabangsa sempena ulang tahun kedua Majlis Perbandaran Kota Bharu diisytiharkan sebagai Bandar Raya Islam pada 2004.

Takiyuddin berkata demikian kepada Bernama pada majlis pelancaran Ihya Ramadan yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini malam tadi

Nik Aziz ketika berucap merasmikan majlis itu berkata, Kelantan berjaya menunjukkan kelainan dalam mengadakan aktiviti penghayatan Ramadan dengan mendekatkan rakyatnya kepada Islam.

"Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini, kita (rakyat Kelantan) tidak begitu kalut dengan berlumba-lumba (untuk menjamu selera) di bazar Ramadan, sebaliknya mereka berlumba ke perkhemahan atau Qariyah Ramadan ini," katanya.

sumber : bernama.com

Najib Sembunyi Jenayah ?...Pendedahan Isnin Ini

KUALA LUMPUR, 14 Ogos : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat adakah beliau tidak terlibat sama sekali dalam menyembunyi dan melindungi jenayah, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Hari ini, bertebaran pelbagai dokumen yang boleh menyebabkan Najib dituduh terlibat menyembunyi dan melindungi perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang yang dilakukan oleh seseorang yang disebut sebagai antara most notorious crony capitalists.

"Dokumen-dokumen itu juga boleh menyebabkan Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituduh tidak menjalankan tugas mereka dan mereka mestilah meletakkan jawatan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Menurut Salahuddin, apa yang didedahkan dalam dokumen-dokumen itu bertentangan dengan cakap-cakap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed yang berkata akan meletakkan jawatan jika mana-mana aduan kepada suruhanjaya itu termasuk terhadap menteri kabinet tidak disiasat.

“Jika tidak ada siasatan dijalankan mengenai mana-mana laporan, walaupun terhadap menteri kabinet, saya sedia meletak jawatan,” katanya baru-baru ini.

Salahuddin mempersoalkan, adakah kenyataan Abu Kassim itu bermakna SPRM hanya menyiasat sahaja dan selepas itu tidak ada tindakan selanjutnya.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai pendedahan yang akan dibuatnya, Salahuddin hanya sekadar menyatakan bahawa beliau pernah menulis surat kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Parlimen Malaysia (PAC) tetapi tidak pernah mendengar sebarang tindakan yang sewajarnya telah diambil.

Sambil menyatakan bahawa dokumen-dokumen akan berada di tangannya Isnin ini, Salahuddin memberi jaminan bahawa beliau akan mendedahkan dokumen-dokumen itu kepada umum pada hari yang sama.

"Jika pendedahan dibuat pada Isnin ini, kerajaan perlu diingatkan bahawa rakyat tidak mahu lagi melihat satu lagi suruhanjaya siasatan seperti Suruhanjaya Diraja klip video VK Lingam di mana kita melihat semua pihak yang disebutkan kesalahan mereka dalam siasatan itu terlepas begitu sahaja tanpa sebarang hukuman," katanya.

Beliau bimbang perkara itu berlaku kerana pada masa ini sudah pun berlaku apa yang beliau lihat sebagai tindakan tolak-menolak antara SPRM dan polis.

sumber : Harakahdaily

Thursday, August 12, 2010

Khutbah Rusila : Ramadhan, Bulan Kurnia Allah Kepada Orang Beriman

Kita sedang berada dalam bulan Ramadan Al-Mubarak, bulan kurnia Allah SWT kepada orang-orang yang beriman. Apabila tibanya bulan Ramadan Al-Mubarak, Rasulullah s.a.w. menyampaikan ucapannya, yang bermaksud : Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang mulia, padanya satu malam yang kelebihannya lebih baik daripada 1,000 bulan, bulan yang pada awalnya kerahmatan, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.
Biasakan solat-solat sunat di waktu malam.
Pada bulan ini, kita dijemput menjadi tetamu Allah Taala untuk menghadiri majlis hidangan-Nya. Disediakan untuk kita hidangan yang terdiri daripada makanan roh dan jasad, kerana Allah Taala menjadikan manusia dengan dua fitrah iaitu unsur roh dan unsur jasad, kedua-dua unsur ini memerlukan makanan. Makanan ini penuh dengan kelebihan, makanan roh ialah iman, ilmu, takwa dan segala sifat dan akhlak yang mulia manakala makanan jasad ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.

