Wednesday, April 13, 2011

ADUN Sura imamkan solat jenazah Muhammad Gaberial Peter


Ustaz Wan Hassan imamkan solat jenazah Muhammad Gaberial Peter

DUNGUN - Jenazah Muhammad Gaberial Peter, bapa Francisca, penyanyi evergreen era 80-an yang popular dengan lagu Sekadar di Pinggiran yang ditemui mati di rumahnya dekat Taman Sri Dungun kira-kira jam 10 malam kelmarin selamat disolatkankan di Unit Forensik Hospital Dungun sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura, jam 2.30 petang semalam.

Penemuan dokumen memeluk agama Islam oleh sepasukan polis yang melakukan siasatan di rumah Peter mengungkai tanda tanya bahawa dia kini berstatus beragama Islam.

Biarpun perkara terbabit difahamkan tidak diketahui sebahagian ahli keluarganya yang beragama Kristian, namun dokumen yang menjadi status identiti agama Islam itu menjawab segala pertanyaan seterusnya membuka jalan untuk pihak berkaitan menyelesaikan segala kerumitan dihadapi.

Pegawai Agama Daerah Dungun, Mohd Adnan Abdullah mengesahkan, selepas merujuk kepada pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Peter disahkan memeluk agama Islam pada 10 April 2007 lalu.

“Sehubungan itu ia menjadi tanggungjawab pihak Pejabat Agama Daerah Dungun untuk menguruskan jenazah berkenaan sebelum dikebumikan mengikut cara orang Islam,” katanya.

Anak lelaki arwah, John Joseph Peter, 40-an yang beragama Kristian ketika ditemui selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sura berkata, arwah bapanya itu tinggal bersamanya sejak dua tahun lalu.

Katanya, biarpun tidak sempat menemui arwah pada saat akhir, namun dia menerima kehendak takdir dengan pemergian bapanya itu dengan hati yang terbuka bahawa bapanya itu meninggal dalam Islam.

Sementara itu, solat jenazah Muhammad Peter diimamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hassan Mohd Ramli.

Wan Hassan yang ditemui berkata, urusan menguruskan jenazah itu dilakukan pihaknya bukan atas dasar untuk mencari publisiti demi kepentingan politik, sebaliknya ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul masyarakat Islam, apatah lagi arwah merupakan saudara baru yang tidak mempunyai ahli keluarga terdekat yang beragama Islam bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Kita melihat kepada kepentingan menjaga rakyat, apabila rakyat yang ada dalam keadaan kesulitan melibatkan kematian, kita perlu bantu apatah lagi dia merupakan saudara baru,” katanya. -Sinar Harian.

Tuesday, April 12, 2011

PRN Sarawak : Solat Hajat Seluruh Negara Khamis, 14 April

Parti Islam Semalaysia Pas mengarahkan semua ahli seluruh negara melaksanakan solat hajat pada 14/4/2011 khamis malam Jumaat untuk kemenangan calon Pas dan Pakatan Rakyat di Sarawak. Ini adalah jalan yang terbaik bagi pejuang agama Allah supaya Allah memberi kesejahteraan kepada calon Pas dan petugas Pas di Sarawak.

Kita perlu memohon kepada Allah semoga pintu hati pengundi terbuka untuk menyokong perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

Alhamdulillah petugas Pas dan PR menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan perubahan politik di Sarawak.

Semua penyokong Pas di seluruh negara mohonlah kepada Allah agar keselamatan petugas-petugas Pas selamat menjalankan tugas sepanjang pilihanraya, InsyaAllah. Nampaknya bunga-bunga kemenangan sudah nampak, penerimaan masyarakat tempatan walaupun berlainan agama dan budaya. Pas sudah tidak asing lagi kepada mereka, terutama generasi muda.

IDRIS BIN AHMAD

Ketua Penerangan PAS Pusat.

sumber : PAS Sarawak

Monday, April 11, 2011

PKR Dan PAS Gesa Najib Umum Tarikh Taib Undur, Pengganti

KUCHING, 11 April - Parti Keadilan Rakyat (PKR), satu lagi komponen Pakatan Rakyat menggesa Datuk Seri Najib Razak agar mengumumkan tarikh Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan melepaskan jawatan ketua menteri dan bakal penggantinya. Pagi tadi, DAP meminta ketua menteri paling lama itu melepaskan jawatannya sekarang.
















Petang ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menolak keikhlasan Najib dengan menyifatkan janji Pengerusi BN itu sebagai “satu lagi gimik politik untuk mengkaburi penilaian rakyat.”



Anwar meramalkan Najib akan gagal menunaikan janjinya meskipun beliau merupakan perdana menteri dan pengerusi BN.
Katanya, Najib tiada pengaruh ke atas Taib yang tidak pernah tunduk kepada pemimpin berpengaruh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Janji ini pernah dibuat sebelum ini, jadi sama ada Dr Mahathir berbohong atau beliau tiada kapasiti untuk mengatasi pengaruh Taib,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat yang merujuk kepada kegagalan Dr Mahathir untuk memastikan Taib berpegang kepada janji yang sama 16 tahun lalu. “Ini ulangan kepada apa yang berlaku sebelum ini,” kata Anwar sambil menambah, beliau yakin Najib tidak akan menunaikannya.

“Jika beliau serius dan bertekad untuk melakukannya, beliau perlu membuat pendirian sekarang... bila Taib akan meletakkan jawatan dan siapa yang akan mengambil alih,” kata Anwar lagi.

Dalam pada itu, ahli jawatankausa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa pula menyifatkan kenyataan Najib semalam mencerminkan satu sandiwara Perdana Menteri untuk mengaburi mata rakyat.
“Jika beliau benar-benar serius dalam perkara ini,

Perdana Menteri harus terus menamakan pengganti yang telah dipersetujui oleh Tan Sri Taib untuk mengambil alih tampuk pentadbiran negeri.
“Tan Sri Taib Mahmud telah pun mengeluarkan kenyataan untuk berundur daripada jawatan Ketua Menteri sewaktu pilihanraya 2006 tetapi sehingga sekarang masih belum melakukannya,” kata beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Kini, kata Husam, janji tersebut diulang tayang semula kepada rakyat Sarawak sebagai harapan palsu bahawa perubahan akan berlaku.
“Ketua Menteri yang ada kini sudah terlalu lama memerintah.

“Beliau gagal membersihkan diri dari isu-isu mengaut kekayaan melalui jawatannya, anak-anaknya, kronisme dan penggondolan hutan semula jadi Sarawak dan membiarkan sebahagian besar rakyat Sarawak tertinggal dalam kemunduran, kemiskinan dan suasana terancam,” kata beliau.

Husam juga berkata, sekalipun isu-isu rakyat Sarawak bukan sekadar berbangkit dari cara pemerintahan Taib yang berkisar kepada pengkayaan kroni tetapi lebih kepada dasar-dasar BN Sarawak yang telah terlalu lama memerintah, namun pengunduran Taib adalah sangat perlu untuk perubahan.


“Justeru itu, untuk mengelakkan Tan Sri Taib membina dinasti keluarga dengan menamakan adik beliau, Datuk Seri Muhamad Ali Mahmud, Perdana Menteri harus menamakan pengganti Tan Sri Taib sebelum hari pengundian.

“PM dilihat memberikan restu untuk Tan Sri Taib sekali lagi menjadi Ketua Menteri Sarawak dengan membelakangkan tuntutan perubahan oleh majoriti rakyat Sarawak dengan mengizinkan beliau bertanding semula,” katanya lagi.

Kata Husam, perdana menteri dengan itu telah bersekongkol mengizinkan penindasan yang dilakukan oleh BN Sarawak ke atas rakyat Sarawak berterusan dan lebih mengutamakan perasaan individu pemimpin dari suara hati rakyat terbanyak Sarawak.

sumber : themalaysianinsider.com

Thursday, April 7, 2011

Masalah Hakisan Pantai Telok Lipat Dibawa Ke Parlimen

KUALA LUMPUR, 7 April : Ketiadaan perancangan rapi dari pihak kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti di kawasan pantai amat dikesali kerana ia telah menyebabkan beberapa pantai di Terengganu kini mengalami hakisan yang amat teruk.

Pantai-pantai terbabit termasuklah pantai Tok Jembal yang terletak di kawasan Kuala Nerus di Kuala Terengganu, Telok Lipat di Dungun, Rhu Rendang di Marang dan Telok Kalong di Kemaman.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut ketika membangkitkan perkara itu berkata, akibat ketiadaan perancangan rapi dan perancangan yang tidak betul, Pantai Tok Jembal kini semakin teruk terhakis, apabila tambak yang dibina dibuat terus ke laut ekoran pembinaan landasan kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Menurut beliau, akibat perancangan yang tidak betul, Pantai Rhu Rendang turut mengalami hakisan teruk, ekoran pembinaan pemecah ombak untuk pembinaan Pelabuhan Chendering.

Katanya, kesemua itu berlaku disebabkan gangguan-gangguan yang terlalu banyak di kawasan pantai sehingga menyebabkan berlakunya tindak balas yang menyebabkan berlakunya hakisan sepanjang masa dan lebih teruk lagi pada musim tengkujuh.

"Ekoran itu juga, jalan raya di kawasan Telok Lipat di Dungun sekarang sampai sudah habis nak tenggelam, nak dikorek dan dihakis," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dari soalan asalnya kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Keadaan yang berlaku itu, menurut beliau, amat dikesali dan ia seolah-olah terjadi disebabkan banjir besar yang dikaitkan dengan kata-kata "sekali air bah sekali pantai berubah".

Tapi di Terengganu kini, katanya, sudah tidak lagi berlaku banjir besar. Kalau pun berlaku banjir hanyalah banjir kecil sahaja.

Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada pihak kerajaan ada melakukan kajian secara menyeluruh atau tidak tentang apa juga aktiviti yang hendak dilakukan yang melibatkan pantai supaya tidak mendatangkan kesan sampingan seperti itu.

Jika tidak diadakan kajian menyeluruh, ia pasti akan mendatangkan kesan sampingan yang teruk sehingga memaksa kerajaan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membaik pulih pantai-pantai berkenaan.

"Sekiranya tiada kajian menyeluruh dan perancangan yang rapi, perbelanjaan besar yang diperuntukkan oleh kerajaan sehingga RM5 juta atau RM10 juta pun tetap juga tak mampu membaik pulih pantai-pantai berkenaan kerana hakisan tetap juga berlaku semula," jelasnya.

Dalam soalan asalnya, beliau meminta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan perancangan dan usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah hakisan pantai di Terengganu seperti Pantai Tok Jembal, Telok Lipat, Rhu Rendang dan Telok Kalong.

sumber : harakahdaily

Friday, April 1, 2011

ADUN Sura Hargai Kejayaan Pelajar STPM 2010 Di Bukit Chatak 1

DUNGUN, 2 April Sabtu - Para pelajar yang mengambil peperiksaan STPM tahun 2010 lalu, menerima ucapan tahniah dan sumbangan penghargaan daripada ADUN Sura di atas kejayaan masing-masing dalam peperiksaan yang telah mereka hadapi penghujung tahun 2010 lalu.
Di kampung Bukit Chatak 1, seramai 6 orang pelajar telah dikenalpasti oleh PAS Cawangan berkenaan sebagai penerima sumbangan penghargaan tersebut.
Mereka ialah Nurul Zaidah bt Razali, Iffah Fadiah bt Adnan dan Nurfarah Syahida bt Ab Rahim dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar, Dungun.

Tiga orang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah, Dungun - Mohd Shahrul Naim bin Fauzi, Muhammad Rasydan bin Razali dan Siti Nooraishah bt Mohd Din.

ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli sengaja meluangkan masa untuk menyampaikan sumbangan ke rumah setiap pelajar berkenaan semata-mata untuk bertemu dan bersua muka bersama para pelajar dan keluarga masing-masing.

Sebahagian sumbangan diterima melalui wakil pelajar - abang, ibu saudara dan bapa para pelajar berkenaan kerana kebetulan ketika kunjungan dilakukan mereka tidak berada di rumah.

Turut mengiringi ADUN Sura ialah Setiausaha PAS Cawangan Bukit Chatak 1 merangkap Ketua Penerangan MTD Sura, Encik Mohd Yusof Ismail.

Kunjungan penghargaan dilakukan pada waktu petang, 27 Mac Ahad, baru-baru ini.

Di sebelah paginya, melalui wakilnya beliau menyampaikan penghargaan sempena Ulangtahun Hari Polis ke-204.

Muktamar Agung PAS : Semua Jawatan Tertinggi Akan Dipertandingkan

PETALING JAYA : Pemilihan PAS pusat pada tahun ini dijangka menyaksikan saingan sengit apabila semua jawatan tertinggi parti itu akan dipertandingkan pada Muktamar ke-57 yang akan berlangsung Jun ini.

Muktamar tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Jun 2011 di Markas Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata pencalonan bagi setiap jawatan yang dipertandingkan sudah bermula sejak bulan lepas. “Kita sudah ada terima pencalonan, tapi saya tidak boleh dedahkan sekarang kerana masih terlalu awal.

“Pencalonan dan mesyuarat PAS di peringkat kawasan dan cawangan sudah pun bermula dan saya jangka ia akan berakhir pada penghujung April ini. Selepas itu kita akan kira dan umumkan siapa yang layak bertanding,” katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan jawatankuasa pemilihan PAS menjelang Muktamar ke-57.

Mustafa yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, setiap calon layak bertanding apa jua jawatan dalam PAS dengan memperoleh dua pencalonan sahaja.

“Kita tidak ada sekatan dalam parti. Kalau ada orang nak bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pun boleh, yang penting dia perlu dapat sekurang-kurangnya dua pencalonan,” katanya.

Pemilihan PAS pusat pada tahun ini dijangka menarik perhatian peminat politik negara apabila caka-cakap menyatakan bahawa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa tidak akan mempertahankan jawatannya.

Bagaimanapun sehingga kini, beliau belum lagi memberi sebarang kata putus sama ada untuk berbuat demikian atau tidak. Nasharuddin dijangka berhadapan dengan dua seteru lamanya, yang juga bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang dijangka akan mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan nombor dua itu dalam masa terdekat ini.

PAS mempunyai 171 bahagian di seluruh negara dan setiap bahagian perlu menghantar pencalonan untuk jawatan tertinggi PAS pusat iaitu, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa PAS pusat.

sumber : mstar.com

Tersalah Pilih Pelakon Berperut Boroi...

Aku tak tahu apa yang harus aku buat. Aku nak menangis tetapi aku rasa bersalah. Kalau aku ketawa aku juga akan merasa bersalah. Aku merasa bersalah kerana aku adalah salah seorang yang telah djemput untuk menonton tayangan perdana pembukaan sedunia, filem Tiga Mat Boroi.

Aku merasa bersalah kerana orang lain tidak dijemput.
Walau apa pun aku mesti berkata benar bahawa aku merasa begitu bangga sekali apabila seorang pengarang akhbar The Star menelefon dan menjemput aku untuk datang menonton.


Menggeletek anak tekak, tak sabar-sabar nak menonton
Tiga Mat Boroi. Cepat-cepat aku seterika baju dan seluar. Aku juga merasa amat amat gembira kerana dapat sama-sama merayakan kerja seni garapan Le Petit Tambi.

Le Petit Tambi ini adalah pengarah filem kanak-kanak pada tahun 80-an dahulu. Dia cukup hebat dalam hal kanak-kanak dan buat anak. Dari apa yang aku difahamkan, filem terbaru ini adalah percubaan awal untuk meninggalkan genre kanak-kanak dan memasuki filem yang dianggap
engaging atau filem fikrah.

Bayangkan betapa bangganya aku kerana telah dijemput untuk melihat tayangan eklusif
Tiga Mat Boroi ini. Tayangan ini bukan di panggung kokak di Penang Road atau di Mid Valley. Aku dijemput ke panggung yang amat eklusif - Le Carcosa. Tentang Carcosa ini, aku pernah diberitahu bahawa satu ketika dahulu Queen Elizebeth pernah terkencing berdiri di tandasnya. I

ni terjadi sesudah Queen Elizebeth makan sup tomyam yang agak pedas di Jalan Masjid India. Drama ini berlaku ketika Queen Elizebeth datang ke Kuala Lumpur untuk merasmikan Sukan Kommonwealth pada tahun 1998 dahulu.


Berita Queen Elizebeth terkencing berdiri di Carcosa ini memang tidak dilaporkan media kerana takut akan menjadi satu trend ikutan anak-anak muda. Amat ditakuti kalau-kalau anak muda akan pergi beramai-ramai ke Carcosa hanya untuk berdiri terkencing.

baca artikelpenuh...di sini.

ADUN Sura Ingati Ulangtahun Hari Polis Ke-204

DUNGUN, 1 April Jumaat - Sempena Ulangtahun Hari Polis Ke-204 yang jatuh pada 24 Mac, 2011 baru-baru ini, ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli menyampaikan sumbangan kek sebagai simbolik memperingati sumbangan warga polis dalam perkhidmatan mereka.
" Terimakasih di atas komitmen yang berterusan dalam membanteras jenayah di daerah Dungun dan terus bertugas dengan penuh dedikasi dan mencipta rekod perkhidmatan yang cemerlang di masa-masa akan datang, " petikan nota ringkas aluan ADUN Sura, sempena Ulangtahun Hari Polis Ke-204.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Setiausaha MTD Sura, Encik Mohamed Ibrahim Sini Mohamed kepada wakil Ketua Polis Dungun, di Balai Polis Dungun di sini pada 27 Mac Ahad, baru-baru ini.

Turut hadir Haji Hassan Abdul Aziz, Ketua Pengangkutan DUN Sura.
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura