Tuesday, October 27, 2009

Taubat UMNO Bagai Ular Bersalin Kulit

Oleh USTAZ MOKHTAR BIN SENIK
(Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat)

Menyorot ucapan Presiden Umno di dalam Mesyuarat Agong Umno baru-baru ini zahirnya kelihatan agak luar biasa. Nada bertaubat dan insaf mengaluni perhimpunan Agong parti yang sudah pernah “mati” itu. Ucapan Najib disulami dengan irama sentimental dan berbaur dengan rasa gembira kerana berjaya juga akhirnya BN menang satu pusingan daripada lapan pusingan Pilihan Raya Kecil di Semenanjung.

Rayuan dan nada “taubat Umno” yang digarap dalam ucapan Najib, nampaknya sedikit sebanyak berjaya menyakin beberapa orang kampung yang pekat UMNO, bahawa UMNO telah benar-benar insaf akan ke alpaannya selama ini terhadap rintihan rakyat bawahan. UMNO sudah insaf terhadap keangkuhannya. UMNO sudah taubat nasuha dan tidak akan jadi parti Rasuah lagi selepas ini. UMNO tidak lagi UMNO yang sebelum Mesyuarat Agong tersebut. Ertinya satu lakaran wajah baru UMNO cuba ditampilkan melalui perhimpunan itu.

Tidak dinafikan memang ada “beberapa kerat” orang yang yakin benar dengan “taubat Umno” itu, sebagaimana mereka cukup yakin dengan Pak Lah saat mula-mula memegang tanpuk kuasa UMNO dahulu. Pak Lah diimejkan sebagai cucu Ulama’, PM yang boleh menjadi imam solah Terawih, PM yang “clean”dari sebarang sekandal dan Imam yang berjaya meletakkan batu asas kepada “Islam Hadari”. Begitulah yakinnya mereka kepada “keinsafan UMNO”.

Kasihan sungguh melihat UMNO yang berhempas pulas untuk menyakinkan rakyat bahawa UMNO hari ini bukan lagi macam UMNO yang lepas-lepas itu. Lebih kasihan lagi melihat mereka yang masih menyakini UMNO. Masih disengat beberapa kali dalam satu lubang. Tidakkah mereka tahu bahawa “taubat UMNO” tidak akan sampai kemana pun.

Pak Lah yang sebelum menjadi PM dikenali sebagai “Mr Clean” pun gagal membersihkan UMNO daripada kemungkaran dan dosa, ini kan pula Najib yang datang dengan berbagai sekandal yang masih belum terjawab. “Taubat UMNO” hanyalah seperti “Ular yang bersalin kulit”. Kulit sahaja yang kelihatan semacam baru dan berlainan corak, namun ia tetap ular yang sama. Naluri “keularannya” tetap sama dan lidahnya pun sama. Kulit itu pun dalam tempoh beberapa bulan lagi akan kembali seperti corak dan warna asalnya.

Bagaimana UMNO mahu membersihkan dirinya daripada rasuah?. Sedangkan Rasuah sudah menjadi darah daging UMNO. Membuang rasuah daripada UMNO semacam membuang semua darah yang ada dalam tubuh. UMNO akan terkulai layu dan lebih layu dari kelayuannya sekarang.

Mempercayai UMNO mahu menghapuskan Rasuah samalah seperti mempercayai kata-kata seekor Singa bahawa ia berjanji tidak akan makan daging lagi. Mampukah singa meneruskan kehidupan kalau hanya makan kangkong dan lobak. Begitulah UMNO …Lagi pun bagaimana mungkin UMNO mampu membasmi “Rasuah” jika UMNO tidak kembali kepada dasar-dasar Al-Quraan dan Hadis?.

Kerana yang paling tegas “mengharamkan” rasuah hanya Al-Quraan dan Hadis. Sehingga dijanjikan Neraka bagi pemberi rasuah dan penerima rasuah. Takutkah UMNO kepada “tindakan tegas” SPRM yang tidur sebantal dengan UMNO?.

Taubat UMNO hanya gendang lama dan irama lama yang tidak lagi raleven dengan kehendak rakyat Malaysia umumnya dan Orang-orang Islam khususnya.

Monday, October 26, 2009

Nikmat Datang Sekali, Bersyukur Kena Selalu

SESETENGAH NIKMAT ITU HANYA DATANG SEKALI,
TETAPI BERSYUKUR KENA SELALU
KeluargaOleh RIDZUAN

 Ada sepasang suami isteri yang hidup bahagia. Tidak ada kurangnya bagi pasangan yang dilimpahi dengan kemewahan ini kecuali satu, mereka tidak punya anak walaupun telah lama berumah tangga. Sering mereka bercerita tentang betapa indahnya hidup sekiranya punya seorang anak penyejuk mata. Rasa ini bergolak hebat apabila melihat kepada jiran sekeliling yang sentiasa riuh rendah dengan bunyi hilai ketawa anak-anak, kadang-kadang tangisan nyaring.

Apa yang menarik tentang pasangan Mr. & Mrs. Perfect ini:

Susun atur dalaman rumah mereka yang rapi, kekemasan sentiasa pada tahap maksimum dan semua benda mesti berjalan seperti yang dirancang dan dijadualkan. Rutin hidup mereka semuanya berjalan seperti dalam catatan diari dalam kerapian tahap tinggi. Nota semakan kerja rumah tergantung pada peti ais, pada white board pula senarai semakan keberkesanan, perancangan pula dalam buku management tersendiri. Dengan tekun semua ini diulang-ulang saban hari, minggu dan tahun.

Pada satu hari yang indah, si isteri bergegas memberitahu jiran tetangga berita gembira yang dikongsi bersama dengan sambutan syukur hampir seluruh kawasan kejiranan berhampiran. Menurut doktor, dia bakal menimang cahaya mata. Kegembiraan jelas terpancar pada pasangan ini, ucapan tahniah datang mencurah-curah.

Begitu pantas masa berlalu. Akhirnya sampailah saat yang mendebarkan, anak yang ditunggu dilahirkan dengan selamat. Bayi lelaki comel ini benar-benar memberi sinar pelengkap kasih sayang di dalam rumah itu.

Tiga tahun berlalu, anak lelaki ini membesar dengan sihat dan subur, sesubur perhatian dan belaian daripada ayah dan ibu. Namun berlaku sesuatu yang tidak diduga oleh ibunya selama ini. Anak lelaki ini mempunyai perangai yang seratus peratus berbeza dengan sikap ibunya. Kalau ibunya sangat kemas, anak lelaki ini akan mengeromot segalanya. Rumah yang selama ini kemas teratur sering kali bertukar wajah menjadi seperti lepas perang, kena penangan anak ini. Keadaan tidak terkawal, anak ini mungkin telah dimanjakan berlebihan.

Si ibu merintih derita. Apa yang berlaku ini bertentangan sama sekali dengan kanun dirinya. Semua mesti sempurna! Sampai pada tahap ini si ibu selalu terlanjur cakap bahawa mempunyai anak sebenarnya satu kesilapan. Anak bukan penyejuk mata sebaliknya peragut ketenangan.

Bagi mendidik si anak, si ibu terpaksa menggunakan sedikit kekerasan, cubit, rotan dan meminta dia berikrar untuk tidak mengulanginya kembali.

“Mama, abang minta maaf … Abang tak akan ulang lagi.” Itulah ungkapan yang diajar setiap kali kesalahan dibuat.

baca artikel penuh di sini

Whistleblower : Tiada Faedah, Perasuah Dilindungi

ABDUL AZIZ MUSTAFA
Mon | Oct 26, 09 | 5:26:06 pm MYT
KUALA LUMPUR, 26 Okt : Akta yang melindungi pemberi maklumat tidak akan dapat memerangi rasuah jika pelaku rasuah dilindungi, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Apa maknanya pemberi maklumat dilindungi kalau perasuah juga kebal dari sebarang tindakan," katanya ketika diminta mengulas tindakan Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini yang mengalu-alukan janji Perdana Menteri untuk memperkenalkan Akta 'Whistleblower' tahun depan.

Mahfuz tidak percaya rasuah boleh diperangi dengan tindakan-tindakan kosmetik sahaja sedangkan pada masa yang sama "perasuah-perasuah terus menjadi pembesar negara dan dipilih pula sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk membolehkan beliau kembali ke dalam arus perdana politik.

"Semua itu hanya tindakan kosmetik untuk memperbaiki ranking Malaysia yang semakin merudum dalam indeks rasuah antarabangsa.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) amat terdesak kini dan memerlukan kosmetik seperti itu untuk meyakinkan pelabur," katanya.

Beliau mengambil apa yang berlaku di Perak sebagai gambaran terbaik mengenai rasuah di dalam negara ini.

Image"Sebelum ini, ketika (Adun Behrang yang juga bekas Exco Perak) Jamaluddin Mohd Radzi berada di dalam Pakatan Rakyat (PR), saksi utama Mohd Imran Abdullah menyatakan Jamaludin meminta RM5,000 darinya dan dia telah memberikan wang itu kepada Jamaludin untuk membantu meluluskan projeknya itu di Pusat Bandar Seri Iskandar.

"Tetapi apabila Jamaluddin melompat menyokong Barisan Nasional (BN) berikutan tuduhan rasuah terhadapnya, Mohd Imran yang dilaporkan sebagai agen Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) tiba-tiba mendakwa bahawa Jamaluddin tidak menerima sebarang rasuah dari beliau untuk meluluskan projek itu.

"Apa yang berlaku itu memberikan gambaran yang jelas bahawa sokongan atau kesetiaan kepada BN bukan sahaja boleh membebaskan seseorang dari rasuah malah akan dipilih pula sebagai calon BN dalam pilihan raya serta apa yang dilakukannya diisytiharkan sebagai bukan kesalahan dari segi undang-undang negara ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2010 Jumaat lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan memperkenalkan Akta 'Whistleblower' tahun depan manakala 14 Mahkamah Sesysen Khas Rasuah dan empat Mahkmah Tinggi Khas Rayuan akan ditambah untuk memerangi rasuah.

Akta 'Whistleblower' bertujuan melindungi pemberi maklumat.

Tidak diketahui apa yang berlaku kepada Akta Perlindungan Saksi yang dilaporkan akan dibentang sebelum ini. Akta 'Whistleblower' mungkin versi baru zaman Najib kepada Akta Perlindungan Saksi sebelum ini. _

Sunday, October 25, 2009

Bajet : " Andih, mari sekejap ", panggil Pandir

Oleh ZOLKHARNAIN ABIDIN

Baca sampai habis untuk mengikuti ulasan bajet sebenar.“Andih, mari sekejap”, panggil Pandir sambil menyedut rokok daun. Digentel-gentelnya putting rokok daun itu sambil disedutnya puas-puas. Asap daripada tembakau murah memenuhi ruang pondok penginapannya.



Andih mengejapkan ikatan kain batik lusuhnya. Dilempar penyapu lidi ke tepi. Panggilan Pandir tak disahut pun. Telinganya sudah mangli dengan panggilan begitu. Kalau tak disuruh urut betis tentu disuruh picit belakang. Itu fikir Andih.

Tapi, Pandir adalah suaminya. Baik buruk, busuk harum, itulah suaminya. Dunia sampai akhirat. Dia melangkah longlai sambil menatang segelas air sejuk. Walau tidak diminta, kasih kepada suami tetap mengatasi.

“Aku tengok TV di kedai Jusoh tadi. PM kita bagi ucapan…apa tu? Bejat? Eh, bajet…?” Pandir memulakan bicara. Andih dengar tak dengar.

“Kalau Pandir tak tahu…aku lagilah tak tahu.”

Getus hari Andih. Bagi Andih, bejat atau bajet serupa saja. Dia cuma fikirkan kepok beras dan ikan kering. Minyak masak dan bawang merah. Kalau itu semua ada di rumah, peduli apa dengan bejat atau bajet.

“Kau tahu Andih, pegawai kerajaan dapat bonus 500 ringgit…! Apa tu… potongan KWSP naik balik! Lagi…ah, aku tak kuasa nak ingatlah.”

Pandir menggaru-garu kepala. Matanya terkebil-kebil seperti cuba mengingati sesuatu.

“Ada lagi!, bejat… eh, bajet kali ini… kau tahu Andih, 1 Malaysia – Kemakmuran Bersama. Hah, Andih, cuba kau bayangkan, rumah kita seperti banglo kat atas bukit tu. Aku dapat pandu kereta macam si YB tu. Baju aku Andih, macam baju yang Najib pakai tu. Engkau pula Andih, baju engkau, subang engkau, mekap engkau…”

Kraak, pum. ..Pandir terhenti. Matanya melilau mencari sesuatu. Bunyi tu macam biasa dia dengar. Kerap benar rasanya.

“Bunyi apa tu Andih?” suara Pandir meninggi.

“Aduh, cepatlah tolong, kaki aku terperosok ke bawah ni.” Rayu Andih.

Mata Pandir terbeliak. Lantai dapurnya patah lagi. Entah kali keberapa. Dua bulan lepas, nyaris-nyaris Kasim JKKK bedebup jatuh ke tanah apabila dia terpijak lantai reput di tepi dinding. Nasib baik dia sempat pegang kain pelikat Pandir.

“Itulah, lain kali jalan tu kena hati-hati. Engkau pun tahu, lantai rumah kita ni semakin reput. Tapi kau jangan bimbang, tadi aku dah jumpa JKKK kat kampung kita ni. Dia kata lepas bejat… eh, bajet nanti, lantai rumah kita ni akan diganti.”

Pandir berleter berjela-jela, ala-ala PM bentang bajet.

Andih hanya mengaduh. Dia bangun lemah menuju ke tepi dinding. Minyak gamat Langkawi dicapai dan disapu ke betisnya perlahan.

Prem… premm…Andih hanya terhidu bau asap motor Pandir yang entah kemana.

Untuk ulasan bajet sebenar oleh Dr Dzulkefli Ahmad, sila baca di sini.

Saturday, October 24, 2009

EGM : Ahli PAS Diminta Bertenang

oleh USTAZ IDRIS AHMAD

KENYATAAN MEDIA

Parti Islam Semalaysia (PAS) akan berbincang mengenai pandangan murni Mursyidul Am, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung cadangannya untuk mengadakan Muktamar Khas.

Seperti yang dimaklumkan oleh Naib Presiden, YB Salahuddin Ayub, pandangan ini akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat dalam tempoh terdekat ini. Mesyuarat ini akan menilai sama ada wujud keperluan bagi mengadakan Muktamar Khas atau tidak.

PAS amat mengalakkan perbincangan dan menghargai setiap pandangan atau kritikan yang diberikan, namun pada waktu ini setiap pimpinan diminta agar membincangkan perkara ini secara dalaman dan tidak mengunakan media termasuk blog dan facebook peribadi yang boleh mendatangkan lebih banyak persepsi negatif serta membuka ruang untuk media luar memutarbelitkan isu ini.

Adalah menjadi satu kewajipan untuk setiap pimpinan dan ahli bertenang dalam menghadapi isu ini serta tidak melatah hingga memberikan peluang kepada pihak luar melontarkan lebih banyak peluru atau prasangka yang boleh memburukan imej parti.

PAS penuh yakin masalah ini dapat diselesaikan melalui musyawarah, muhasabah seperti yang pernah diselesaikan sebelumnya. Inilah kelebihan yang ada kepada PAS dan tidak dalam Umno/BN.

Wednesday, October 21, 2009

ADUN Sura Ziarah Bakal Haji

AZAMIN AMIN
Wed | Oct 21, 09 | 3:58:33 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Okt : Akibat senarai panjang, sesiapa yang mendaftar pada tahun ini untuk menunaikan Haji, hanya dapat melaksanakan rukum Islam ke-5 itu pada tahun 2020.

Sungguhpun demikian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, Tabung Haji tetap memberi keutamaan kepada bakal jemaah haji yang telah melewati usia 60 tahun dan warga emas supaya dipercepatkan proses untuk menunaikan Haji dalam jangka masa terdekat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh (BN -Kalabakan) yang membangkit persoalan warga emas dan individu yang lewat usia yang tidak berkesempatan kerana meninggal dunia setelah sekian lama menunggu giliran begitu lama untuk menunaikan Haji.

Abdul Ghapur sebelum itu turut meminta Perdana Menteri menyatakan berapa banyak kuota Haji untuk rakyat Malaysia yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada tahun ini.

"Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kuota 1 peratus bagi jumlah penduduk sesebuah negeri.

"Oleh itu, bagi Malaysia jumlah kuota haji ialah 26,000," kata Jamil di Dewan Rakyat.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok) kepada soalan asal Abdul Ghapur , Jamil menyatakan pihaknya sentiasa memantau perkembangan itu dan ada antaranya akibat kelewatan memohon visa di saat akhir, yang menyebabkan bakal jemaah haji sering kali terkandas dan tidak dapat ke Makkah.

Nasharuddin sebelum itu mahu tahu jumlah sebenar kes penipuan Agensi Jemaah Haji dan yang telah berjaya diselesaikan.

"Sebenarnya, penipuan agensi sering berlaku sejak dulu lagi dan terus berlaku ketika umat Islam menunaikan haji. Kita sentiasa memantau perkembangan itu dan akan ambil tindakan sewajarnya," kata Jamil menjawab soalan itu.

Semalam, rombongan pertama jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Makkah pada pukul 7 pagi, di mana Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin antara yang berangkat ke Kompleks Haji Kelana Jaya untuk menghantar jemaah haji yang akan berlepas dengan penerbangan pertama itu.

Sejumlah lebih 350 orang daripada 26,000 jemaah haji berlepas dengan penerbangan pertama itu.

Dalam pada itu kerajaan Malaysia dan Arab Saudi telah mewajibkan semua jemaah haji mengambil suntikan Influenza A (H1N1) di mana Tabung Haji sendiri telah memperuntukan RM1.5 juta untuk suntikan H1N1 dan ia tidak termasuk dalam senarai suntikan percuma untuk jemaah haji.

Sementara itu, sebuah syarikat telah membekalkan 36,000 botol spray khas untuk kegunaan semua jemaah haji Malaysia.

Botol spray bersaiz kecil itu muat untuk dimasukkan ke dalam beg kantung jemaah haji dan boleh digunakan untuk berwudhu tanpa perlu meninggalkan tempat ibadat jika wudhu terbatal.

Ianya juga boleh digunakan untuk menyimpan air minuman atau sebagai penyembur muka jika cuaca terlalu panas. _

DI DUNGUN, YB Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli, ADUN Sura sempat meluangkan masa menziarahi bakal haji yang akan berangkat ke tanah suci, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada bakal haji yang dikunjungi.

Selain bertanya khabar, beliau turut berpesan agar masing-masing tidak mengabaikan menjaga kesihatan semasa berada di sana.

Beliau turut mengingatkan agar ahli keluarga yang ditinggalkan di Malaysia terutamanya anak-anak kecil, sepanjang ibubapa atau penjaga menunaikan ibadah ini mempunyai mahram dan saudara-mara yang boleh diamanahkan menjaga mereka berikutan kejadian pecah rumah dan kes-kes jenayah yang semakin berleluasa, yang tidak mengenal batasan usia.

YB ADUN Sura mengunjungi, bertanya khabar warga emas yang masih
menunggu jawapan dan berharap dapat menunaikan haji pada tahun ini

Tuesday, October 20, 2009

Selamat Ulangtahun ke 62 buat Tok Guru

oleh : Nasrudin Hassan at Tantawi


1. Hari ini genap 62 tahun usia Presiden PAS , Al Fadhil Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau dilahirkan pada 6 Zulhijjah 1366 bersamaan [ 20 Oktober 1947. ] di Kampung Rusila Marang , Terengganu . Anak ke 5 dari 9 orang adik beradik .

2. Tuan Guru menuntut di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil senawi di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Disamping itu belajar agama, Bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad.

3. Tuan Guru melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973 . Tamat dengan B.A (Syariah) . Melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya dalam masa 2 tahun sahaja (1974 - 1975)

4. Tuan Guru Mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS kampung Rusila , Marang .

5. 1976 , setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air , beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977 dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989 di pilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato' Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presidennya .

6. Tuan Guru Mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada tahun 1978 di DUN Marang dan kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan majoriti 68 undi. Pada tahun 1982 diamanahkan sekali lagi menjadi calon PAS di DUN Marang dan Parlimen Dungun. Menang di DUN Marang tetapi kalah di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar. Pada tahun 1986, bertanding DUN Rhu Rendang dan menang tetapi kalah di Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar. Pada tahun 1990 menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang . Begitu juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang.

7. Tuan Guru juga terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Arab Mesir. Sebagai pemimpin PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat.


Antaranya :-


a] Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul Turki.
b] Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan.
c] Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran.
d] Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr.Necmetin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat.
e] Menyertai deligasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr. Erbakan.
f] Menyertai deligasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk.
g] Mengiringi Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor bersama deligasi pemimpin German Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin Afghanistan.

8. Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan Selamat Ulangtahun ke 62 buat Al Fadhil Tuan Guru Hj. Hadi Awang dan mendoakan agar al Fadhil Tuan Guru senantiasa dikurniakan kekuatan dan petunjuk untuk memimpin sebuah parti yang besar pula mencabar ujiannya.

9. Kepimpinan beliau sejak awal sering berdepan dengan ujian getir samaada yang datang dari tekanan luar parti mahupun permasaalahan dalaman parti . Kesabaran dan ketabahan beliau mendepani segalanya adalah suatu yang sangat mengkagumkan . Semoga Allah swt terus mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada beliau .

10. Kepada sahabat yang turut ingin memberikan ucapan selamat ulangtahun , bolehlah dimuatkan ke ruangan komen dan insyaallah ianya akan menjadi kata - kata semangat buat al Fadhil Tuan Guru untuk terus thabat memikul amanah berat ini seterusnya mendapat ganjaran setimpal daripada Allah swt .


Saturday, October 17, 2009

Kenapa Diciptakan Neraka ?

dari MEJA TAZKIRAH

Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.


Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya merekaakan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya,takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka ? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:"perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol disyurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak.. takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. Assalamu'alaikum."
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura