 KUALA LUMPUR, 29 Nov (Hrkh)
KUALA LUMPUR, 29 Nov (Hrkh) - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul  Iskandar Mat Akin menggesa kerajaan Pakatan Rakyat di lima negeri segera  membersihkan kerajaan negeri daripada nasir Barisan Nasional (BN).
"AMK dengan ini memberikan peringatan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.  Jangan berdolak-dalik dengan seribu satu alasan. Pembersihan kerajaan daripada  anasir BN mesti dilaksanakan tanpa bertangguh," kata beliau.  
"Kita tidak boleh terpukau dan terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang  bertukar kulit hanya semata-mata untuk terus membolot peluang, tanpa menghayati  falsafah perjuangan kita, tanpa menunjukkan komitmen untuk menghayati  prinsip-prinsip perjuangan yang kita dukung."  
Shamsul Iskandar mengkritik kerajaan gabungan KeADILan, DAP dan PAS yang  didakwanya "cuai melaksanakan janji" untuk membuat pembersihan dalam pentadbiran  "sehingga ke akar".  
"Sekarang rakyat telah memilih kita. Rakyat mahu kita melakukan perubahan.  Salah satu perubahan yang telah kita janjikan ialah untuk membersihkan kerajaan  daripada kebobrokan Umno-BN.  
"Kenapa setelah rakyat memberikan kita amanah, kita cuai untuk melaksanakan  janji ini?" katanya ketika menyampaikan ucapan dasar ketua AMK dalam kongres  tahun pergerakan itu di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.  
Berhubung perkara itu, beliau menambah, kebergantungan kerajaan Pakatan  terhadap birokrasi kerajaan dan jentera BN hari ini menjadi sesuatu yang malang.   
"Pergantungan kepada birokrasi semata-mata sudah tentu tidak memadai untuk  kita terus membiarkan anasir-anasir BN berleluasa dan mengakar di dalam  kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan.  
"Selama ini kita mengkritik mereka sebagai (pengamal) rasuah, khianat kepada  amanah rakyat dan sebagainya.  
"Kita mengambil risiko, bermati-matian menentang mereka di dalam pilihanraya  kerana kita mahu menggantikan mereka dengan pemimpin yang berintegriti di semua  peringkat," kata Shamsul Iskandar di depan hampir 600 perwakilan AMK semalam.  
Beliau turut mempersoalkan ahli-ahli parti itu yang diketepikan dalam jentera  kerajaan negeri Pakatan dengan "alasan bukan-bukan", termasuk tiada pengalaman.  
"Pemimpin-pemimpin utama KeADILan terdiri daripada mereka yang mempunyai  kelayakan yang sangat cemerlang. Profesor dan pakar di dalam pelbagai bidang.  
"Kenapa sehingga ke hari ini mereka masih tidak diangkat memainkan peranan  utama memberi sumbangan dalam perencanaan dan operasi kerajaan-kerajaan negeri?"  katanya.  
Dengan nada amaran, Shamsul Iskandar berkata, sekiranya terdapat pemimpin  kerajaan Pakatan yang teragak-agak, takut kepada risiko dan perubahan,  pergerakan itu tiada pilihan selain menggantikan pemimpin itu.  
"Sekiranya ada pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pakatan teragak-agak, gentar  untuk membuat perubahan, takut kepada risiko; kita tidak ada pilihan selain  menuntut perubahan dalaman untuk menggantikan mereka dengan pemimpin yang  benar-benar mampu memimpin dan membuat keputusan.  
"Kerajaan mesti dipimpin, bukan semata-mata diurus," katanya.  
Beliau dalam ucapannya itu bagaimanapun tidak menamakan dengan jelas pemimpin  yang dimaksudkannya itu.  
Dalam sidang akhbar selepas ucapannya itu, Shamsul Iskandar menjelaskan,  penyertaan AMK dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri dibuat Pakatan dapat  menilai semula keberkesanan masing-masing selepas lapan bulan memerintah sejak  Mac lalu.  
Beliau menafikan tuntutannya itu difokuskan kepada peluang perniagaan  semata-mata.  
"Peluang itu saya buat (gariskan secara) umum. Bukan sekadar peluang  perniagaan, (tetapi juga) peluang dalam struktur kerajaan negeri, (dan) peluang  dalam institusi-institusi pendidikan.  
"Peluang dalam perniagaan itu, apa masalahnya kalau ada keuntungannya kepada  rakyat. Yang kita tolak, perniagaan yang ada (unsur) rasuah, penyelewengan dan  korup," katanya.  
Ketua AMK itu menafikan pergerakannya terpinggir dalam kerajaan-kerajaan  negeri Pakatan.  
"Tidak, (desakan) itu hanya penegasan AMK. Saya tidak berasa terpinggir,"  katanya.  
"Apabila perubahan dilakukan, kita tidak boleh mengelak. Mereka (rakyat)  telah memilih kita (dalam pilihanraya umum lalu). Takkan kita hendak katakan  tidak boleh buat, tidak ada pengalaman. Kita kena lakukan sesuatu."/wann. _
Sumber : HarakahDaily