Allah SWT telah menentukan tugas manusia yang berbeza dengan tugas malaikat di alam roh dan berbeza dengan binatang yang hanya menjaga kepentingan jasad. Manusia mempunyai kedua-dua unsur iaitu unsur malaikat dan binatang. Sekiranya manusia menunaikan tuntutan roh dengan sebenarnya dan dalam masa yang sama berjaya menghadapi hawa nafsu kebinatangan, maka manusia akan menjadi makhluk yang lebih mulia daripada malaikat seperti para nabi dan orang-orang yang soleh. Di sana ada manusia yang lupa kepada makanan roh dan mengendalikan jasadnya seperti binatang, maka manusia itu menjadi lebih jahat daripada binatang.

Allah SWT melatih, mendidik dan memberi tarbiah kepada kita pada bulan Ramadan Al-Mubarak dengan hidangan menunaikan kewajipan berpuasa pada waktu siang hari, memberi sedekah, menjamu makanan kepada saudara-mara dan sahabat handai, jiran dan orang-orang yang memerlukan pertolongan, menghidupkan malam dengan sembahyang tarawih, bertahajud, tadarus al-Quran dan sebagainya. Semuanya ini dijanjikan kelebihannya lebih besar daripada bulan-bulan yang lain.

Ibadat puasa sahaja dijanjikan Allah SWT dengan pahala yang tidak terhingga banyaknya. Seseorang manusia yang melakukan kebaikan akan diberikan dari tiap-tiap satu kebaikan itu 10 pahala. Adapun puasa, Allah Taala berfirman, yang bermaksud : Sesungguhnya puasa itu untuk Aku, maka terserahlah kepada-Ku untuk menentukan pahalanya.

Betapa besarnya pahala kepada orang-orang yang berpuasa, betapa ruginya mereka yang tidak berpuasa. Sesiapa sahaja yang tidak berpuasa satu hari dengan tiada sebarang keuzuran yang membolehkannya berbuka, walaupun diwajibkan kepadanya menggantikan puasa itu pada hari yang lain, namun dia tidak akan dapat menggantikan pahala puasa yang ditinggalkan satu hari itu walaupun dia berpuasa sepanjang umurnya. Itulah kelebihan yang dijanjikan Allah Taala.

Jaga diri daripada perkara menghilang pahala puasa

Marilah kita menunaikan ibadat yang diwajibkan Allah Taala itu dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang diwajibkan serta dengan adab-adab puasa yang menambahkan kelebihannya supaya kita menyedari bahawa puasa itu bukan sekadar menjaga diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa pada waktu siang hari iaitu tidak makan, minum, bersetubuh dengan isteri, tidak memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka tetapi seseorang itu juga perlu menjaga dirinya daripada perkara yang menghilangkan pahala puasa walaupun tidak membatalkan puasa.

Seseorang itu perlu memelihara anggota dan pancainderanya daripada melakukan perkara-perkara dosa dengan memelihara lidah, mata dan telinga supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menghilangkan pahala puasanya. Itulah pendidikan puasa yang merupakan makanan rohani yang dihidangkan oleh Allah SWT pada bulan Ramadan.

Kita juga dijanjikan fadilat iaitu diberikan pahala pada makanan jasad. Kita makan dan minum pada bulan puasa bukan sahaja untuk kenyang tetapi diberikan pahala. Begitu juga kelebihan mereka yang bersahur. Allah SWT menjadikan kelebihan orang yang makan sahur sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikat bersalawat kepada orang-orang yang bersahur.

Ini menunjukkan bahawa bukan sahaja ibadat puasa, bukan sahaja perkara-perkara kebaikan yang dilakukan diberi pahala, bahkan makan dan minum kita pada bulan puasa juga diberi pahala oleh Allah Taala. Itulah keistimewaan pada bulan Ramadan Al-Mubarak dan banyak lagi keistimewaan yang lain yang disediakan oleh Allah Taala supaya kita mencapai natijah puasa yang baik.

Kita menerima kerahmatan daripada Allah SWT pada awalnya, mendapat keampunan pada pertengahannya dan dimerdekakan daripada api neraka setelah kita meninggal dunia sekiranya kita menunaikan puasa dengan sebaik-baiknya. Itulah di antara hidangan yang disediakan oleh Allah Taala. Marilah kita menyahut jemputan Allah SWT di bulan yang penuh dengan kemuliaan itu.

Firman Allah Taala yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah: 183)

sumber : Harakahdaily

# Dato' Seri Tuan Guru Presiden telah berangkat menunaikan umrah

ADUN Sura Tegur Pengurusan Kerajaan

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/cermahPaka%20009.jpgKUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli menegur sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang tidak berhemah dalam pengurusannya.

Katanya, jika kerajaan tidak berhemah dalam perbelanjaan negeri dibimbangi golongan sasaran fakir miskin serta anak yatim tersisih.

“Saya minta pihak kerajaan berhati-hati kerana ini (peruntukan tambahan) melibatkan perbelanjaan negeri yang sepatutnya sampai kepada golongan sasar yang disebutkan.

“Perkara ini sangat penting dan jika kerajaan tidak berhemah dalam perbelanjaan ini sebahagian dari golongan sasar fakir miskin dan anak yatim akan disisihkan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan peruntukan perbekalan tambahan RM157 juta pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-12, di Wisma Darul Iman, 9 Ogos lalu.

Ini kerana, kata Ustaz Wan Hassan berlaku dalam pengagihan borang untuk dana wang ehsan (royalti) yang sebahagiannya datang mengadu. “Sebabnya, walau pun mereka (rakyat) sangat miskin dan susah tetapi borang itu tidak mereka (rakyat) dapati (perolehi) kerana politik.

“Begitu juga, kita (PAS) lihat kadang-kadang dalam program penyampaian e-books, bantuan am, bantuan pakaian sekolah dan lain-lain. “Ianya (bantuan) adalah peruntukan negeri (kerajaan) dan mengapa kadang-kadang Ketua Bahagian Umno yang diberi peluang berucap seperti dalam program penyampaian bantuan e-book di Dun Sura, Dungun,” jelasnya.

Menurutnya, apa kena mengena dengan program negeri ini apabila Ketua Bahagaian (Dungun) Umno yang dibenarkan berucap dalam majlis tersebut. Ini kerana, katanya program kerajaan dan peruntukan (bajet) yang hendak minta pun terpaksa melalui dewan (sidang Dun).

“Apa yang malangnya ucapan-ucapan itu ‘berbau’ politik diajar kepada anak-anak sekolah dan yang ‘sedihnya’ lagi, Menteri Besar yang turut serta dalam majlis itu terikut-ikut dengan ucapan Ketua Bahagian Umno. “‘Ugut’ pengundi dalam Dun Sura.

Saya minta kerajaan hendaklah profesional dalam kita (kerajaan) menyampaikan ucapan kita (pemimpin), menerangkan dasar-dasar pendidikan negeri dan lain-lain. “Tetapi jadi majlis politik, kadang-kadang jadi majlis juara rakyat yang menggunakan peruntukan kerajaan negeri jadi program parti. Ini sangat malang dan harap kerajaan beri perhatian,” tegasnya.

Katanya, perbekalan tambahan tersebut membabitkan bantuan am, program elektrinok e-books, bantuan pakaian sekolah anak-anak dan alatan, program pendidikan Terengganu terbilang serta pengurusan pembangunan masyarakat yang berjumlah lebih RM63 juta.

sumber : BuletinOnline

Ramadhan : Modul Tarbiyyah Dari Langit

(Saya pernah keluarkan artikel ini tahun lepas. Sempena kedatangan Ramadhan kali ini, saya siarkan kembali) Apabila manusia memikirkan untuk mengadakan sesuatu modul bagi sesuatu kursus, mereka terpaksa berbengkel dan berhempas-pulas memerah otak bagi mengeluarkan idea-idea bernas bagi mendapat modul terbaik bagi sesuatu kursus. Samada ia bersifat akademik, kemahiran, latihan dan apa sahaja. Begitu juga, modul yang telah lengkap tadi dibuat menurut objektif yang hendak dicapai, atau ada outputnya.

kebaikanramadhan

Dalam Ramadhan sebenarnya Allah telah menyediakan kepada kita satu set modul latihan lengkap bagi mendapat output yang diharapkan iaitu TAQWA.

Bagaimana modul latihan Ramadhan ini disediakan kepada kita bagi mencapai objektifnya?

Secara ringkas, boleh disebut beberapa perkara:

Puasa adalah rahsia hamba dengan Tuhannya. Kata Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam Mukhtasar Minjahul Qasidin, puasa adalah ibadat yang sukar dimasuki ria’, tidak seperti ibadat lain. Justru, puasa menjadi ibadat latihan untuk mengikhlaskan diri kepada Allah dalam semua aktiviti kehidupan, termasuk berjuang menegakkan agama Allah ini supaya tidak dimasuki ria’ danmatlamat-matlamat duniawi yang singkat dan memudaratkan perjuangan.

Puasa diwajibkan pada siang Ramadhan. Dengan berpuasa, nafsu dikekang. Nafsu makan, minum, syahwat kelamin asalnya halal tetapi untuk sementara waktu di siang hari Ramadhan, ia perlu diKIV. Masuk sahaja waktu berbuka, ia menjadi halal. Apa bezanya isteri, makan dan minum yang halal antara sebelum Maghrib dan selepas Maghrib? Namun, kita diajar supaya mengekang dari yang halal sementara waktu supaya kita dapat melatih mengekang diri kita dari yang haram sepanjang waktu. Suasana kondusif untuk Syaitan juga disempitkan. Bumi nafsu tidak menyediakan tempat sesuai untuk syaitan datang bertandang. Kekangan seperti ini cukup penting terutama bagi mereka yang diuji dengan habuan dunia yang terbentang di hadapannya.

Solat Terawih mengajar kita bahawa sebenarnya potensi diri masih belum digunapakai secara maksimum dan optimum. Tenaga dan masa masih banyak sebenarnya terbuang dan dibuang untuk perkara tidak berfaedah. Samada 8 atau 20 rakaat, solat Terawih mendidik kita untuk mendekatkan diri dan mencari bekalan melalui hubungan kita dengan Pencipta.

Sedekah dan zakat fitrah mengasuh kita memahami erti susah dan derita si faqir dan miskin. Sifat ananiah / individualistik / aku sahaja dikikis. Berfikir tentang ummah, bukan tentang diri sendiri yang lemah.


Bacaan Quran di bulan Ramadhan mengingatkan kita kepada petunjuk yang diturunkan dalam bulan Ramadhan ini. Petunjuk yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat terutama di zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian terhadap iman ini. Bukan bacaan yang hanya menjadi halwa telinga, atau suara yang keluar dari kerongkong, tetapi bacaan yang mendetikkan dalam hati zauq berdamping dengan Kalamullah yang Maha Suci.

Iktikaf dan qiamullail di bulan Ramadhan mendidik kita supaya menyediakan sedikit masa khusus untuk bersama Allah. Meninggalkan sekejap keributan dan kekalutan dalam aktiviti seharian, lantas mengambil sedikit masa merenung diri dan bermuhasabah, sambil berbisik-bisik dengan Tuhan, mengadu tentang diri yang masih jauh dengan Khaliqnya.

Kalaulah semua set modul ini dapat kita lakukan dengan terbaik, berkualiti, dibuat secara sedar dan menghayatinya, tidak mustahil maksud dari puasa dan Ramadhan itu tercapai iaitu TAQWA yang menjadi teras dalam diri manusia mukmin bagi menjalani kehidupannya di atas muka bumi Allah ini, sambil menanggung amanah memakmurkan bumi dengan agama Allah.

sumber : niknasri.com

Zakat Fitrah RM5 Hingga RM8

KUALA LUMPUR : Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di seluruh negara untuk tahun ini ditetapkan antara RM5 dan RM8, berbeza mengikut negeri masing-masing berdasarkan harga beras.

Malah, ada negeri memberikan pilihan kepada masyarakat dengan menetapkan lebih daripada satu kadar bayaran seperti Terengganu dengan RM5, RM7 dan RM8 manakala Johor RM5 dan RM7.50. Sarawak RM5.20, Perlis RM6, Negeri Sembilan dan Melaka RM6.50, Sabah RM6.80 manakala Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Kedah, Perak dan Selangor ditetapkan RM7.

Kadar terbabit tidak banyak berbeza dengan tahun lalu, sekali gus dijangka tidak membebankan masyarakat.

sumber : hmetro.com

Infaq Ramadhan - Sumbangan Kepada Anak-Anak Yatim Menjelang Aidilfitri 1431

DUNGUN, 12 Ogos Khamis - Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan DUN Sura yang telah berjaya mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Faqir Miskin baru-baru ini, sedang berusaha untuk mengumpul kewangan bagi disumbangkan kepada anak-anak yatim dan anak-anak sindrom down di sekitar DUN Sura.

Menurut Ketua Lajnah, Haji Zakariah Yusoff, program yang mendapat dokongan padu daripada ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli itu, bermula sejak tahun 2008.

" Pihak kami mensasarkan jumlah kutipan sekurang-kurangnya RM15,000.00 di mana berdasarkan rekod sumbangan tahun lalu, seramai lebih 200 orang yang terdiri dari anak-anak yatim dan anak-anak sindrom down telah menerima agihan menjelang Aidilfitri lalu, " ujar beliau.

" Majlis ini telah dipersetujui oleh Y.B. ADUN Sura merangkap Pengarah DUN Sura, akan diadakan seminggu menjelang Aidilfitri, iaitu pada 3 September, 2010 hari Jumaat, sehubungan itu kami mengalukan-alukan sumbangan ikhlas daripada seluruh dermawan untuk turut sama melibatkan diri melalui infaq masing-masing ke akaun bersama atas nama : ZAKARIAH BIN YUSOFF / ENCHE ALIAS BIN MUDA, nombor akaun RHB Bank Dungun : 1-13056-0005261-2, “ tambah beliau lagi.

Kepada sesiapa yang berhajat untuk menyumbang juga boleh menghubungi Hj Zakariah Yusoff (013-930 7922), Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DUN Sura.
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura