Wednesday, August 11, 2010

Saman Ekor - Polis Jangan Jadi Mafia !!! : Mohamad Hanipa Maidin

Apabila kita bercakap tentang saman ekor kita sebenarnya bercakap tentang kegagalan pihak polis memahami prinsip keadilan asas di dalam undang-undang jenayah iaitu seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Prinsip ini boleh dikatakan bersifat sejagat dan dipakai di serata dunia.

Hakikatnya prinsip asas ini sahajalah yang boleh melindungi pencabulan hak rakyat oleh pihak Negara. Di dalam kes jenayah pendakwaan dilakukan oleh Negara . Negara yang gagah kerana mempunyai segala sumber di dalam genggamannya seperti polis dan agensi-agensi lain dibenarkan oleh undang-undang untuk membawa rakyat yang lemah ke muka pengadilan. Rakyat yang lemah sudah tentu tidak berupaya untuk melawan Negara yang gagah dan perkasa serta kaya dengan segala sumber kekuatan dan prasarana. .

Oleh itu satu-satunya senjata yang boleh melindungi rakyat dari ‘serangan” Negara adalah prinsip asas yang saya nyatakan tersebut iaitu seseorang dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Dengan bersandarkan prinsip ini rakyat boleh menyatakan kepada Negara lebih kurang begini “ saya tahu kamu ( Negara ) ada segala kekuatan untuk membawa saya ke muka pengadilan , maka saya menuntut kamu wahai Negara untuk membuktikan bahawa saya benar-benar bersalah , kerana jika kamu tidak ada bukti untuk mensabitkan saya bersalah kamu janganlah menganggu kehidupan saya.”

Amat malang saman ekor membunuh prinsip asas tersebut. Saman ekor memberi erti rakyat adalah dianggap bersalah maka rakyat yang kena buktikan bahawa mereka tidak bersalah.

Bagi saya saman ekor adalah manifestasi penyalahgunaan kuasa dan undang-undang bagi mendapatkan faedah kewangan secara tidak sah. Dengan kata lain saman ekor adalah jalan pintas bagi Negara di bawah BN untuk mengambil wang rakyat secara paksa. Kalau di zaman feudal raja yang zalim bertindak meminta rakyat membayar ufti bagi menjamin keselamatan mereka, maka saman ekor adalah ufti versi baru yang dikutip dari rakyat oleh “neo feudalist” dengan berselindung di bawah ketiak undang-undang yang dinamakan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa pihak mereka akan tetap meneruskan saman ekor terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas . Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, tindakan itu untuk memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab. PDRM juga pada masa sama, menurutnya, akan menyenaraihipemilik kenderaan yang gagal melunaskan saman selepas tiga bulan notis diserahkan. Abdul Aziz berkata, tindakan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 29 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mengikut kedua-dua seksyen terbabit, polis dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) boleh menyenaraihitamkan pemilik kenderaan sekiranya mereka masih ada urusan (saman) yang belum diselesaikan dengan polis atau JPJ, maka mereka tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini ( Utusan10/7/2010 )

baca artikel penuh...di sini.

Ramadhan Di Gaza - Ya Allah Ya Tuhan Kami, Tolonglah Kami Berpuasa Di Bulan Mulia Ini

Sudah lebih empat tahun rakyat Gaza dibelenggu oleh embargo. Kini mereka bersiap menyambut ketibaan bulan ketaatan, ampunan, rahmat dan keredhaan, bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, di tengah cuaca yang sangat panas dan ketiadaan bekalan elektrik akibat terhentinya operasi satu-satunya janakuasa yang ada di Gaza akibat kehabisan bahan bakar.

Seorang warga yang berasal dari Kota Gaza, Fadi Dardasawi, 40 tahun berkata, “Ramadhan datang setiap tahun dengan membawa banyak kejutan. Tahun ini Ramadhan datang ketika sebahagian daripada kami menganggur akibat embargo. Derita itu ditambah lagi dengan bekalan elektrik yang terputus secara berterusan dalam jangka waktu yang lama”.


Beliau menambah, “Terputusnya bekalan elektrik di bulan Ramadhan ini bermakna kematian kami secara perlahan-lahan di tengah meningkatnya suhu cuaca panas, lebih panas dari kebiasaannya. Ya Allah, ya Tuhan kami, tolonglah kami untuk berpuasa di bulan Ramadhan dengan sebaik mungkin”.

Jabatan Kesihatan Palestin telah memberi amaran kemungkinan berlaku bencana kemanusiaan di Gaza akibat ketiadaan bekalan elektrik dalam jangka masa yang lama. Mereka menyeru kepada semua pihak, baik tempatan mahupun antarabangsa, untuk membantu dan menghantar bekalan bahanapi yang diperlukan ke hospital-hospital bagi melindungi nyawa ratusan pesakit yang terbaring dan memerlukan rawatan. Tanpa bekalan elektrik, bencana kemanusiaan yang besar akan berlaku.

Seorang lagi warga Gaza, Abu Muhammad mengatakan, “Pertama sekali saya memohon kepada Allah agar saya dapat dipanjangkan umur hingga Ramadhan dalam keadaan sihat dan afiat. Kerana manusia tidak dapat menajamin hidup hingga esok. Apa yang ingin saya katakan untuk Ramadhan tahun ini, malahan sama seperti Ramadhan sebelumnya, adalah bahawa rakyat Palestin masih lagi hidup di bawah embargo zalim Zionis yang belum berakhir kerana kelemahan bangsa Arab dan kaum Muslimin”.

baca artikel penuh...di sini.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan : Penyucian Diri Kembali Kepada Fitrah

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan.

Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran.

Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT.

Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185

baca artikel penuh...di sini.

Barakah : Aqsa Adalah Simbol Dalam Memerangi Penjajahan

Selasa, 10 Ogos - Ali Barakah, ketua bagi lajnah politik Gerakan Pembebasan Islam (HAMAS) di Lubnan, menegaskan pada hari Ahad (8/8) bahawa jalan jihad dan penentangan keatas Zionis adalah satu-satunya jalan untuk mendapatkan semula Masjid Aqsa dan keseluruhan Palestin dari cengkaman Yahudi dan bukannya dengan jalan perdamaian, sambil menegaskan bahawa Aqsa akan dijadikan sebagai simbol dalam memerangi penjajahan zionis.

Barakah menambah lagi ketika beliau menyertai satu program berkaitan al-Aqsa “Perjalanan menuju al-Aqsa” di perkampungan Maroun al-Ras yang terletak di sempadan Lubnan – Palestin “jalan perdamaian sama sekali tidak akan dapat mengembalikan kepada kita al-Aqsa juga (ianya sama sekali) tidak akan dapat mengembalikan semula kepada kita tanah Palestin, (malah) ianya akan membentuk situasi yang berbahaya kepada al-Aqsa dan (jalan perdamaian juga) akan menutupi segala kekejaman penjajah Zionis. Pihak musuh sahaja yang mendapat keuntungan dari perundingan ini….. ”

Dia menegaskan lagi bahawa, perkara ini adalah sebuah mesej yang disampaikan kepada pihak musuh sebelum teman, dan bahawasanya umat ini tidak akan berdiam diri di depan usaha meyahudinisasikan Baitulmuqaddis, dan di depan pencerobohan mereka yang berterusan ke atas al-Aqsa, Al-Aqsa adalah simbol dalam memerangi penjajahan (zionis )” .

sumber : palestinkini.info

Monday, August 9, 2010

Ramadhan bulan tarbiah, jihad

Takwim solat & waktu Berbuka Ramadhan 1431H terbitan Lajnah Penerangan Pemuda Dun Sura





Ramadhan bulan tarbiah, jihad

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Ramadhan adalah bulan tarbiah dan jihad bagi pejuang-pejuang Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru, katanya kedatangan Ramadhan adalah proses untuk menundukkan hawa nafsu yang sentiasa bergelodak dalam jiwa untuk mengabadikan jihad dan perjuangan.

“Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya.

“Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna hawa nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadat puasa,” ujarnya dalam perutusan sempena Ramadhan 1431H.

Katanya, sejarah jatuh bangun umat dahulu memperlihatkan betapa banyaknya tekanan musuh dan serangan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana musuh menganggap umat Islam akan lemah kerana berpuasa.

“Lihatlah di zaman kita serangan ke atas Iraq, Afghanistan, Bosnia dan lainnya banyak dimulakan dalam bulan Ramadhan.

“Bahkan kalau kita buka lipatan sejarah lampau, sejak zaman Rasulullah hingga zaman tabieen, serangan musuh banyak tertumpu dalam bulan Ramadhan,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kerana itu, katanya Ramadhan janganlah dijadikan alasan untuk mengabaikan jihad; kerana tarbiah Ramdhan adalah tarbiyah langsung dari Allah, sehingga Allah menyatakan dalam hadis Qudsi yang bermaksud: Puasa kamu untuk Ku, maka Akulah yang akan memberi balasannya.

“Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur sehingga kita bertemu semula Ramadhan,” ujarnya.

Katanya, Rasulullah s.a.w. sering kali berdoa yang bermaksudnya: Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami) sehingga bertemu dengan Ramadhan.

“Betapa besarnya rahmat Ilahi bilamana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan kerana sabda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.

Maksudnya, jelasnya sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yakni dosa kecil.

“Panjang umur bukan kerja kita, ia benar-benar hak mutlak Allah; lantaran itu marilah kita mensyukurinya.

“Saya mengambil kesempatan menyeru kepada semua pendokong parti agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian, hidupkan tadarus al-Quran di kalangan ahli usrah,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyeru supaya dihidupkan majlis berbuka, tarawih dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada dan ambillah kesempatan menderma terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Ini, katanya kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa iaitu menyediakan makanan berbuka puasa, maka dia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.

Namun, beliau mengingatkan orang yang berpuasa supaya hendaklah memendekkan masa di bazar-bazar Ramadhan, dan jangan membeli juadah untuk berbuka dari tangan-tangan yang fasiq, tangan yang tidak mengerjakan sembahyang, dan tangan yang tidak takutkan Allah.

“Peliharalah setiap suap makanan kerana ia menjadi darah daging, dan darinya menjadi air mani yang melahirkan zuriat kamu.

Kutiplah mutiara keberkatan Ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu,” katanya.








Kenyataan Rasmi : Tinggalkan UMNO-BN

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya memahami hakikat sebenar bahawa berlakunya salah urus dan penyelewengan oleh Umno-BN sejak sekian lama terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara. Kegagalan Umno inilah yang menyebabkan berlakunya ketirisan dan ketidakadilan, sehingga yang menjadi mangsa adalah orang Melayu dan Bumiputera sendiri. Inilah persoalannya yang menghantui rakyat dalam negara kita selama puluhan tahun sejak negara mencapai kemerdekaan, di mana Umno telah bertindak menjadikan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai senjata untuk mereka mempertahankan Umno dan merobek harta negara di atas nama hak keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputra.


Kepada orang Melayu di seluruh negara yang masih bersama Umno, sampailah masanya kini untuk mereka membuat keputusan yang sangat penting kepada masa depan generasi yang akan datang untuk bersama dengan PAS bagi melakukan perubahan yang lebih adil, sesuai dengan keadilan Islam untuk semua.

Cukuplah kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh Umno terhadap orang Melayu, dengan berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri. Sebagai contohnya, kita tidak sekali-kali lupa terhadap tindakan merampas royalti minyak pada masa pemerintahan Kerajaan PAS di Terengganu, dan kini di Kelantan, di mana ianya adalah keputusan diskriminasi jahat yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno di ketika itu terhadap penduduk negeri yang lebih dari 95% terdiri dari orang Melayu beragama Islam.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera dalam perlembagaan negara sekarang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan sesuatu dasar, dengan syarat ianya tidak sekali-kali berlaku zalim kepada kaum-kaum lain yang menjadi rakyat dalam negara kita ini. Inilah juga yang dipersetujui dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada tahun yang lalu.

Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik peras ugut, untuk kita sama-sama merubah sistem kehakiman, kebebasan media, sistem pilihanraya, keselamatan negara, dan sebagainya untuk melahirkan iklim politik yang lebih adil dan aman di Malaysia.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS


8 Ogos 2010

sumber : presiden.pas.org.my

Sunday, August 8, 2010

Presiden PAS Minta Dibuat Kajian Dan Penyiasatan

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita30/sidangdunogos%20012.jpgKUALA TERENGGANU - Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata ada sesuatu yang tidak kena apabila kerajaan Umno dan Barisan Nasional Terengganu memohon peruntukan tambahan bagi bajet 2010 dengan jumlah yang begitu besar

Beliau berkata, tindakan tersebut akan menyebabkan berlaku keadaan yang tidak seimbang dalam bajet negeri apabila ia dibentang dengan jumlah yang terbesar di seluruh semenanjung Malaysia.

Katanya, tindakan kerajaan Terengganu itu berbeza dengan negeri-negeri lain, di mana negeri lain mempunyai rakyat yang ramai tetapi Terengganu sebaliknya.

"Berlaku keadaan yang tidak seimbang, tidak saksama dalam bajet (tambahan) apabila ia dibentang (dengan) jumlah yang terbesar di (Semenanjung) Malaysia,

"Sedangkan (Terengganu) berbeza dengan negeri lain (dari segi) rakyat (yang) tidak banyak (ramai), menandakan ada sesuatu yang tidak kena,

Menurutnya ia juga tidak seimbang dengan hasil pendapatan negeri Terengganu yang hanya bergantung kepada hasil royalti minyak, sedangkan pertikaian jumlah royalti di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Terengganu masih belum selesaikan..

"Isu royalti masih belum selesai lagi, duit (negeri) Terengganu tidak ada, macamana kita nak imbangkan perkara (kewangan) ini,

"ada sesuatu yang tak kena samada (ada pihak yang) ingin mengambil kesempatan daripada peruntukan yang diberikan oleh kerajaan pusat," jelasnya dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Terengganu, hari ini 8 Ogos.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang berkata, sebagaimana tindakan kerajaan Umno/BN sebelum ini terdapat kebocoran, ketirisan dan penyelewengan apabila peruntukan yang diberi adalah besar.

Oleh itu katanya, selain ahli-ahli Yang Berhormat PAS mempersoalkan jumlah kewangan yang besar itu, pihak yang bertanggungjawab juga seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan pihak yang memantau perjalanan kewangan kerajaan negeri mesti melakukan kajian dan penyiasatan.

"Bukan sahaja tindakan kita di Dewan Undang Negeri, kerajaan pusat melalui salurannya seperti UPEN dan termasuk pihak yang memantau pentadbiran kerajaan negeri untuk membuat penyiasatan dan kajian,"katanya

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Batu Burok, Dr. Syd Azman Syed Ahmad Nawawi berkata PAS akan mendedahkan kepada seluruh rakyat, semua salah urus dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Umno/BN Terengganu samada di dalam Dewan Undangan Negeri atau di luar Dewan dalam waktu terdekat.

sumber : BuletinOnline

Saturday, August 7, 2010

Tapi Kalau Muhammad Ali Nak Lawan Orang Macam Saya, Dia Akan Kata Menang Awaklah - Sindiran TGNA

BACHOK, 8 Ogos : Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dakwaan kononnya Umno sebagai parti pembela Melayu hanya retorik setelah merasai semakin terhimpit.

"Parti sekular jaga Malaysia ni hampir 60 tahun dah. Akhirnya bila dia tua sekarang ini dia minta tolong kita pula jaga dia. Dia baik sangat nak jaga perpaduan Melayu, bukan nak jaga Melayu, tapi nak jaga Umno.

"Jaga Melayu lain, jaga Umno lain. Kelantan diduduki oleh orang Melayu, tapi apa dia buat? Dia buat JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) di Kelantan sebagai tempat tadah duit daripada pusat.

"Kalu betul dia nak jaga Melayu dia salur terus ke kerajaan. Kerajaan PAS Kelantan ini pun orang Melayu, bukan orang lain, bukan Korea, bukan Yahudi atau sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, Menteri Besar itu mendakwa tuduhan kerajaan Islam tidak mampu membawa kemajuan sengaja dicetuskan oleh golongan sekular bagi mengancam kepada proses pengembangan Islam secara keseluruhan.

Beliau berkata, bahkan itulah juga antara punca menyebabkan orang bukan Islam terasa jauh dengan Islam.

“Apa tidaknya, apabila mereka cuba hendak rapat dengan Islam, dikatakan Islam mundur, Islam tidak dapat membawa kemajuan.

"Benda-benda begini telah menimbulkan masalah dalam masyarakat hasil daripada ajaran sesat golongan sekular terhadap Islam," ujarnya.

Beliau juga menjelaskan tidak berminat untuk melayan mana-mana individu mencabarnya untuk berdebat dalam sesuatu isu khususnya tentang Islam kecuali ia membabitkan pemimpin dari kalangan Umno.

“Saya lawan umno. Saya tak lawan individu tertentu. Bukan kerja saya lawan budak-budak kampung,” katanya semasa ditemui selepas menyempurnakan akad nikah anak Setiausaha PAS kawasan, Huzaimi Che Hussien, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan pengasas pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah yang mencabar berdebat sekiranya apa yang didakwanya adalah tidak benar.

Abdullah kerap mengkritik Mursyidul Am PAS itu kerana berpendapat telah mengeluarkan kenyataan yang seringkali menyebabkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam.

Mengulas lanjut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengibaratkan tindakan Abdullah tidak ubah seperti individu yang hanya “menumpang semangkuk” dan tidak perlu dilayan.

“Ikut dialah, saya nak debat dengan Umno. Umno lawan saya.

"Ibarat kalau kata Joe Frazier nak lawan Muhammad Ali, dia (Muhammad Ali) akan terima, tapi kalau Muhammad Ali nak lawan orang macam saya dia akan kata menang awaklah.

“Begitulah juga saya, ambil ke dialah (Abdullah). Dia hanya nak tumpang semangkuk,” katanya.

Tuan guru Mursyidul Am menyempurnakan akad nikah anak kedua Huzaimi di Masjid Muhammadi Bachok yang turut dihadiri Yang Dipertua PAS kawasan, Datuk Omar Mohamed.

sumber : Harakahdaily

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura